Namun, itulah antara yang dikaji para saintis mutakhir ini dan hasilnya, mereka mendapati kualiti udara turut memainkan peranan dalam meningkatkan risiko diabetes global.

Kajian menarik itu didedahkan dalam jurnal The Lancet Planetary Health baru-baru ini.

Penyelidik-penyelidik dari Washington University School of Medicine di St. Louis, Amerika Syarikat mendakwa, kajian mereka itu bakal memberikan impak kepada pemahaman global terhadap diabetes. Diabetes merupakan salah satu penyakit paling pantas berkembang yang dihidapi oleh 420 juta penduduk dunia.

Alasan baharu

Secara tradisinya, punca utama diabetes ialah pengambilan makanan tidak sihat, gaya hidup pasif dan obesiti.

Bagaimanapun, penemuan itu seolah-olah memberikan bayangan dalam aspek perubatan tentang alasan baharu mengapa kes-kes diabetes semakin meningkat.

Pengkaji, Ziyad Al-Aly yang merupakan profesor kesihatan universiti tersebut berkata, kajian itu menunjukkan terdapatnya hubungan signifikan antara pencemaran udara dan diabetes global.

“Kami dapati risiko diabetes meningkat meskipun pada paras kualiti udara yang dianggap selamat pada hari ini. Ia sangat penting kerana banyak industri berasakan tahap udara kita masih bertahap baik dan semua harus bertenang. Bukti yang ada pula mendapati paras kualiti udara sekarang pun masih perlu diketatkan,” katanya.

Kumpulan pengkaji itu juga menaksirkan, pencemaran udara sahaja menyumbangkan 3.2 juta kes baharu diabetes di dunia pada tahun 2016.

Kajian tersebut dilakukan dengan menilai bagaimana impak pencemaran udara kepada diabetes. Kumpulan tersebut telah mengkaji partikel-partikel yang ada dalam udara seperti bahan kimia, debu, asap dan cecair yang boleh memberi impak kepada tubuh badan.

Saintis sebelum ini pernah mengkaji bagaimana partikel-partikel udara boleh memasuki aliran darah, sekali gus mengganggu organ-organ utama. Kumpulan pengkaji dari Washington itu cuba melihat bagaimana partikel-partikel udara ini menyebabkan pengurangan pengeluaran insulin dan pembengkakan pada tubuh. Situasi inilah yang menghalang gula ditukarkan kepada tenaga, sekali gus menyebabkan diabetes.

Polisi

Pengkaji juga mendapati, risiko diabetes akibat pencemaran udara lebih cenderung berlaku di negara-negara berpendapatan rendah seperti India yang kurang sistem penjagaan alam sekitar dan polisi udara bersih.

Turut dijadikan contoh, negara-negara miskin yang berdepan risiko diabetes berkait pencemaran udara ialah Afghanistan, Papua New Guinea dan Guyana sementara negara kaya seperti Perancis, Finland dan Iceland kurang berisiko.

Mengulas mengenai kajian tersebut, pakar perubatan yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Zubaidi Ahmad berkata, masih terlalu awal untuk menyimpulkan sedemikian, namun tidak menolak pencemaran udara menjadi salah satu faktor penyakit diabetes.

“Pencemaran udara yang mengandungi radiasi dan toksik yang berbahaya seperti benzene (petrokimia) dan logam berat seperti plumbum, merkuri, arsenik serta kadmium telah banyak dibuktikan berupaya memberikan kesan buruk pada tubuh manusia.

“Dalam kes penyakit diabetes, puncanya ialah bahan-bahan dalam pencemaran ini boleh merosakkan fungsi pankreas, sekali gus menjejaskan pengeluaran hormon insulin. Selain merosakkan fungsi pankreas, hormon yang dikeluarkan juga mungkin tidak berkesan atau tidak dikenali oleh reseptor pada tisu,” katanya.

Bagaimanapun, Zubaidi menegaskan, diabetes seharusnya dilihat berpunca daripada kombinasi faktor-faktor.

“Diabetes disebabkan oleh kombinasi pelbagai punca.

“Ada juga faktor yang tidak boleh dikawal seperti faktor genetik.

“Mengenai pencemaran udara pula, ia adakalanya suatu yang kita boleh elakkan misalnya berada begitu lama di jalan raya. Jadi, cubalah hindari perkara seperti ini,” ujarnya.