Buat masa ini, nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, 66, disebut-sebut bakal mengisi jawatan pemimpin nombor dua negara itu.

Hakikatnya, pelantikan wanita sebagai pemimpin bukanlah sesuatu yang luar biasa. Terdapat banyak negara di dunia termasuk di benua Asia yang memberi mandat kepada wanita untuk mentadbir negara. 

Di Pakistan, misalnya, pelantikan Benazir Bhutto sebagai Perdana Menteri pada tahun 1988 menjadikan beliau wanita Muslim pertama era moden yang menyandang jawatan tersebut. 

Benazir merupakan antara pemimpin wanita berpengaruh dunia yang diangkat sebagai Perdana Menteri ke-11 dalam sejarah Pakistan. Beliau dilantik selepas tiga bulan melahirkan anak sulungnya.

Meskipun hanya mentadbir Pakistan selama tiga penggal dan banyak terpalit dengan skandal rasuah, Benazir pernah diiktiraf oleh majalah People sebagai 50 wanita tercantik dunia. 

Karisma
Bagi kebanyakan rakyat Pakistan, Benazir yang dua kali dilantik menjadi Perdana Menteri Pakistan mewarisi legasi bapanya, Zulfikar Ali Bhutto. Pengerusi Parti Rakyat Pakistan itu seorang yang cukup berkarisma dalam
memperjuangkan suara rakyat. Bagaimanpun, Benazir terbunuh dalam satu serangan berani mati selepas menyampaikan ceramah kempen pilihan raya di Rawalpindi pada tahun 2007. 

Hakikatnya, wanita merupakan elemen penting dalam membentuk sistem pentadbiran negara. Dengan  wujudnya kerajaan baharu, Malaysia kini berdepan dengan pelbagai pembaharuan yang tidak dijangka termasuklah pelantikan Timbalan Perdana Menteri wanita.

“Ia adalah sesuatu yang baik dan rakyat mengalu-alukan kerana golongan wanita banyak menyumbang dalam pembentukan landskap baharu politik Malaysia. 

“Di Selangor, misalnya, Hannah Yeoh yang dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri adalah yang pertama kali dalam sejarah sejak pembangkang mengambil alih negeri Selangor sedekad lalu,” kata Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Shahrul Nazmi Sannusi.

Menurut beliau, dari sudut populasi baik di Malaysia atau di mana-mana negara di dunia, golongan wanita lebih  dominan berbanding lelaki. 

Justeru, dengan melibatkan wanita dalam pembentukan dasar-dasar negara di peringkat yang lebih tinggi, ia dapat membantu pembangunan dan memberi sokongan kepada wanita itu sendiri.

Hasil pemerhatian beliau juga mendapati, sebelum ini wanita hanya diberi satu atau dua jawatan dalam Kabinet, sedangkan mereka perlu diberi perhatian yang lebih dalam pembentukan polisi negara. 

Beliau mengakui penglibatan  wanita dalam kepimpinan negara menyebabkan kesedaran tentang hak-hak wanita menjadi lebih baik. 

“Apa yang dikecapi hari ini seperti  koc wanita komuter Keretapi Tanah Melayu, bilik khas untuk penyusuan bayi di pusat beli-belah dan sebagainya adalah hasil perjuangan wanita dalam kerajaan. 

“Jadi, jika wanita diberi jawatan yang lebih tinggi, maka lebih banyak faedah, keperluan dan hak-hak wanita dapat dipenuhi oleh kerajaan,” katanya. 

Hak wanita
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo [email protected] berpendapat, sudah sampai masanya Malaysia mempunyai Timbalan Perdana Menteri wanita kerana secara relatifnya, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Switzerland, Brazil dan Korea Selatan sudah mempunyai presiden atau perdana menteri wanita. 

Pelantikan wanita dalam pentadbiran tertinggi negara juga memberi mesej yang jelas bahawa Islam tidak pernah mengetepikan hak wanita seperti yang sering disalahtafsirkan oleh Barat.

Indonesia, misalnya, adalah contoh negara demokrasi yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia pernah menyaksikan kemunculan seorang wanita iaitu Megawati Soekarno Putri sebagai presiden.

Mengulas tentang impak pentadbiran negara yang diketuai oleh seorang wanita, beliau mengakui keberadaan wanita telah terbukti dengan wujudnya Dasar Wanita Negara 1989. Bahkan, Malaysia juga mempunyai wakil rakyat, hakim, Gabenor Bank Negara, kementerian, serta industri kecil dan sederhana yang diketuai oleh wanita. 

“Impak ini perlu dinilai dengan melibatkan kehadiran wanita dalam semua sektor,” katanya.