Lebih enam juta orang pula terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri, manakala lebih ramai lagi meninggalkan Syria.

Konflik bersenjata itu menyaksikan kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad dengan bantuan Rusia dan puak Syiah memerangi pemberontak termasuk kumpulan serpihan Daesh, Al-Qaeda serta penglibatan Turki dan Barat.

Sebilangan penganalisis berpendapat gendang perang di Syria mula berbunyi pada tahun 2009 lagi selepas Bashar menolak cadangan membina saluran paip gas dari Qatar melintasi negara itu hingga ke Eropah, atas permintaan Moscow.

Rusia menolak projek tajaan Barat tersebut bagi memastikan keterusan kebergantungan Eropah kepada gas Moscow tidak terjejas.

Rentetan itu, Barat dan sekutunya di Teluk merancang pemberontakan terhadap Bashar bagi memastikan projek tersebut menjadi satu realiti.

Katalis perang

Situasi terkini di Syria menyaksikan Bashar semakin memenangi perang di tanah airnya sendiri. Kubu terakhir pemberontak dekat Damsyik, Ghouta Timur, jatuh ke tangan tentera kerajaan dan militia Syiah beberapa hari lalu.

Barat yang dikepalai Amerika Syarikat (AS) menjelaskan dasarnya sejak awal lagi bahawa masa untuk Bashar berundur sudah tiba walaupun Kremlin berkeras mahu pemimpin daripada puak minoriti Syiah Alawi itu terus memerintah Syria.

Sepanjang perang saudara di Syria berterusan, pertembungan serius Washington dan Moscow berlaku tiga kali.

Pada Februari lepas, AS menonjolkan kekuatan tentera udaranya semasa perang tiga jam di utara Syria. Menurut Pentagon, kira-kira 500 askar termasuk tentera upahan Moscow yang dibantu sejumlah kereta kebal, artileri dan senjata berat lain menyerang pangkalan tentera pemberontak, Tentera Demokratik Syria (SDF) dekat bandar Deir Ezzor.

AS mengerahkan sebilangan helikopter gempur Apache, jet pejuang, pesawat pengebom dan pesawat bersenjata untuk melancarkan serangan udara yang berterusan selama tiga jam bagi menghapuskan musuh.

Beberapa minggu kemudian, Presiden Donald Trump mengarahkan bedilan 59 peluru berpandu Tomahawk untuk memusnahkan sebuah pangkalan udara Syria tanpa mempedulikan amaran Moscow. Serangan itu bagi membalas penggunaan senjata kimia oleh rejim Bashar.

Serangan itu membuktikan bahawa dasar Trump tidak koheren. Walaupun pernah menegaskan tidak mahu mencampuri perang di Asia Barat seperti Presiden AS sebelumnya, Trump terbukti boleh mengubah pendiriannya bila-bila masa sahaja.

Baru-baru ini pula, AS, Perancis dan Britain sekali lagi menembak 105 peluru berpandu ke Syria sebagai tindak balas terhadap dakwaan penggunaan senjata kimia oleh tentera Bashar walaupun menerima amaran keras Kremlin.

Sungguhpun serangan misil terbaharu itu lebih bersifat simbolik atau demi menjaga maruah, situasi tersebut menurut penganalisis, menjadi bukti kuasa besar sama ada Barat, mahupun Rusia, tidak akan beralah di Syria, manakala kesilapan percaturan boleh mencetuskan perang lebih besar atau perang skala dunia.

Risiko itu ditingkatkan lagi dengan pengumuman Arab Saudi bahawa Riyadh sedia menghantar tenteranya ‘bagi membantu mengamankan’ situasi di Syria.

Tindakan itu pastinya akan mengundang kemarahan musuh ketatnya, Iran dan Rusia, yang menganggap campur tangan Arab Saudi ibarat ‘menyimbah minyak ke dalam api’.

Satu lagi faktor yang tidak boleh dipandang remeh ialah ikrar Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman pada awal bulan ini bahawa rejim Zionis tidak akan membenarkan Iran bertapak di Syria, walau apapun harganya.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas jet-jet perang Israel menyerang pangkalan udara tentera Bashar, T-4, di Homs, mengakibatkan 14 orang terbunuh.

Kebimbangan tercetus kemungkinan Israel tersilap menyerang tentera Rusia di Syria sekiranya Tel Aviv membuat keputusan melancarkan serangan seterusnya terhadap rejim Bashar pada masa hadapan.

Serangan balas Rusia ke atas Israel jelas mengundang tindak balas AS dan sekutunya sekali gus resipi untuk perang global.

Genting

Bagaimanapun, ramai penganalisis pesimis bahawa perang di Syria akan membawa kepada perang dunia.

Hujah utama mereka adalah pemain-pemain utama perang proksi itu merupakan kuasa nuklear dan sudah tentu memahami bahawa impak perang nuklear adalah terlalu buruk untuk manusia sejagat.

Menurut mereka, perang proksi di Asia Barat telah berlarutan sejak 70 taun lalu tetapi tidak pernah merebak menjadi perang sepenuhnya yang menular ke luar rantau tersebut. Malah, situasi di Ukraine dan Eropah Timur dianggap lebih genting berbanding perang saudara Syria.

Perang Syria sekiranya dibiarkan merebak ke seluruh Asia Barat juga akan mencetuskan situasi kalah-kalah kepada negara yang terlibat termasuk AS, Arab Saudi, Israel, Turki di samping Rusia, Iran dan Syria.

Namun, harus diingat Perang Dunia Pertama tercetus hanya atas tindakan menjaga maruah susulan pembunuhan pewaris empayar Austria-Hungary, Archduke Franz Ferdinand dan isterinya membabitkan isu perebutan sebuah negara kecil, Bosnia pada tahun 1914.

Semakin lama perang di Syria dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian politik, semakin tinggi pula risiko pihak-pihak terbabit melanggar ‘garisan merah’ yang mengundang tindakan di luar batasan sehingga mencetuskan api perang lebih besar termasuk perang dunia.