Jika sebelum ini, robot sering difikirkan sebagai sesuatu yang bersaiz besar, berat dan dibina untuk tujuan tertentu tetapi kini tidak lagi menerusi teknologi kulit robotik.

Teknologi terbaharu yang dibangunkan sekumpulan penyelidik Universiti Yale, Amerika Syarikat diketuai Penolong Profesor Kejuruteraan Mekanikal dan Sains Bahan, Rebecca Kramer-Bottiglio itu membolehkan pengguna untuk menghasilkan robot sendiri atau dalam erti kata lain ‘robot jadian’.

Walaupun kulit robotik itu direka tanpa fungsi khusus, Kramer-Bottiglio berkata, ia boleh digunakan untuk segala-galanya termasuk untuk mereka bentuk robot yang berfungsi melakukan misi mencari dan menyelamat.

Hasil penyelidikan tersebut diterbitkan dalam jurnal Science Robotic bertarikh 19 September 2018. Kulit robotik itu sebenarnya dihasilkan daripada sarung elastik yang tertanam dengan sensor dan penggerak khas.

Ia kemudian boleh dibalut pada objek misalnya pada kaki anak patung kuda dan menjadikan ia robot jadian yang boleh bergerak.

Berfungsi sebagai robot buat sementara waktu, ia berkebolehan untuk melakukan tugasan yang berbeza bergantung pada sifat objek tersebut dan bagaimana kulit robotik diletakkan kepadanya.

“Kulit robotik boleh digunakan dengan membungkuskannya pada satu objek untuk melaksanakan tugas tertentu dan kemudian mengambil serta meletakkannya pada objek lain untuk melakukan tugas yang berbeza seperti menggenggam dan memindahkan objek,” jelas Kramer-Bottiglio.

Tambahnya, kulit robotik membolehkan pengguna membuat robot pelbagai fungsi dengan pantas.

“Ini bermakna ia boleh digunakan dalam ketetapan yang tidak pernah dipertimbangkan ketika ia direka,” tambahnya.

Prototaip

Selain itu, lebih daripada satu jenis kulit robotik boleh digunakan pada satu masa membolehkan pergerakan yang lebih kompleks dilakukan.

Sebagai contoh, Kramer-Bottiglio berkata, kulit robotik itu boleh disusun untuk mendapatkan pelbagai jenis gerakan yang berbeza pada satu objek yang sama.

“Kulit robotik boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai fungsi pada satu objek yang sama contohnya pemampatan dan lenturan secara serentak,” ujarnya.

Untuk menunjukkan kulit robotik boleh menghasilkan robot jadian dengan pelbagai fungsi pula, penyelidik kajian tersebut telah mencipta beberapa jenis prototaip.

Ia termasuklah silinder buih yang boleh bergerak seperti cacing, peranti yang boleh dipakai seperti kemeja yang direka untuk membetulkan postur badan serta peranti dengan alat khas yang dapat memahami dan memindahkan objek.

Kramer-Bottiglio berkata, dia mendapat idea untuk mencipta kulit robotik beberapa tahun lepas apabila Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) meminta Universiti Yale untuk mereka bentuk robot dengan struktur yang lembut.

Teknologi kulit robotik tersebut direka bentuk dengan kerjasama NASA. Ia mempunyai fungsi yang pelbagai dan boleh digunakan untuk membolehkan para angkasawan melaksanakan pelbagai tugas hanya menggunakan bahan yang sama.

Dengan penciptaan kulit robotik, Kramer-Bottiglio berkata, apa-apa sahaja daripada belon hingga bola-bola kertas berpotensi ditukar menjadi robot dengan matlamat tertentu.

Bagi mengembangkan lagi penyelidikan dalam penghasilan kulit robotik yang lebih canggih, Kramer-Bottiglio baru-baru ini dianugerahkan geran bernilai AS$2 juta dolar (RM8.3 juta) daripada Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat sebagai sebahagian program penyelidikan dan inovasi.