Inilah lawatan kali pertama Anwar ke Istanbul selepas dibebaskan daripada penjara pada 16 Mei lalu. Kali terakhir tokoh gerakan reformasi itu bertemu Erdogan ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada 2012 iaitu selepas tercetusnya Arab Spring di Asia Barat.

Lawatan Anwar itu dilakukan ketika beberapa hari lagi Turki melangsungkan pilihan raya umumnya secara serentak bagi peringkat Parlimen dan jawatan Presiden.

Pilihan raya umum Turki kali ini mempunyai kelainan antaranya buat pertama kali membenarkan parti-parti yang bertanding untuk membentuk gabungan atau pakatan. 
Pilihan raya kali ini memperlihatkan persaingan enam orang calon Presiden termasuk Erdogan. Lima calon yang lain ialah Muharrem Ince, Selahattin Demirtas, Temel Karamollaoglu, Dogu Perincek dan calon wanita tunggal, Meral Aksener.

Pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 24 Jun ini juga merupakan pilihan raya yang bakal menentukan corak baru kepada sistem politik negara Turki.

Pada April 2017 yang lalu, Turki di bawah penguasaaan Erdogan telah menjalankan referendum di peringkat nasional bagi meminda beberapa artikel dalam Perlembagaan Turki. Referendum tersebut disokong oleh 51.41 peratus rakyat manakala 48.59 peratus lagi menolak.

Secara umumnya, pindaan itu membuat perubahan yang paling signifikan adalah pemansuhan jawatan Perdana Menteri dan perluasan kuasa Presiden sebagai ketua negara dan sekali gus ketua kerajaan.

Erdogan yang ditemui Anwar itu mempunyai kedudukan yang kuat. Bagi golongan Islamis atau muslim demokrat di Malaysia, politik Turki boleh dianggap sebagai pendekatan baharu untuk Malaysia. Politik Islam dikatakan bakal menuju senja. Ramai yang mahu menjadikan parti pimpinan Erdogan iaitu AKP sebagai model mereka. Sudah pasti Anwar dilihat bakal memimpin Malaysia melalui pendekatan tersebut.

Namun persoalannya, bilakah Anwar bakal naik ke tampuk Perdana Menteri Malaysia? Pada masa ini, Anwar tidak memiliki sebarang jawatan dalam kerajaan.

Dengan kejayaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu hasil teraju Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang ramai melihat tokoh politik berusia 92 tahun ini benar-benar mempunyai kemampuan yang sukar ditandingi. Selama ini dalam beberapa kali pilihan raya umum sejak 1999, parti pembangkang gagal menumbangkan Barisan Nasional.

 

Pengaruh

Banyak pihak melihat pengaruh Mahathir berjaya membawa Pakatan Harapan melonjakkan hayunan sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada Pakatan Harapan.

Baru-baru ini Anwar berkata, beliau akan mempercepatkan proses dirinya kembali ke Parlimen dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Saya akan cepatkan proses menjadi Ahli Parlimen tetapi tidaklah segera,” katanya.

Namun sebarang spekulasi berkaitan langkah-langkah Anwar termasuk tindakannya menemui Raja-Raja Melayu selain peranan beliau menemui Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V membabitkan pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas baru-baru ini tidak boleh ditepis.

Sejak Anwar diberi pengampunan penuh, tercetus pelbagai tanggapan bahawa beliau tergesa-gesa mahu menggantikan Mahathir.

Mahathir pula sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak ingin menetapkan tarikh khusus untuk memegang jawatan Perdana Menteri, boleh jadi tidak sampai tempoh tersebut atau mungkin juga lebih panjang.

Kenyataan itu mencetuskan keresahan dalam kalangan penyokong Anwar dan PKR tentang sejauh mana kejujuran Mahathir untuk sedia melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Jika dilihat berdasarkan kepada perjanjian dalam Pakatan Harapan, peralihan kuasa dirancang dilakukan dalam tempoh dua tahun.

Mahathir memerlukan masa yang mencukupi untuk memastikan sekurang-kurang kesemua janji Pakatan Harapannya dalam tempoh 100 hari dapat ditunaikan dengan baik. Usaha tersebut turut bergantung kepada ekonomi negara yang pada masa ini kelihatan masih dibelenggu ketidaktentuan.

Pasaran saham di Bursa Malaysia merudum dalam tempoh sebulan Pakatan Harapan memerintah ketika kerajaan terus sibuk mendedahkan segala macam skandal dilakukan kerajaan terdahulu.

Tugas paling berat ialah menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang menjadi bahan kempen utama pada PRU-14.

Dalam hal ini, Mahathir membayangkan tempoh beliau menjawat jawatan Perdana Menteri tidak semestinya berakhir dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, dua tahun itu bukan tempoh masa sebaliknya satu cadangan.

“Boleh jadi lebih awal, boleh jadi lebih lewat. Keutamaan adalah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara menjadi sebuah negara yang berupaya,” katanya.

Idea

Malah baru-baru ini, bekas pengkritik tegar Mahathir, Hishamuddin Rais sendiri mengemukakan pandangan tentang idea untuk Perdana Menteri diberi peluang memimpin negara selama satu penggal.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2001 hingga 2003 itu turut mengingatkan Anwar sebagai Perdana Menteri menunggu, agar ‘tidak gopoh’ untuk mengambil alih jawatan itu.

“Saya punya pandangan satu penggal. Tempoh ini okey, satu penggallah,” katanya.

Pada satu sisi lain, ada pihak yang beranggapan, laluan Anwar menuju ke puncak dibayangi oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Mahathir. Kini orang kepercayaannya, Amirudin Shari dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikannya.

Sebarang perubahan rentak politik dalam Pakatan Harapan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Dahulu peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri terhalang akibat tindakan Mahathir memecatnya pada 1998. Kini mungkinkah peluang yang sama dapat diraih ketika Mahathir sekali lagi menerajui kepimpinan negara? Atau masa depannya juga bergantung kepada sejauh mana penguasaan politiknya dalam PKR. Apa yang pasti Anwar begitu sukar untuk dibandingkan dengan kehebatan dan pengaruh Erdogan.