Pada peringkat permulaan, seseorang mungkin rasa pening-pening tanpa disedari tiba-tiba dia jatuh pengsan. Apapun istilah yang dikaitkan dengan keadaan ini ia adalah suatu fenomena biasa.

Walaupun lazimnya ia bukanlah sesuatu yang begitu berbahaya, namun individu yang pengsan terdedah kepada kecederaan. Adakalanya ia juga petanda bahawa seseorang mempunyai masalah sistem kardiovaskular.

“Menyaksikan seseorang yang pengsan adalah satu pengalaman yang menakutkan kerana mereka seolah-olah seperti meninggal dunia,” kata profesor Universiti Havard, Dr. Lewis A. Lipsitz.

Pengsan atau juga dikenali sebagai sinkop berlaku apabila otak mengalami penurunan bekalan darah secara tiba-tiba ekoran tekanan darah atau degupan jantung merudum.

Dianggarkan 35 peratus individu pernah pengsan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka ekoran ritma jantung yang abnormal, panas keterlaluan dan sebagainya. Ia  berlaku pada semua peringkat usia sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. 

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Nor Fadhlina Zakaria berkata, pengsan boleh berlaku kepada individu normal dan berpenyakit.

Menurut beliau, penyebab utama pengsan kepada individu normal disebabkan kurang air dan gula, tekanan darah rendah serta stres melampau.

“Banyak sebab seseorang itu boleh pengsan. Jika berdiri terlalu lama pada waktu pagi tanpa sarapan juga boleh pengsan.

“Sarapan sangat penting bagi mengekalkan keseimbangan gula dalam badan untuk memberi tenaga,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.


Ketumbuhan

Pesakit jantung dan ritma jantung abnormal juga berpotensi untuk pengsan. Kedua-dua masalah tersebut boleh menjejaskan peredaran darah sekali gus menyebabkan badan lemah.

“Selain sakit jantung, pesakit yang mempunyai ketumbuhan dalam kepala juga boleh pengsan kerana golongan ini mudah pening,” jelasnya.

Dalam banyak keadaan, masalah neurologi yang menjadi punca seseorang pengsan juga dikenali sebagai sinkop neurologi. 

“Ia merujuk kepada keadaan seseorang yang hilang sedar disebabkan beberapa keadaan neurologikal seperti kekejangan yang tidak dapat dikesan, strok dan serangan transien iskemik atau penyakit degeneratif otak
yang menjejaskan pusat autonomik.

“Migrain dan hidrosefalus tekanan normal boleh menyumbang kepada masalah ini,” jelas Konsultan Bedah Saraf dan Pakar Pengurusan Kesakitan dan Pakar Bedah Tulang Belakang Endoskopik, Gleaneagles Kota Kinabalu, Dr. Tan Wei Chean ketika dihubungi Jurnal.

Sawan akibat epilepsi menyebabkan gangguan pada fungsi elektrik otak, manakala sinkop menyebabkan aliran darah ke otak menurun akibat tekanan darah rendah.

Pesakit strok sebenarnya berisiko mengalami sinkop kerana otak mereka pernah cedera dan mudah terdedah kepada sawan.

Beliau juga tidak menafikan kesan sampingan ubat-ubatan seperti antihistamin dan antihipertensi boleh menyebabkan seseorang jatuh pengsan. Selain dua jenis ubatan tersebut, ubat lain termasuklah ubat jantung, ubat
yang menyebabkan seseorang tidak mampu fokus pada pemikiran dan ubat yang mengubah elektrolit tubuh.

Menurut Wei Chean, seseorang yang pengsan kemungkinan petanda dia menghidap penyakit serius seperti sakit dada, dispnea atau sukar bernafas, masalah jantung seperti palpitasi dan sakit kepala yang teruk.

Selain itu, mereka juga mungkin menderitai disartria (pertuturan yang kurang jelas), diplopia (penglihatan berganda), ataksia (hilang kawalan pada koordinasi tubuh) dan fokal neurologik (gejala kerosakan pada saraf
tunjang atau fungsi otak yang menjejaskan sesetengah bahagian tubuh).