Bagi menjaga dan menambah baik kebajikan seluruh kakitangan awam di Malaysia, pelbagai usaha telah dilaksanakan. Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk mereka melalui pembentangan bajet yang diadakan setiap tahun.

Seramai 1.6 juta penjawat awam di Malaysia pada hari ini menjadi tonggak pentadbiran dan jentera bagi kemajuan negara. Rakyat mahu melihat perkhidmatan awam di negara ini memiliki prestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat.

Namun ada juga suara sumbang yang melontarkan cadangan mengguris hati penjawat awam ini. Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, misalnya, melontarkan cadangan untuk mengurangkan jumlah pejawat awam sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pua ketika bercakap pada Forum Berapa Beban Hutang Dari Projek Mega Najib di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 10 Januari tahun lalu menegaskan bahawa jumlah kakitangan perlu dikurangkan kerana mereka langsung tidak memberi pulangan kepada pendapatan negara.

Cadangan mengarut tersebut turut mendapat sokongan Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir semasa Dialog Tak Ado Apo Nak Sorok di Seremban, Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu yang menginginkan penjawat awam ‘bercuti panjang’.

Dengan kata-kata lain yang lebih mudah, pakatan pembangkang mahu memecat kakitangan kerajaan yang tidak sebulu dengan pemerintah baharu jika mereka memenangi PRU-14 nanti.

Tindakan Pakatan Harapan diketuai DAP yang mengugut mahu memecat pegawai tinggi kerajaan dalam tempoh 30 hari pertama jika mereka memenangi PRU-14 dilihat bakal meruntuhkan struktur pentadbiran negara.

Tindakan itu juga secara tidak langsung memberi gambaran jelas bahawa Mukhriz iaitu seorang pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang hanya mengikut telunjuk DAP semata-mata.

Cadangan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan bekas Menteri Besar Kedah itu disifatkan tidak realistik dan tidak masuk akal oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Jelasnya, negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat tidak melihat jumlah penjawat awam sebagai beban malah menganggap mereka sebagai tulang belakang dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

“Ramai orang bercakap apa yang mereka sendiri tidak tahu. Sektor awam ini peranannya untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya menyusahkan rakyat,” katanya kepada Kosmo!

Tambahnya, jumlah penjawat harus bergantung kepada keperluan semasa dan nisbahnya perlu setara dengan jumlah rakyat sesebuah negara. Dalam hubungan ini, katanya, Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju.

Mengulas lanjut, majoriti perkhidmatan awam negara ini masih belum mencapai tahap membanggakan dalam memberikan perkhidmatan paling efisyen disebabkan jumlah mereka memang tidak mencukupi.

Tambahnya, oleh kerana jumlahnya tidak mencukupi, penjawat awam sedia ada didapati terpaksa bekerja lebih masa dan bekerja pada hari minggu. Keadaan itu mengakibatkan 30 peratus kakitangan kerajaan mengalami kemurungan.

Ketika sidang Dewan rakyat pada Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun menjelaskan, kerajaan tidak akan sesekali mengurangkan jumlah kakitangan awam dan berpuas hati dengan jumlah tersebut.

“Sebenarnya peratusan atau nisbah yang digunakan jika dibanding dengan negara lain kadangkala ibarat membandingkan buah epal dan oren kerana kita masukkan polis, askar dan sebagainya dalam jumlah perkhidmatan awam kita.

“Ada negara yang polis dan askar mereka tidak dimasukkan dalam perkiraan jumlah kakitangan perkhidmatan awam negara mereka. Jadi perbandingan itu tidak tepat,” katanya.

Tambah Entulu, terdapat bahagian tertentu dalam jabatan-jabatan kerajaan yang menghadapi kekurangan pegawai dan kakitangan sehingga mereka terpaksa bekerja pada hari minggu.

Dalam pada itu bagi pemerhati politik, Prof. Datuk Zainal Kling, apa yang membuatkan masyarakat melihat lambakan kakitangan dalam perkhidmatan awam adalah kerana tentera, polis, kesihatan dan pendidikan turut diklasifikasi sebagai perkhidmatan awam sepertimana tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu tidak diamalkan di banyak negara di dunia dan tidak adil untuk membandingkan Malaysia dengan negara lain dalam hal tersebut.

“Jika dikaji perkhidmatan awam kita, jumlah kakitangan hanyalah sekitar 500,000 jika tidak dikira empat cabang perkhidmatan tersebut,” katanya.

Tambahnya, penjawat awam melalui beberapa sektor serta bidang kepakaran antaranya perubatan, kejuruteraan serta beberapa bidang baharu masih memerlukan kakitangan.

“Sekiranya kakitangan tidak mencukupi, ia bakal menyebabkan perkhidmatan awam mengalami kesulitan menjalankan tugas mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” jelasnya.