Jika timbul perasaan teruja untuk mengalami pengalaman yang boleh dianggap luar biasa itu, anda mungkin berfikir banyak kali selepas suatu kontroversi tercetus menerusi kejadian pada pukul 10 malam Ahad, 18 Mac lalu di Tempe, Arizona, Amerika Syarikat (AS).

Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo yang digunakan sebagai Uber dan beroperasi tanpa pemandu telah melanggar seorang pejalan kaki sehingga menemui ajal.

Mangsa merupakan seorang wanita yang dikenali sebagai Elaine Herzberg, 49, dikatakan sedang melintas jalan dengan basikalnya apabila dia tiba-tiba dilanggar kenderaan yang bergerak pada kelajuan 64 kilometer per jam (kmj) di zon yang diwartakan untuk had kelajuan 56kmj itu.

Siasatan yang dijalankan pihak polis Tempe mendapati tiada tanda-tanda signifikan kenderaan tersebut memperlahankan kelajuannya sebelum kemalangan itu.

Sehubungan itu, pejabat Peguam Maricopa County, Arizona akan menentukan sama ada dakwaan akan difailkan.

Uber sebenarnya telah membuat ujian terhadap kereta yang boleh bergerak tanpa pemandu itu sejak tahun lepas di Arizona. Apabila Uber memulakan ujian di California pada 2016, kenderaan tersebut telah melanggar lampu isyarat sehingga menimbulkan perdebatan membabitkan pihak berkuasa San Francisco.

Disemarakkan pula dengan tragedi di Tempe tersebut, ia segera menimbulkan perdebatan sama ada kenderaan yang boleh bergerak sendiri tanpa pemandu atau juga digelar sebagai kereta robot boleh dibenarkan beroperasi secara rasmi tanpa menggugat keselamatan, khususnya orang awam.

Dalam pada itu, Uber telah menggantung semua ujian daripada dilakukan di bandar-bandar seluruh AS. Pihak Volvo dan Toyota yang menjalinkan kerjasama dengan Uber (atau sedang dalam perundingan perjanjian kerjasama), bagaimanapun enggan mengulas tentang masa depan hubungan mereka dengan syarikat kereta sewa itu.

Pensyarah di Arizona State Univesity, Michael G Bennet berkata, tragedi yang berlaku itu menimbulkan kepentingan terhadap suatu reformasi dalam teknologi ciptaan kereta robot.

“Tragedi di Tempe tersebut telah menimbulkan perdebatan terhadap nilai teknologi kereta robot terhadap kehidupan manusia sejagat,” katanya.

Sementara itu Pengarah Perunding Teknologi dan Privasi Consumer Watchdog, John M. Simpson berkata, tragedi itu segera menimbulkan isu akan keperluan terhadap undang-undang ketat bagi menghadapi kemajuan dalam ciptaan teknologi kereta robot.

“Kereta robot tidak boleh menjangka secara tepat kelakuan manusia, dan masalah utama timbul adalah dalam interaksi antara kenderaan robot itu dan manusia.

“Teknologi tersebut sebenarnya belum bersedia untuk dikomersialkan dan tragedi di Tempe, Arizona itu adalah buktinya,” tegas beliau.