Sesetengah lelaki begitu terjejas akibat fasa ini apabila mengalami kemurungan dan rasa tidak bertenaga. Satu tinjauan melibatkan lelaki yang berumur 40 tahun dan ke atas mengakui bahawa ia bukanlah satu fasa yang hanya dialami oleh wanita.

Lebih satu pertiga daripada lelaki merasakan mereka hilang ‘semangat’ apabila mencecah usia pertengahan dengan 58 peratus daripadanya bermula pada usia 47 tahun.

Dianggarkan tiga dalam 10 lelaki mengatakan mereka perlu melakukan perubahan gaya hidup bagi merangsang tenaga apabila mencecah usia pertengahan.

Malangnya tempoh krisis ini kepada lelaki jauh lebih panjang berbanding wanita. Lelaki mungkin terperangkap dengan krisis ini antara tiga hingga 10 tahun, manakala wanita pula antara dua hingga lima tahun.

Antara gejala mereka yang berdepan dengan fasa ini ialah sering mengintai Facebook bekas kekasih, mengambil pil vitamin dan berhutang atas alasan ingin melakukan kerja-kerja kebajikan.

Selain itu, mereka juga tidak boleh melelapkan mata kerana bimbang dengan hal-hal kerja, kerap membaca iklan-iklan ucapan takziah kematian di akhbar-akhbar dan mempunyai hobi baharu.

Bimbang

Dalam satu tinjauan oleh Crown Clinic yang terletak di Manchester, Cheshire, Britain terhadap 1,000 orang yang berdepan dengan krisis pertengahan usia itu mendapati mereka amat bimbang dengan masalah keguguran rambut. Bahkan, mereka juga mewarnakan rambut yang beruban.

Terma krisis pertengahan usia ini buat julung-julung kalinya diperkenalkan sekitar tahun 1965.

Analisis menganggarkan ia berlaku kepada mereka yang berumur antara 40 hingga 60 tahun, namun episod ini mungkin bermula lebih awal.

Pakar bedah dari Crown Clinic, Asim Shahmalak berkata: “Apabila bertambah usia, kebimbangan tentang penampilan meningkat dan mereka ingin mengekalkan keremajaan.

“Di Crown Clinic, kami dapati lelaki kurang berasa malu untuk melakukan transplan bagi mengatasi masalah kebotakan. Sebaliknya, mereka lebih bimbang jika hilang pekerjaan. Mereka sedar penampilan yang kelihatan muda menjadikan mereka lebih menarik bukan saja pada berlawanan jantina bahkan kepada majikan.”

David Cameron, misalnya, menjadi Perdana Menteri Britain pada usia 43 tahun iaitu peringkat bermulanya krisis pertengahan usia. “Kebotakan yang dialaminya semakin ketara sejak beliau memegang tampuk pemerintahan dan tekanan adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut,” ujarnya.

Kebanyakan lelaki akan melalui fasa itu terlalu memikirkan kehidupan yang mereka lalui. Bahkan, mereka beranggapan akan lebih bahagia jika dapat melakukan perubahan besar dan mahu bertindak segera.

Tanpa disedari, pemikiran sebegini boleh mencetuskan krisis pertengahan usia. Jika anda menyedari bahawa anda dalam fasa tersebut, buatlah pilihan yang bijak. Anda boleh mengawal diri daripada terjebak dalam krisis ini dan hidup dengan gembira.

Bagaimanakah seseorang itu menyedari dia sedang berdepan dengan krisis pertengahan usia? Profesor Klinikal Psikiatri Universiti California San Diego, Dr. Calvin Colarusso menjelaskan, lazimnya ia melibatkan perubahan yang tergesa-gesa dalam kehidupan.

Mengambil contoh pesakit yang pernah beliau beri kaunseling, lelaki tersebut menulis nota kepada isterinya, mengeluarkan wang daripada bank dan berhijrah ke bandar lain secara tiba-tiba.

Krisis pertengahan usia seperti itu, katanya, amat jarang berlaku. Sebaliknya, seseorang lelaki yang melalui fasa itu melakukan perubahan kecil secara kerap.

“Anda mungkin memberitahu isteri: ‘Saya perlu meninggalkan pekerjaan ini’ dan anda lakukannya. Atau anda mengatakan ‘Perkahwinan ini tidak ada makna bagi saya’. Kepada kebanyakan individu, selepas mendera pemikiran mereka dengan berfikir pelbagai perkara dan kemudian membuat penilaian semula, akhirnya mereka memilih untuk kekal dengan apa yang mereka ada,” jelas beliau.