Mereka yang merupakan pencari madu tradisional ini adalah sebahagian daripada penduduk kampung yang menjelajah ke pelosok hutan paling dalam, menggadai nyawa setiap tahun mencari madu ‘eksklusif’ ini yang tersembunyi di dahan-dahan pokok tualang yang menjulang tinggi.

“Terdapat banyak nutrisi dan khasiat dalam madu ini yang boleh dijadikan sebagai ubat untuk batuk atau selesema.

“Ini adalah madu asli yang sangat berkualiti,” kata Abdul Samad Ahmad, 60, yang merupakan pencari madu tualang sejak 20 tahun lalu.

Seperti madu Manuka dari New Zealand yang mempunyai manfaat dalam perubatan, madu tualang dari Malaysia juga sangat mahal harganya dan boleh mencecah harga RM150 sekilogram.

Namun, kerjaya turun-temurun ini berhadapan dengan pelbagai ancaman antaranya kemusnahan alam, pengurangan jumlah lebah dan juga kurangnya minat dalam kalangan golongan muda.

Bagi pemburu tegar, mereka tetap optimistik kerana bagi mereka nilai madu lebah tualang terlalu eksklusif walaupun terpaksa bergadai nyawa memanjat pokok tualang dengan ketinggian 75 meter. Hasilnya amat berbaloi.

Musim mengumpul madu lebah di Hutan Ulu Muda di utara Semenanjung bermula dari Februari hingga April apabila lebah-lebah gergasi tiba dari daerah lain di Asia membuat sarang di atas pokok.

Tiada kajian komprehensif dilakukan berkaitan populasi lebah di Ulu Muda, namun seorang pakar lebah dari Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Dr. Makhzir Mardan memberitahu, ekspedisi yang dilakukan pada 1983 di hutan tersebut mendapati 128 sarang lebah di atas sebatang pokok. Bagaimanapun kini, hanya lebih kurang 40 sarang yang boleh ditemui. – AFP