Ketika sama Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, 68, telah diarahkan bercuti oleh pentadbiran Mahathir. Namun berdasarkan Fasal 5, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara berhak memegang jawatannya selagi diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam keadaan sewajarnya pelantikan Peguam Negara tidak menjadi isu besar politik, tetapi cadangan nama Tommy telah memasuki orbit perdebatan soal kaum dan agama.

Ketika keadaan kian panas, pihak Istana Negara secara tiba-tiba pada pukul 3 pagi 5 Jun lalu mengeluarkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara yang baharu dengan kontrak selama dua tahun.

Peranan

Seri Paduka dengan tegas bertitah menyeru seluruh rakyat menerima bahawa pelantikan Peguam Negara tidak seharusnya menimbulkan konflik kaum atau agama. Ini kerana titah Seri Paduka, semua rakyat negara ini harus dilayan dengan adil.

Pelantikan Peguam Negara yang baharu sepatutnya tidak menimbulkan kontroversi sekiranya masyarakat lebih memahami konsep pengasingan kuasa dalam sistem pentadbiran negara ini.

Kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang tersendiri dan tidak bertindih antara satu sama lain.

Pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari menjelaskan peranan sebenar Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan iaitu sebagai peguam dan pendakwa raya bagi pihak kerajaan Malaysia.

Jelasnya, bidang tugas Peguam Negara tidak langsung menyentuh bidang kuasa kehakiman termasuk Mahkamah Syariah.

Malah kebimbangan yang diutarakan oleh segelintir pihak tentang bagaimana seorang Peguam Negara yang bukan Islam dapat mengendalikan isu-isu syariah sebenarnya tidak berbangkit.

“Tidak timbul isu seperti yang dibimbangi oleh banyak pihak terutama berkaitan hal-hal agama Islam kerana Peguam Negara tidak ada kuasa dalam hal itu,” kata Abdul Aziz.

Dalam hal ini, Fasal 2 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan Peguam Negara hendaklah memberi nasihat mengenai perkara undang-undang yang dirujukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri.

Peguam Negara juga hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, bagi memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Namun fasal tersebut menyebut kuasa Peguam Negara tidak melibatkan prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Menyentuh soal kepentingan Islam, Jabatan Peguam Negara (AGC) sebenarnya sudah pun mempunyai Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang yang menangani isu berkaitan dengan undang-undang syariah di peringkat Persekutuan dan antarabangsa. Ia diletakkan di bawah Peguam Cara Negara.

AGC juga mempunyai Majlis Pakar (Pelbagai Disiplin) yang dikendalikan pakar hal ehwal undang-undang syariah, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Bukan Islam

Sebenarnya terdapat dua orang bukan Islam-Melayu yang pernah menjawat jawatan sebagai Peguam Negara iaitu Thomas Vernor (1955-1959) dan Cecil M. Sheridan (1959-1963).

Kedudukan Peguam Negara selaku pendakwa raya pula disebutkan secara khusus dalam Seksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah.

Bekas Peguam Persekutuan, Datuk Salleh Buang dalam satu artikelnya pernah menyebut, seorang Peguam Negara memakai dua topi – pertama, topi Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku penasihat utama kerajaan Persekutuan dan kedua, topi ketua pendakwa di bawah Kanun Acara Jenayah yang bertanggungjawab ke atas semua prosiding jenayah di negara ini.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara ada budi bicara mengawal dan mengarah semua pendakwaan jenayah, bukan setakat memulakan dan menjalankan mana-mana prosiding jenayah, bahkan juga memberhentikan prosiding yang telah dimulakannya,” kata beliau.

Jelasnya, segala tindakan Peguam Negara yang dilakukan berasaskan kuasa budi bicara pendakwaan ini tidak boleh persoalkan oleh mahkamah atau mana-mana ahli Parlimen.

Dalam hal ini, keputusan kerajaan mencadangkan nama Tommy sebagai Peguam Negara dilihat dibuat atas kepercayaan bahawa beliau mempunyai merit tersendiri.

Beliau mempunyai tanggunjawab berat untuk mengendalikan pendakwaan melibatkan kes-kes berprofil tinggi yang sedang dalam siasatan termasuk isu skandal syarikat 1Malaysia Development Bhd.