Pada masa yang sama, menurut bank berkenaan, jurang pendapatan antara penduduk miskin dan kaya semakin melebar, merangkumi 80 peratus warga global.

Situasi menyedihkan itu berlaku di sebalik laporan Credit Suisse bahawa kekayaan isi dunia meningkat 6 peratus dalam tempoh 12 bulan setakat tahun 2017, kepada kira-kira AS$280 trilion (RM1.13) kuadrilion.

Lebih menyedihkan lagi, kekayaan dunia yang semakin bertambah dilaporkan berada di bawah genggaman cuma 1 peratus mereka yang bergelar jutawan dan bilionair.

Kelompok elit ini membolot 50.1 peratus kekayaan global, manakala menurut organisasi amal Oxfam pula, lapan lelaki terkaya di dunia memiliki harta menyamai kekayaan milik 3.6 bilion orang.

Organisasi itu menyatakan dalam laporannya bahawa empat daripada setiap lima dolar kekayaan yang dijana pada tahun 2017 berakhir di dalam poket 1 peratus golongan kaya di dunia.

“Laporan ini mendedahkan bagaimana ekonomi kita memanfaatkan kekayaan berbanding kerja keras oleh berjuta-juta manusia,” kata Pengarah Eksekutif Oxfam, Winnie Byanyima kepada agensi berita Reuters dalam satu wawancara awal tahun ini.

“Kelompok terkaya menjadi semakin kaya tetapi jutaan penduduk miskin masih terperangkap dalam kemiskinan,” tambahnya.

Amerika Syarikat pula masih menerajui barisan jutawan dunia. Kira-kira 15. 3 juta rakyat negara kuasa besar itu memiliki kekayaan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM4.06 juta).

Jurang pendapatan

Jepun tersenarai di tempat kedua dengan 2.7 jutawan diikuti oleh Britain (2.2 juta), sementara gergasi Asia, China berada di kedudukan kelima (1.9 juta).

Penduduk paling miskin di dunia pula tertumpu di negara seperti India, China, Bangladesh dan Republik Demokratik Congo. Masih ramai penduduk di negara-negara berkenaan menyara kehidupan dengan pendapatan harian kurang daripada AS$1.25 (RM5.10).

Bagaimanapun, menurut pakar-pakar ekonomi, bilangan penduduk dunia yang berada dalam kategori miskin tegar berkurangan lebih separuh, susut daripada 1.9 bilion orang dalam tahun 1990 kepada kira-kira 836 juta pada 2015 berikutan pencapaian dan inisiatif ekonomi yang dilaksanakan sejak tahun 2000.

Corak pengagihan kekayaan dunia yang menyerupai bentuk piramid mungkin dianggap tidak adil oleh ramai orang, namun, ia bergantung kepada perspektif individu. Sesetengah penganalisis dan golongan kaya berpendapat bahawa ketidakadilan pembahagian kekayaan merupakan perkara normal dan tidak dapat dielakkan sama sekali, sama ada di negara yang mengamalkan sistem kewangan kapitalis ataupun negara komunis.

Harus diingat bahawa jurang pendapatan yang terlalu tinggi berisiko mencetuskan pelbagai masalah khususnya risiko kemelesetan ekonomi, pengurangan permintaan dan peningkatan hutang isi rumah.

Kelompok bilionair biasanya tidak membelanjakan pendapatan mereka seperti golongan pertengahan atau penduduk miskin. Mereka yang mempunyai pendapatan bulanan satu juta lazimnya tidak membelanjakan sehingga RM800,000 atau RM900,000 sebulan untuk keperluan isi rumah, tidak seperti penduduk miskin berpendapatan RM1,000 ringgit. Golongan ini terpaksa menghabiskan gaji untuk keperluan seperti sewa rumah, makanan dan pengangkutan.

Permintaan barangan keperluan harian seperti minyak masak, barang basah, petrol dan produk makanan pula lebih banyak bergantung kepada belian oleh golongan berpendapat sederhana dan miskin yang jauh lebih ramai dan berbelanja lebih besar untuknya berbanding kelompok kecil individu terkaya.

Jurang pendapatan yang semakin tinggi akan mengakibatkan kuasa beli golongan sederhana dan miskin ini semakin berkurangan dan tertekan, faktor yang boleh mendatangkan kesan negatif pada pasaran.

Oleh kerana golongan kaya menyimpan lebih banyak wang apabila pendapatan mereka meningkat, jumlah perbelanjaan pengguna cenderung untuk merosot dan ini pula mengakibatkan pertumbuhan ekonomi kurang bermaya sekali gus mengurangkan hasil cukai kerajaan.

Pendapatan cukai yang menguncup menyebabkan kerajaan berdepan tugas lebih sukar untuk menangani masalah ekonomi dan sosial dalam kalangan rakyat.

Ketidakadilan agihan pendapatan jika dibiarkan tanpa ditangani, boleh mengakibatkan peningkatan hutang isi rumah. Ini kerana penduduk berpendapatan sederhana dan miskin banyak mempunyai perbelanjaan tetap yang perlu dibayar seperti bayaran pinjaman rumah dan kenderaan.

Hutang

Apabila jurang pendapatan meningkat, mereka perlu lebih banyak berhutang terutamanya dalam sektor perumahan dan kenderaan untuk mengekalkan gaya hidup mereka.

“Pekerja biasa yang membuat pakaian kita, memasang telefon bimbit dan menanam makanan kita dieksploitasi bagi memastikan bekalan barangan kekal murah dan berterusan dengan matlamat untuk melonjakkan keuntungan syarikat dan pelabur kaya,” kata Byanyima.

Organisasi itu menggesa semua pekerja diberikan kadar gaji minimum, menghapuskan jurang pendapatan antara lelaki dan wanita serta melaksanakan undang-undang lebih ketat bagi membanteras aktiviti mengelak cukai oleh golongan kaya.

Namun, golongan kaya tidak harus dipersalahkan sepenuhnya terhadap situasi tersebut. Pakar-pakar ekonomi menyatakan bahawa ketidakadilan agihan pendapatan berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya termasuk kemajuan teknologi khususnya dalam bidang automasi, proses globalisasi itu sendiri dan dasar yang diamalkan kerajaan-kerajaan di dunia.