Pengharaman arak atau minuman keras yang mengandungi alkohol itu adalah kerana membawa kemudaratan kepada manusia. Mudaratnya arak itu bukan suatu yang terlalu sukar untuk dijelaskan dengan segala contoh di depan mata.

Sejak minggu lalu, Malaysia gempar apabila 33 orang dilaporkan mati kerana keracunan alkohol di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak yang dipercayai setelah minum arak.

Kematian itu antaranya membabitkan rakyat tempatan dan warga asing seperti Bangladesh, Nepal, Myanmar serta India.

Kementerian Kesihatan memaklumkan sehingga Isnin lalu, pihaknya telah menerima sebanyak 87 kes notifikasi keracunan metanol. Metanol ialah sejenis alkohol beracun yang mudah terbakar dan digunakan sebagai pelarut.

Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa telah memeriksa premis-premis menjual arak dan botol-botol arak daripada beberapa jenama telah disita.

Kini pihak polis sedang melakukan siasatan mengenainya. Sama ada ia berkaitan dengan kes jenayah atau tidak serta kelak disabitkan dengan kesalahan undang-undang atau sebaliknya, peristiwa ini sedikit sebanyak mengingatkan kita khususnya umat Islam tentang mendahulukan kewajipan menghindari arak seperti mana yang disyariatkan agama.

Baru-baru ini, USA Today turut melaporkan berita bertajuk Alcohol is a leading cause of death, disease worldwide (Alkohol merupakan penyebab utama kematian dan penyakit di seluruh dunia).

Menurut laporan itu, alkohol membunuh ramai manusia di dunia, lebih daripada apa yang kita fikirkan. Kajian disiarkan di jurnal The Lancet itu mendapati arak seperti beer dan wain merupakan faktor utama kepada kematian dan penyakit dengan meragut nyawa 2.8 juta orang setahun.

Keputusan penyelidikan berskala besar oleh pengkaji dari University of Washington itu diperoleh daripada 694 kajian corak peminum arak global serta kaji selidik ke atas 28 juta orang di 195 negara dari 1990 hingga 2016.

Mereka mendapati minum arak dikaitkan dengan kematian 1 daripada 10 orang yang berusia 15 hingga 49 tahun.

Laknat

Lebih mengejutkan, pengkaji mendapati risiko daripada pengambilan arak itu lebih dahsyat daripada apa yang difikirkan sebelum ini. Mereka juga menyatakan tidak ada sebarang amaun alkohol yang boleh dianggap sihat!

Pengkajinya, Max Griswold mendakwa minum dua atau tiga teguk arak sudah memadai untuk anda mendapat ‘kemudaratan kecil’.

“Jika semua manusia di dunia mengurangkan pengambilan arak, kita boleh menyelamatkan berjuta-juta nyawa,” katanya.

Kewajipan menjauhi arak (al-khamar) atau pengharamannya difirmankan Allah dalam surah al-Maidah ayat 90: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah (semuanya) kotor (keji) daripada amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Ijma’ ulama berpendapat, pengharamannya adalah kerana ia boleh memabuk dan menjejaskan fungsi akal sedangkan Islam amat menitikberatkan kesejahteraan akal.

Pengharaman terhadap arak juga terlalu kuat dan ia bukan sekadar tegahan meminumnya tetapi segala aktiviti mengenai arak, termasuk menjual, memproses dan membelinya.

Sebuah hadis meriwayatkan Rasulullah melaknat tentang arak terhadap sepuluh golongan iaitu pemerah, peminta ia diperah, peminum, pembawa, penghantar, penuang, penjual, mereka yang makan daripada hasil jualan, pembeli dan peminta ia dibeli.

Penceramah, Abdul Rauf Abd. Aziz dalam satu ceramah di bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur menerangkan, meminum arak adalah berdosa besar. Dalam undang-undang Islam, ia tergolong kesalahan yang mempunyai ketetapan hukuman.

“Menurut Imam Syafie, arak itu ialah semua jenis minuman yang memabukkan tidak kira apa jua jenamanya, sumber ia diperbuat tidak kiralah perahan anggur, bali, gandum atau beras.

“Jauhkanlah diri kita daripada perkara yang memabuk dan merosakkan tubuh badan. Allah mengingatkan hambaNya supaya janganlah kamu mencampakkan diri ke lembah kebinasaan,” katanya.

Pengharaman arak atau minuman keras yang mengandungi alkohol itu adalah kerana ia membawa kemudaratan kepada manusia