Mohd. Afzanizam
MOHD. AFZANIZAM

Jangka hayat yang panjang dalam kalangan rakyat merupakan indikator atau petunjuk bahawa sebuah negara itu semakin maju.

Di negara-negara maju, tuntutan terhadap penjagaan kesihatan yang baik meningkatkan jangka hayat rakyatnya.

Jika dahulu, umur persaraan 55 tahun, kemudian 56 tahun, 58 tahun dan sekarang 60 tahun. Ini kerana, pada usia 55 tahun, rakyat Malaysia masih cergas, produktif dan berkemampuan untuk bekerja.

Yang pasti, dengan jangka hayat penduduk yang semakin panjang, Malaysia diramal menjadi negara tua menjelang tahun 2035.

Senario tersebut menyebabkan Malaysia bakal berdepan dengan krisis persaraan yang agak membimbangkan terutamanya mengenai survival kehidupan golongan pesara swasta.

Apa yang merisaukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berdasar statistik Mac 2018, hampir separuh daripada ahlinya yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan sekitar RM31,000 sahaja. Kebanyakan ahli ini berada dalam kategori tidak aktif.

Persoalannya, dengan jumlah tersebut mampukah seseorang pesara swasta hidup dengan wang KWSP sekitar RM129 sebulan untuk bertahan sehingga umur 74.7 tahun?

Caruman

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Strategi KWSP, Farizan Kamaluddin, jumlah caruman yang kecil dalam akaun ahli tidak aktif berlaku atas pelbagai sebab terutamanya kekerapan caruman yang tidak konsisten daripada ahli kerana pertukaran atau kehilangan pekerjaan.

Situasi itu juga berlaku apabila seseorang kakitangan swasta, bekerja dalam sektor tidak formal atau di bawah kontrak untuk perkhidmatan yang tidak diwajibkan mencarum ke KWSP.

“Selain itu, faktor kadar upah yang jauh lebih rendah pada tahun 1980-an dan 1990-an, pengeluaran prapersaraan dan pecahan Akaun 1 adalah 60 peratus berbanding 70 peratus pada masa ini mendorong berlaku pengurangan simpanan keseluruhan untuk persaraan.

“Sehingga akhir Mac 2018, jumlah ahli KWSP adalah 13.91 juta. Sebanyak 7.2 juta adalah pencarum aktif, manakala separuh lagi dikategorikan pencarum tidak aktif.

“Bagi ahli tidak aktif, purata simpanan ahli yang berumur 54 tahun ialah dalam RM31,000. Sekiranya ahli membelanjakan purata RM1,000 sebulan berdasarkan kiraan gaji minimum hari ini, ia mampu bertahan untuk tempoh kurang tiga tahun,” kata Farizan kepada Jurnal kelmarin.

Tambahnya, bagaimanapun berdasarkan statistik KWSP, purata simpanan ahli aktif yang berumur 54 tahun adalah sekitar RM214,000.

Ia merupakan jumlah simpanan yang agak baik sebagai persediaan persaraan, namun belum mencukupi kerana berdasarkan kos sara hidup dan keperluan semasa, kuantum simpanan asas telah dinaikkan daripada RM196,800 kepada RM228,000 bermula 1 Januari 2017.

Farizan juga memberitahu, peratusan caruman berjumlah 23 peratus atau 24 peratus yang mana 11 peratus oleh ahli dan 12 peratus atau 13 peratus oleh majikan merupakan antara kadar caruman persaraan yang tertinggi di dunia.

“Sekiranya kadar caruman dinaikkan lagi, ia akan mengurangkan pendapatan bawa pulang ahli,” ujarnya.

Inisiatif

Dalam pada itu, kata Farizan, KWSP telah menjalankan beberapa inisiatif dalam membantu ahli mencapai jumlah asas simpanan RM228,000 menjelang umur 55 tahun.

“Antaranya menasihati ahli daripada membuat sebarang pengeluaran prapersaraan bagi tujuan yang tidak menyumbang kepada persaraan yang lebih baik di samping menggalakkan majikan menaikkan kadar caruman setiap bulan sebagai insentif kepada kesetiaan dan sumbangan pekerja, contohnya dari asal 12 peratus kepada 14 peratus.

“Menggalakkan caruman pilihan sendiri dengan ahli boleh menambah jumlah simpanan dalam KWSP secara sukarela serta peranan majikan dalam mematuhi perintah gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid turut berkongsi pendapat sama kerana sekiranya membuat pengiraan mudah sememangnya simpanan RM50,000 tidak mencukupi untuk seorang pesara swasta.

“Andaikan seseorang itu boleh hidup sehingga umur 75 tahun, ini bermakna pesara tersebut mempunyai 15 tahun lagi untuk hidup selepas bersara pada umur 60 tahun.

“Sekiranya RM50,000 dibahagi dengan 180 bulan, maka wang tunai yang boleh dikeluarkan pada setiap bulan adalah kira-kira RM278,” jelasnya.

Perbelanjaan

Tambahnya, jumlah itu sememangnya kecil jika diambil kira faktor inflasi dan kos sara hidup yang kian meningkat saban tahun.

“Sukar untuk saya jawab mengenai berapa jumlah yang perlu ada bagi seseorang individu yang bakal bersara. Mengikut bancian pihak Jabatan Perangkaan, purata perbelanjaan isi rumah pada tahun 2016 adalah RM4,033 sebulan.

“Kebanyakannya dibelanjakan kepada perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api (24 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (18 peratus) dan pengangkutan (13.7 peratus). Mungkin bagi pesara, setengah daripada jumlah RM4,033 sudah memadai,” ujarnya.

Katanya lagi, bagaimanapun perlu ada kajian yang lebih menyeluruh bagi memastikan kehidupan pesara dalam keadaan baik.

Beliau juga menyokong langkah yang dilakukan KWSP kerana institusi itu telah sedaya upaya berusaha memastikan wang yang dicarum itu akan menghasilkan pulangan kompetitif dan sejajar dengan tahap risiko yang diambil.

“Kita perlu ingat bahawa semakin tinggi pulangan sesuatu pelaburan itu maka semakin tinggi pula risikonya.

“Dalam hal ini, pihak KWSP sememangnya mengambil langkah yang berhati-hati dalam setiap aktiviti pelaburan mereka supaya tidak terlalu terdedah kepada pelaburan berisiko tinggi.

“Perkara ini dapat dilakukan melalui pasukan pelaburan yang berpengalaman dan disokong oleh pasukan penyelidikan pelaburan untuk membantu dalam membuat keputusan pelaburan KWSP,” jelasnya.