Meletak nama anak sebagai Stormi (anak Kylie Jenner) sahaja sudah menjadi perdebatan, apa lagi jika melakukan hal-hal konyol yang dianggap keterlaluan. 

Siapa selebriti dalam kelompok masyarakat? Mereka adalah bintang dalam kehidupan masyarakat. Hebatnya kuasa selebriti setaraf dengan tokoh-tokoh terkenal. Ada individu yang memulakan kariernya sebagai selebriti sempat diiktiraf menjadi orang penting dalam masyarakat. Hal itu yang berlaku terhadap Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin apabila beliau dilantik sebagai Senator pada 13 Oktober 2004. 

Justeru, sebagai sumber ‘bintang’ atau ‘nafas’ dalam masyarakat, perilaku atau etika kehidupan mereka duduk dalam hierarki paling tinggi. Semuanya perlu sempurna dan betul pada mata masyarakat.

Mereka sedar selebriti mempunyai piawaian yang besar dan mampu menjadi suri teladan yang baik dalam mempengaruhi masyarakat. 

Tentu sahaja sebagai manusia biasa atau diri sendiri, ada kekhilafan yang tetap akan terjadi. Sama ada berlaku secara tercuai atau sebaliknya, ia telah menuai polemik atau kacau bilau dalam masyarakat.  
 
Ajaib

Melakukan beberapa siri kekhilafan, satu-satunya sakti yang terdapat dalam tangan selebriti adalah kuasa retorik mereka. Retorik bermaksud seni atau teknik memujuk melalui bahasa lisan, visual mahupun tulisan. Kuasa retorik cukup berkait rapat bukan sahaja dengan selebriti tetapi juga individu biasa. Namun di atas tiket selebriti, kuasa retorik lebih mudah diguna pakai.

Malah sejarah peradaban manusia juga membuktikan empat aksara yang berbunyi ‘maaf’punya kuasa sakti bukan kepalang. Perkataan tersebut adalah jalan selamat bagi apa juga yang dinamakan perseteruan, persengketaan atau kesilapan dan malapetaka yang telah dilakukan.

Ada yang kata penggunaan kata ‘maaf’ sebagai retorik. Ada juga yang kata ia tuntutan agama serta meletakkannya sebagai tatasusila, budaya dan adat resam. Jika seseorang selebriti atau individu biasa telah meminta maaf, kenapa masyarakat pula memandang serong akan akhlak maaf memaafkan ini? Bukankah memaafkan itu perbuatan yang mulia dan bersifat manusiawi.

Bercakap tentang retorik dan etika hidup selebriti, banyak sejarah merapu, mengejutkan dan memalukan sudah menjadi sahabat sejati bagi kebanyakan selebriti di seluruh dunia. 

Mengambil contoh sejarah seleberiti dari Indonesia ialah Kris Dayanti. Pada tahun 2011, bintang terkenal republik tersebut berkahwin dengan usahawan dari Timor Leste, Raul Lemos. 

Bukan sahaja dilaporkan berselingkuh dengan lelaki itu sewaktu dia masih bergelar isteri kepada Anang Hermansyah, Kris Dayanti dengan berani mendedahkan dirinya hamil sebelum berkahwin.

Usia kandungannya sudah mencecah empat bulan sewaktu dia dan Raul bernikah.

Heboh isu tersebut, penyanyi itu dikecam, namun ajaibnya masyarakat memaafkan perbuatan tersebut dan sehingga kini Kris Dayanti merupakan antara penya nyi yang menerima bayaran paling mahal dalam kalangan anak seni Indonesia.

Tabu

Pada 26 Februari 2018, satu sejarah baharu tercipta dalam peta hiburan tempatan. Pelakon, hos dan usahawan yang sedang ‘naik daun’, Neelofa menganjurkan majlis ulang tahun ke-29 serta pelancaran koleksi terkini jenama tudungnya, Nealofar Hijab di Zouk, sebuah kelab malam yang mahsyur di ibu kota.

Neelofa telah ‘melompat tembok’ tabu apabila memperkenalkan produk terkininya yang berupa turban dan shawl di bawah koleksi Be Lofa dengan membelakangkan sensitivi agama. Impak daripada keberanian tersebut, wanita itu dihujani pelbagai respons. 

Berdiri atas panji Islam yang bukan liberal, perbuatan Neelofa dianggap terkutuk. Dia melancarkan hijab, pelengkap aurat yang memuliakan wanita Islam di kelab malam yang dilabelkan sebagai penyumbang maksiat terbesar.

Para mufti termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan cendekiawan agama malah persatuan seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia menegur wanita muda itu.

 Publisiti yang buruk tetap publisiti. Dari segi pemasaran, strategi Neelofa berjaya. Tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membayar iklan, jenama itu telah berjaya diceritakandalam hampir kesemua media massa termasuk platform digital. Koleksi tudung terbaharu iaitu Be Lofa Turban yang dijual pada harga RM73 dan RM75 dalam 45 warna licin disapu dalam tempoh dua minit selepas dijual secara online. 

Pada saat amarah khalayak begitu menggelegak, Neelofa hanya memerlukan satu kata. Dia cuma perlu meminta maaf sebagai kuasa retorik seorang selebriti dan isu itu telah masuk dalam kategori tutup buku. Masyarakat menyambut baik permohonan maaf tersebut.

Menyifatkan seseorang selebriti mempunyai aura atau roh tersendiri, Imam Muda Asyraf berpendapat meminta maaf dan memaafi adalah satu perbuatan yang mulia.

Masyarakat

Bagaimanapun setiap selebriti perlu bertanggungjawab, lebih sensitif dan mengambil pengajaran terhadap sesuatu kesalahan yang telah dilakukan walaupun telah dimaafkan serta diterima masyarakat.

“Selebriti juga manusia biasa yang berbuat silap. Namun, jika kita silap jangan tegakkan benang yang basah dan peminat pula harus menilai sebelum menyokong iaitu sokonglah tindakan yang betul, bukannya sokong kerana mereka selebriti kesayangan anda,” ujarnya yang juga memberitahu cara respons dan karakter seseorang selebriti banyak memainkan peranan terhadap sesuatu isu yang timbul. 

Menurut pengasas Bait al Rizai pula, Hassan Hayastani, masyarakat mudah menerima selebriti meski selepas situasi-situasi atau kejadian yang diherdik, dikecam dan dicemuh masyarakat kerana sedikit kesilapan mereka sebab masyarakat juga tahu bahawa sebagai seorang selebriti tetap mereka adalah manusia biasa yang bukan maksum daripada berbuat kesilapan.

“Selebriti memohon maaf atas berbuat kesilapan dan memaafkan masyarakat yang mengadu domba serta berseteru dengannya kerana sedikit kesilapan itu adalah teladan terbaik merupakan sikap budiman mereka,” ujarnya.

Tambah Hassan lagi, secermat manapun seseorang selebriti itu menjalani kehidupannya, pasti ia tidak mampu menyenangkan hati semua orang.

Justeru, hanya anak seni yang benar-benar kental  mampu bergelumang dan berhadapan dengan setiap sepak terajang dunia hiburan. 

Seperti kata penerbit, pengarah, pelakon dan usahawan berjaya, Datuk Rosyam Nor: “Jika terjadi sesuatu isu, jangan dilayan berlebihan. Perkara itu akan hilang bila kita senyap. 

“Dan jangan ego untuk mohon maaf.”

Maaf, retorik atau tidak, hakikatnya itulah perkataan yang mampu mendamaikan dunia.