Menurut laporan Credit Suisse, jumlah harta di dunia bertambah 6 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga 2017 kepada AS$280 trilion (RM1.08 kuadrilion), iaitu pertumbuhan paling pesat sejak tahun 2012, manakala lebih separuh daripada kekayaan baharu itu bersamaan AS$16.7 trilion (RM64.78 trilion) berada di Amerika Syarikat (AS).

Kelompok 10 bilionair terkaya pula, kata majalah Forbes, memiliki aset keseluruhan mencecah AS$505 bilion (RM1.95 trilion), lebih besar berbanding jumlah barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan kebanyakan negara dunia dalam tempoh setahun. 

Pada masa sama, bilangan jutawan di seluruh dunia juga dijangka melonjak kepada 44 juta orang menjelang tahun 2022 berbanding kira-kira 36 juta jutawan sekarang. 

AS masih pemegang rekod bilangan jutawan paling ramai dengan catatan 15.3 juta orang yang memiliki aset sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3.88 juta). 

Jepun mengekori di tempat kedua dengan 2.7 juta jutawan, manakala Britain yang menampilkan 2.2 juta jutawan berada di kedudukan ketiga.

Ketidaksetaraan

Dominasi kekayaan dunia oleh kelompok kecil bilionair itu boleh dijelaskan menggunakan Prinsip  Pareto, juga dikenali sebagai aturan 80/20. Pada tahun 1906, ahli ekonomi Itali, Vilfredo Pareto membuat penemuan bahawa 80 peratus daripada hartanah di Itali dimiliki oleh cuma 20 peratus populasinya.

Hakikatnya, prinsip sama boleh diaplikasikan kepada pelbagai perkara dalam kehidupan khususnya ekonomi. Namun, hukum Pareto hanya memberi penjelasan tanpa menghuraikan tentang baik buruknya ketidaksamaan agihan kekayaan terhadap warga dunia.  
Sesetengah pakar berpendapat bahawa meningkatnya ketidaksetaraan ekonomi sebuah negara merupakan petanda bahawa pertumbuhan ekonomi sedang rancak berlaku. 

Kaitan itu diperhalusi dengan melihat kepada pertumbuhan ekonomi pesat yang berlaku di China beberapa dekad lalu. Pada tahun 1979, Beijing memperkenalkan beberapa program baharu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Beberapa tahun kemudian, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China meningkat dengan ketara, daripada cuma 5.3 peratus dalam tahun 1979 kepada 15 peratus pada 1984. 

Kadar KDNK negara tembok besar itu seterusnya mencatatkan graf turun dan naik untuk tempoh beberapa tahun berikutnya, namun secara keseluruhannya, China mengekalkan pertumbuhan antara paling pesat di dunia sejak tahun 1980-an.

Apa yang tidak ditonjolkan ialah era tersebut juga menyaksikan ketidaksamaan ekonomi di China meningkat. 

Situasi serupa boleh dilihat di AS pada tahun-tahun sebelum 2008. Tempoh itu menyaksikan AS mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, pun begitu, ketidaksetaraan agihan kekayaan juga meningkat. 

Ketidaksetaraan agihan kekayaan di AS merosot antara tahun 2007 hingga 2008 dan ketika itu, negara polis dunia itu dilanda kemelesetan ekonomi.

Menurut sebahagian pemerhati, ketidaksetaraan agihan kekayaan mendorong pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai cara terutamanya melalui peningkatan kreativiti, inovasi dan keusahawanan. 

Situasi itu menjadi dorongan kepada anggota masyarakat berpendapatan rendah untuk bekerja lebih keras, mencari peluang perniagaan baharu ataupun mencipta produk baharu untuk meningkatkan taraf hidup mereka.  

Namun, apabila jurang pendapatan golongan kaya dan miskin semakin mengecil, golongan berpendapatan rendah kurang berusaha untuk menambah pendapatan mereka.

Menurut sebilangan ahli ekonomi, ketidakserataan pembahagian kekayaan boleh dijadikan petunjuk bahawa pertumbuhan ekonomi sesebuah negara sedang pesat berlaku.

Ketidaksamaan dalam kekayaan mendorong kepada gejala kemiskinan, manakala kemiskinan pula sinonim dengan peningkatan jenayah dan kepincangan sistem penjagaan kesihatan, dua situasi yang membebankan ekonomi.

Beberapa kajian sebelum ini membuktikan hubung kait positif antara ketidakserataan pendapatan dan kadar jenayah. 

Menurut kaji selidik ke atas kajian yang dilakukan antara 1968 hingga 2000 seperti laporan di laman web Cnbc.com, kebanyakan penyelidik menemui bukti bahawa masyarakat yang dibelenggu jurang ekonomi mempunyai kadar jenayah tinggi. 

Apabila jurang kekayaan meningkat, masyarakat miskin kurang mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan makanan berkualiti, manakala peningkatan bilangan rakyat miskin menyumbang kepada tenaga buruh kurang efektif, meningkatkan kos rawatan kesihatan dan menghakis sokongan kepada dasar pertumbuhan ekonomi sesebuah kerajaan.  

Ketidakserataan kekayaan juga menyaksikan golongan kaya mendominasi kuasa politik berbanding rakyat miskin. Selain itu, ketidaksamaan agihan kekayaan juga akan meningkatkan ketidakstabilan politik.

Dari sudut pembangunan ummah, ketidakserataan agihan kekayaan menonjolkan kepincangan, manakala pertambahan bilangan bilionair ataupun jutawan di peringkat domestik ataupun antarabangsa bukan menjadi penanda aras kemakmuran ekonomi seperti yang diterangkan oleh Pengarah Eksekutif Oxfam International, Winnie Byanyima.

“Ledakan bilangan bilionair bukanlah penanda ekonomi yang berkembang maju, sebaliknya ia simptom kepada kegagalan dalam sistem ekonomi. Mereka (pekerja) yang menghasilkan pakaian kita, memasang telefon kita dan menanam makanan kita sedang dieksploitasi bagi memastikan bekalan barangan murah berterusan bagi memaksimumkan keuntungan kepada syarikat dan pelabur bilionair,” katanya.