Ada banyak kelebihan yang dinikmati oleh kelompok ini. Antaranya mereka boleh terus berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial dan bertemu jodoh di alam maya. 

Selain itu, kelompok ini juga mempunyai banyak pilihan pekerjaan walau di mana saja serta cara kerja yang lebih fleksibel, berpeluang mengakses maklumat kesihatan lebih mudah, kurang berdepan dengan stigma isu-isu kesihatan mental dan tidak terikat belajar di dalam bilik darjah. Memang benar, dari satu sudut, kehidupan anak-anak muda pada masa ini jauh lebih baik berbanding tiga atau enam dekad lalu terutama dalam hal-hal yang berkait rapat dengan perhubungan, kesihatan dan pendidikan. 

Milenial secara umumnya mereka yang dilahirkan pada awal tahun 1980-an hingga pertengahan 1990-an. Kelompok ini lazimnya mencapai usia dewasa pada abad ke-21 dan turut dikenali sebagai Generasi Y.

Hakikatnya, kehidupan milenial tidak seindah yang digambarkan. Mereka menerima gaji tanpa kenaikan, sukar memiliki kediaman, mereka dilabel sebagai malas tetapi sering mendapat layanan istimewa.

Menurut satu laporan Yayasan Kesihatan Britain, milenial mungkin generasi pertama yang mempunyai tahap kesihatan yang lebih buruk pada usia pertengahan berbanding ibu bapa mereka.

Isu-isu yang berkait dengan pekerjaan, perhubungan dan kediaman kini menjejaskan golongan muda yang berumur antara 20 hingga 30 tahun. Faktor-faktor ini dipercayai menyumbang kepada risiko menghidap penyakit kanser, diabetes dan penyakit jantung pada kemudian hari.

Milenial juga mudah merungut bahawa kehidupan mereka jauh lebih teruk berbanding ibu bapa atau datuk nenek pada usia yang sama.

Media sosial
Secara keseluruhan, menurut laporan tersebut, trendnya dikaitkan dengan stres jangka panjang, kebimbangan dan kemurungan atau kualiti hidup yang rendah. 

“Anak-anak muda pada hari ini berdepan dengan tekanan berbeza berbanding generasi sebelumnya,” kata Pengarah Strategi yayasan tersebut, Jo Bibby.

Secara mikronya, laporan itu mendedahkan kelompok milenial ini mengalami tekanan psikologi kerana waktu bekerja yang tidak menentu, kontrak sifar jam, pengangguran dan bekerja secara kontrak dalam jangka pendek. Impak media sosial juga menyumbang kepada tekanan kerana mereka perlu memenuhi kehendak persahabatan digital selain hubungan dalam dunia realiti.

Tinjauan yang melibatkan 2,000 orang yang berumur antara 22 hingga 26 tahun mendedahkan, 31 peratus daripadanya menyatakan mereka mempunyai hubungan yang kuat dan rangkaian sokongan semakin meningkat. 

Sementara 46 peratus pula mereka mempunyai kewangan yang mencukupi dan sokongan keluarga.

Daripada jumlah tersebut, 49 peratus mendapat sokongan emosi daripada keluarga, manakala 80 peratus merasakan mereka terpaksa berkelakuan dalam cara tertentu akibat tekanan media sosial.

Awal tahun ini, satu kajian oleh King’s College London mendapati, milenial yang kesunyian berisiko dua kali ganda menghidap sakit mental seperti kemurungan dan kebimbangan berbanding mereka yang sering
berhubung dengan orang lain. Bahkan, Pejabat Statistik Kebangsaan mendapati kelompok ini mudah mengalami kesunyian kronik berbanding kumpulan umur lain.

Memetik kata-kata Bibby seperti yang disiarkan dalam The Times, meskipun terdapat peningkatan dalam kesihatan orang muda, mereka boleh dimusnahkan dengan ketidakpastian dan ketidakstabilan dalam hidup. 

Profesor Epidemiologi dan Kesihatan Awam di University College London, Prof. Michael Marmot menambah: “Saya setuju dengan mereka bahawa kita mengumpulkan lebih banyak masalah pada masa depan ditambah pula dengan pelbagai masalah kesihatan mental, jenayah dan apa saja yang sedang berlaku kini.”