Sumber legitimasi undang-undang sebagai satu bentuk kawalan sosial ialah badan legislatif, entiti yang dalam demokrasi dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya terbuka yang adil dan saksama.

Menurut mereka, salah satu peranan penting undang-undang adalah untuk menyumbang kepada pemeliharaan dan pengekalan susun atur dan ketertiban sosial apabila berlaku huru-hara dan konflik. Dengan adanya undang-undang maka hak individu dalam masyarakat akan dilindungi apabila berlaku perbalahan.

Selain itu, adalah jelas bahawa susun atur dan ketertiban sosial itu pula penting untuk membolehkan anggota masyarakat bergaul sesama sendiri dalam keadaan yang aman damai dan tenteram dalam kehidupan mereka. Mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan sewaktu berinteraksi.

Bagaimanapun, oleh sebab dinamika dalaman sesebuah masyarakat berbeza-beza, maka setiap masyarakat mempunyai susun atur yang tersendiri, dan barangkali juga unik hanya untuk sistem sosial yang menjadi amalan dan anutan masyarakat berkenaan.

Rejim

Sesetengah masyarakat dikawal oleh rejim undang-undang yang terlalu ketat dan membelenggu, manakala sebilangan yang lain boleh berfungsi tanpa adanya struktur undang-undang yang agak longgar dan terlalu mengongkong.

Sudah tentu mekanisme kawalan sosial tidak hanya bergantung kepada undang-undang, baik undang-undang jenayah atau sivil, semata-mata. Kawalan sosial juga mempunyai karakter moral dan politik dalam mana undang-undang diwujudkan.

Malah kehendak politik dalam kalangan pemerintahlah yang merupakan salah satu tenaga berpengaruh dalam penggubalan sesuatu undang-undang baharu atau melakukan pindaan terhadap akta yang sedia ada.

Hal ini berlaku berkait dengan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama minggu lalu oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Parti-parti pembangkang, dan sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis hak asasi membantah keras dan ada kalanya ganas akan pengenalan rang undang-undang tersebut dan mendesak kerajaan membatalkan pengenalannya sejak ia mula-mula diuar-uarkan sampailah ia dikemukakan untuk dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.

Mereka menganggap penggubalan undang-undang seumpama itu sebagai tidak adil dan zalim.

Pelbagai akta sedia ada sudah memadai untuk mengawal berita tidak benar, kata mereka. Hukuman agak berat yang dikenakan terhadap pencipta, pembekal dan penerbit berita tidak benar iaitu penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM500,000 atau kedua-dua sekali adalah tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Ketiadaan takrifan terperinci mengenai ciri-ciri berita tidak benar di dakwa oleh mereka boleh memberi ruang kepada kalangan yang berkuasa untuk menyalahgunakan undang-undang itu kelak untuk mendakwa, menutup mulut dan menghumban pengkritik kerajaan ke dalam penjara.

Mereka berpendapat langkah menyerahkan kepada hakim untuk mentakrifkan sesuatu berita tidak benar atau tidak benar juga bermasalah.

Malah, ada yang secara sinis bertanya: Bolehkah maklumat dan berita yang dikeluarkan oleh kerajaan dianggap dan diterima sebagai kebenaran mutlak yang tidak boleh dipertikaikan?

Norma

Kerajaan pula berpendapat sebuah akta untuk mengawal berita tidak benar diperlukan untuk mengawal penciptaan, penawaran dan penerbitan berita palsu yang semakin berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Akta yang sedia ada, secara spesifik, tidak menangani penularan berita tidak benar secara komprehensif.

Kerajaan juga berpendapat jika tidak ada satu mekanisme formal kawalan sosial dalam bentuk undang-undang bagi menghapuskan penerbitan yang mengandungi bahan tidak benar melalui pengetepian perintah oleh pihak mahkamah apabila aduan dibuat, maka berita tidak benar akan diterima sebagai benar serta terus disebarkan melalui pelbagai platform komunikasi pintar sekarang.

Dikhuatiri jika tidak ada kawalan sosial yang jelas dalam bentuk perundangan, maka berita tidak benar akan menjadi norma dalam masyarakat yang boleh mengancam keselamatan negara dari pelbagai segi – ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, sekalipun demokrasi kita dikategorikan oleh sesetengah kalangan sebagai tidak liberal, bantahan dalam pelbagai bentuk, termasuk mengadakan tunjuk-tunjuk perasaan, perarakan atau mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian seperti yang dizahirkan oleh golongan yang menentang Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar itu memang dibenarkan.

Mereka boleh berterusan berbuat demikian sehingga “lembu pulang ke kandang.” Percayalah, tindakan para penentang itu akan berkesudahan dengan sia-sia umpama menjirus air di daun keladi. Bukit tidak akan runtuh hanya kerana salakan anjing.

Dan percayalah, parti yang membentuk kerajaan tidak akan mengendahkan segala bantahan tersebut. Keputusan untuk menggubal rang undang-undang atau meminda mana-mana akta yang ada, adalah hak dan kuasa kerajaan.

Tidak ada apa-apa yang boleh menghalang kerajaan untuk meneruskan proses menjadikan rang undang-undang tersebut sebagai suatu undang-undang selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat, Dewan Negara, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya diwartakan.

Cabang eksekutif yang mencadangkan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 itu mempunyai majoriti yang diperlukan dalam dewan perundangan Persekutuan.

Benar ada pandangan mengatakan badan legislatif itu sepatutnya bertindak sebagai kuasa negara untuk memeriksa dan mengimbang kuasa eksekutif. Dari segi teori doktrin pengasingan kuasa menurut perspektif penganut demokrasi liberal pandangan itu mungkin benar.

Dalam amalan demokrasi perwakilan ala-Westminster yang kita amalkan, Dewan Rakyat dan juga dewan perundangan pada peringkat negeri yang lazimnya dikuasai oleh parti yang membentuk cabang eksekutif, sebenarnya tidak lebih sebagai suatu entiti untuk memberi legitimasi kepada segala urusan kerajaan.

Ini termasuklah dalam hal penggubalan rang undang-undang menjadi undang-undang!

Datuk Dr. Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia.