Menurut majalah politik The Diplomat, pesawat pengebom itu mendarat di pangkalan luar terbesar China di Laut China Selatan, Pulau Woody yang terletak di Kepulauan Paracel. Kepulauan tersebut dituntut oleh Filipina.

Selain mempunyai pasukan tentera di Pulau Woody, China turut menempatkan skuadron jet pejuang J-11, sistem peluru berpandu darat ke udara HQ-9 dan pelbagai persenjataan lain di lokasi tersebut.

Kementerian Luar China menyatakan pada minggu lalu bahawa pendaratan H-6K adalah sebahagian daripada latihan tentera melibatkan sebilangan pesawat pengebom tersebut melancarkan simulasi serangan ke atas sasaran di laut.

Menurut laman web Military Today, kapal terbang H-6K merupakan versi moden pesawat pengebom jarak jauh era Kesatuan Soviet, Tupelov Tu-16. Jet pengebom China itu dilaporkan memasuki perkhidmatan pada tahun 2013. Ia boleh terbang sejauh 3,500 kilometer (km) dan capaiannya meningkat antara 4,000 hingga 5,000km jika membawa misil jarak jauh. Namun, lebih utama, pesawat tersebut boleh membawa bom nuklear.

Penempatan pesawat pengebom H-6K di pulau-pulau tuntutan bertindih adalah signifikan kerana ia memberi isyarat bahawa jet China berupaya menyerang mana-mana sasaran di Asia Tenggara termasuk Filipina, Indonesia, Malaysia selain Jepun dan Guam jika perang berlaku.

Bimbang

Situasi terbaharu itu mencetuskan kebimbangan serius di Filipina, manakala Amerika Syarikat (AS) turut menghantar beberapa kapal perang ke zon maritim tersebut.

Beberapa penganalisis berkata, perkembangan itu adalah persiapan awal, manakala langkah serupa akan menyusul di tujuh buah pulau yang ditambak dan diduduki Beijing di Kepulauan Spratly, zon maritim yang dituntut oleh Kuala Lumpur. Sehingga kini, China menempatkan hangar, radar dan sistem peluru berpandu termasuk misil pemusnah kapal di Kepulauan Spratly.

Tindakan mendaratkan pesawat pengebom di zon tuntutan bertindih itu juga bukti niat China yang mahu menguasai Laut China Selatan tanpa mengira sama ada tindakan itu mendapat ‘restu’ jiran-jirannya atau ditentang oleh AS.

Ketumbukan Pasifik AS menyatakan pada bulan lalu bahawa China membina kekuatan tentera yang mencukupi di Laut China Selatan bagi menguasai sepenuhnya zon maritim tersebut.

“Kemudahan tentera yang dibina membolehkan China meluaskan pengaruhnya beberapa ribu kilometer ke selatan mencakupi Oceania dan mencabar kehadiran AS di rantau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Penempatan tentera dan peralatan ketenteraan oleh Beijing di zon tuntutan bertindih itu disifatkan Pentagon sebagai jauh lebih besar berbanding mana-mana negara yang turut membuat tuntutan di Laut China Selatan.

Dalam erti kata lain, China kini menguasai Laut China Selatan dalam semua situasi melainkan perang dengan AS.

China menuntut 90 peratus laut tersebut. Selain Beijing, sebahagian kawasan di Laut China Selatan itu dituntut oleh Taiwan, Vietnam, Brunei, Filipina dan Malaysia.

Malaysia menuntut tiga buah pulau di Kepulauan Spratly, lapan oleh Filipina, manakala Vietnam menguasai 21 pulau dan terumbu di perairan tersebut.

Beberapa penganalisis berpendapat, keupayaan ketenteraan China di Laut China Selatan meningkat disebabkan pelbagai faktor termasuk keengganan Washington untuk terlibat dalam konfrontasi langsung dengan Beijing dan dasar Presiden Donald Trump untuk memberi lebih tumpuan kepada krisis di Semenanjung Korea.

AS dan sekutunya sebelum ini menghantar kapal perang untuk melakukan misi kebebasan belayar di Laut China Selatan, namun tindakan itu gagal mengekang dasar peluasan Beijing.

Seorang penganalisis Pusat Strategik dan Antarabangsa, Bonnie Glaser berkata, peningkatan kekuatan ketenteraan Beijing di Laut China Selatan membolehkan China ‘mempengaruhi jiran-jirannya yang lemah’.

“Menerusi kekuatan tenteranya, China boleh memberi tekanan kepada Vietnam dan Filipina supaya tidak mengeluarkan minyak serta gas di perairan yang dituntut oleh Beijing,” katanya.

Namun, konfrontasi utama China di Laut China Selatan adalah dengan armada AS dan bukan jiran-jirannya.

Laut China Selatan adalah penting kepada Beijing. Laut itu menjadi nadi yang menghubungkan Asia dan Eropah menerusi Selat Melaka, Selat Sunda serta Makassar. Laman berita perniagaan Business Insider menyebut bahawa lebih separuh armada kapal dagang dunia melalui laut itu pada setiap tahun bersama muatan bernilai sekitar AS$5 trilion (RM19.9 trilion).

Minyak mentah yang diangkut melalui Laut China Selatan pula adalah tiga kali ganda lebih besar daripada jumlah yang melalui Terusan Suez.

Bekalan tenaga

Sekitar dua pertiga bekalan tenaga Korea Selatan, 60 peratus bekalan tenaga Taiwan dan Jepun serta 80 peratus import minyak mentah China dibawa melalui Laut China Selatan di samping barangan siap dan separa siap.

Selain kedudukannya yang begitu strategik, Laut China Selatan juga dikatakan mempunyai simpanan minyak mentah sebanyak tujuh bilion tong sekali gus lebih banyak dari mana-mana kawasan di dunia kecuali Arab Saudi di samping ratusan trilion kubik meter gas asli serta hidupan maritim yang banyak.

Simpanan minyak China merangkumi hanya 1.1 peratus rizab global sedangkan negara komunis itu menggunakan lebih 10 peratus minyak dunia dan 20 peratus daripada semua tenaga di Bumi. Justeru, adalah penting untuk Beijing menguasai zon maritim tersebut bagi menjamin sumber tenaga berterusan dalam menjana ekonominya.

Walaupun dunia kini menyahut era globalisasi dan menganggap perang sebagai cara untuk menguasai wilayah dan sempadan sebagai taktik yang sudah lapuk, pandangan demikian tidak relevan di Laut China Selatan. Ini kerana Beijing menganggap ia adalah tuan di perairan strategik itu, dan tidak teragak-agak menggunakan ‘bahasa ketenteraan’ bagi mencapai matlamat tersebut.