Ada sesetengah jurujual komputer dan gajet di pusat-pusat beli-belah komputer di Kuala Lumpur merupakan PATI.

Di estet-estet kelapa sawit yang tersorok di kawasan pedalaman, banyak PATI bekerja di sana. Tapak-tapak pembinaan bangunan komersial dan perumahan mungkin akan lengang tanpa kehadiran pekerja yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pihak berkuasa memang maklum tentang gejala bertebarannya PATI di negara ini. Isu PATI ini amat sensitif kepada ekonomi. Sektor-sektor yang dinyatakan di atas bakal terjejas sekiranya satu tindakan besar-besaran membanteras pekerja asing dilakukan.

Sekiranya PATI ditangkap semuanya, depot-depot tahanan Imigresen di seluruh negara tidak mencukupi untuk menampung bilangan mereka.

Kerajaan pula terpaksa menyediakan tempat tahanan dan membayar kos makanan serta kos pengangkutan mengembalikan mereka ke negara asal. Kos makanan sahaja dianggarkan kira-kira RM35 sehari, menurut satu laporan pada tahun 2014. Jumlah itu tentu meningkat lebih tinggi pada tahun 2018.

Untuk menghantar mereka pulang ke negara asal, kerajaan perlu membelanjakan berjuta-juta ringgit setahun.

Inilah dilema yang sedang dihadapi dalam menangani isu PATI ini. Jabatan Imigresen, misalnya, telah mengambil tindakan mengusir PATI sejak awal tahun 2017. Bilangan yang diusir mencecah 30,000 orang dalam tempoh enam bulan pada tahun 2017.

Bagaimanapun, langkah penguatkuasaan itu adalah kecil berbanding besarnya permasalahan yang dihadapi oleh Malaysia dalam isu lambakan PATI. Jumlah pekerja asing yang mempunyai permit di negara ini dianggarkan 1.7 juta orang dengan sebahagian besarnya warga Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar dan India.

Tahun lalu apabila Jabatan Imigresen memperkenalkan permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad), hanya 161,056 PATI tanpa permit mendaftarkan diri sedangkan sasaran asal untuk mencari 600,000 PATI.

Malah, mungkin jumlah 600,000 itu hanya satu pertiga daripada bilangan PATI sebenar yang dikatakan mencecah jutaan orang.

Malaysia mempunyai faktor yang menarik migrasi kerana dari segi sejarahnya, ia merupakan negara yang mengalu-alukan buruh asing sejak kurun ke-19 semasa zaman penjajahan British lagi.

Faktor penarik dari segi ekonomi dan standard kehidupan membuatkan berjuta-juta orang asing terlibat dalam migrasi ke Malaysia, begitu juga dengan faktor penolaknya iaitu kekurangan pekerjaan di negara asal imigran dan ledakan penduduk yang tidak selaras dengan pertumbuhan populasi.

Situasi tarikan migrasi diburukkan lagi dengan wujudnya rangkaian budaya, politik dan ekonomi sejak zaman-berzaman antara Malaysia dan negara-negara jirannya. Berdasarkan situasi itu, Malaysia akan terus dilanda masalah lambakan pekerja asing pada masa depan, melainkan negara kita hendak mencontohi ketegasan pemerintah Singapura dalam menangani masalah lambakan pendatang tanpa izin.

Paras ketegasan itu, selain perasaan murah hati rakyat Malaysia yang kaya dengan rasa simpati, turut menjadi faktor yang bertanggungjawab mencipta lambakan PATI.