Justeru, salah satu elemen penting yang mempengaruhi pemilihan tentunya rekod pencapaian ekonomi negara. Sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia telah meraih manfaat daripada kesan perkembangan perdagangan dunia.

Ia turut memberikan kesan terhadap aktiviti domestik dengan permintaan dalam negara kekal menjadi pemacu ekonomi. Tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus yang dicapai pada 2016.

Pada tahun 2017, ringgit merupakan mata wang terbaik dengan pengukuhan sebanyak 10.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), laba pertama dalam tempoh lima tahun.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pihaknya menjangkakan ringgit akan bergerak sekitar RM3.85 ke RM3.95 berbanding dolar AS, daripada RM4.05 pada akhir tahun lalu.

“Perkara ini disebabkan oleh jangkaan kenaikan kadar faedah di AS yang perlahan, kenaikan minyak dunia serta pengukuhan ekonomi global.,” katanya baru-baru ini.

Dalam satu laporan akhbar tempatan, Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali pula berkata, Malaysia semakin menghampiri status negara berpendapatan tinggi apabila kerajaan berjaya menguruskan defisit fiskal negara setiap tahun kepada 3 peratus pada tahun lalu.

“Kerajaan memberi fokus untuk mengurangkan kadar defisit kepada 2.8 peratus dalam KDNK pada tahun ini. Sejak (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, defisit telah berkurangan daripada sekitar 6.7 peratus dan ini menggambarkan pengurusan yang konsisten dan berterusan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyatakan, pembentukan polisi baharu dan pengurusan kos hidup yang baik adalah penting dalam memastikan kemampanan ekonomi negara.

Noor Azlan mencadangkan, tiga bidang yang perlu diberi tumpuan adalah perumahan, pengangkutan dan makanan selain mewujudkan sebuah pasukan khas untuk menangani isu-isu berkaitan serta mencari kaedah meningkatkan peluang pendapatan untuk rakyat.

Bagi penganalisis ekonomi bebas, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, sejarah telah membuktikan bahawa faktor-faktor ekonomi sememangnya memberi kesan terhadap pilihan raya sesebuah negara.

“Sekian lama kita boleh melihat kerajaan yang mentadbir apabila negara mencapai prestasi ekonomi yang baik akan terus dipilih pada penggal seterusnya.

“Namun, sejak kebelakangan ini terdapat perubahan daripada keadaan biasa dan ia boleh dilihat pada hasil pemilihan rakyat di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Ekonomi kedua-dua negara berada pada keadaan yang baik tetapi majoriti pengundi memilih pihak berlawanan sebagai pentadbir baharu kerajaan pada pilihan raya,” katanya.

Azrul Azwar berkata, pada PRU-14 kali ini, ekonomi rakyat akan menjadi salah satu faktor utama dalam pemilihan kepimpinan.

“Kos sara hidup yang tinggi, kadar pengangguran terutamanya dalam kalangan belia, gaji atau pendapatan yang perlahan atau tidak berkembang serta ketidaksamarataan pendapatan yang semakin melebar merupakan antara isu ekonomi yang membelenggu rakyat.

“Walaupun secara dasar ekonomi negara kukuh dan berkembang tetapi bagi rakyat, ada dalam kalangan mereka tidak dapat merasainya dalam kehidupan seharian.

“Perkara-perkara berkaitan kehidupan akan menjadi tumpuan pemilih pada pilihan raya kali ini,” katanya.