Malah, kos rawatan yang tinggi dan aktiviti harian yang terhad dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya masalah kesihatan tersebut.

Menurut Malaysian Dialysis Registry, pada tahun 2015, seramai 7,597 pesakit baharu direkodkan memerlukan rawatan dialisis, manakala seramai 37,183 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis di pusat-pusat rawatan hemodialisis kerajaan dan swasta.

Purata kos bagi setiap sesi rawatan hemodialisis pula dianggarkan antara RM200 hingga RM250 bagi satu sesi rawatan, menyamai kira-kira RM3,250 sebulan.

Pesakit yang masih bekerja pula dikenal pasti sebagai antara golongan yang sangat terjejas. Selain menanggung penderitaan, mereka berhadapan dengan tekanan hidup kerana terpaksa membahagikan masa untuk memenuhi keperluan rawatan dialisis yang lebih kerap dan kos rawatan yang tinggi.

Bagi pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik, mereka mula kehilangan daya tumpuan selain kekuatan fizikal turut menurun sehingga menjejaskan produktiviti pesakit.

Malah, mereka juga akan mengalami simptom seperti masalah kurang selera makan, kelesuan, sesak nafas dan kaki yang membengkak berpunca daripada paras urea bahan bernitrogen yang tinggi dalam badan.

Bahan toksik yang sepatutnya dirembes keluar melalui urin seperti urea dan kreatinina tidak dikeluarkan dari badan secara normal.

Peranan penting

Menurut Ketua Unit Pusat Penyelidikan Penyakit Buah Pinggang Kronik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Azreen Syazril Adnan, buah pinggang mempunyai peranan penting dalam sistem badan.

Antaranya ialah mengekalkan kandungan air dalam badan dengan menghasilkan urin dan merembes keluar toksik seperti urea dan kreatinina selain mengawal tekanan darah dan paras elektrolit seperti garam potassium, kalsium, fosfat dan sodium.

“Antara fungsi lain buah pinggang ialah mengekalkan tahap pH atau asid tubuh manusia pada kadar neutral iaitu, pH antara 7.35 hingga 7.45. Tahap keasidan tubuh perlu dikawal bagi memastikan tindak balas kimia dan enzim di dalam tubuh manusia berlaku secara optimal.

“Selain itu, ia juga berperanan menghasilkan hormon erythropoetin bagi menghasilkan darah di sum-sum tulang melalui proses erythropoesis atau penghasilan darah merah selain mengaktifkan vitamin D bagi penyerapan garam kalsium untuk pembentukan tulang sihat,” katanya.

Jelas beliau lagi, buah pinggang yang terletak di antara tulang belakang terdiri daripada sejuta unit penapis atau nefron di setiap buah pinggang dengan individu dewasa berusia 25 tahun mempunyai dua juta unit nefron yang berfungsi menapis toksik dan bahan kumuh yang lain.

Kerosakan buah pinggang akibat diabetes dan darah tinggi nefron merupakan unit terkecil dalam buah pinggang terdedah kepada kerosakan disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi dan diabetes.

Ubatan

“Tekanan darah tinggi boleh mencederakan glomerulus. Sel-sel glomerulus yang tercedera digantikan dengan sel tidak normal atau sel parut iaitu fibrotic cell.

“Sel tersebut menjejaskan fungsi keseluruhan buah pinggang. Paras glukosa darah yang tinggi turut mencederakan glomerulus, sekali gus menyebabkan pembentukan arterosklerosis yang menyempitkan saluran darah,” katanya.

Menurut beliau, ubatan tradisional dan ubat penahan sakit dikenal pasti menjadi antara agen penyumbang kerosakan buah pinggang, malah ubat penahan sakit mengurangkan bekalan darah ke buah pinggang dan merosakkannya.

Justeru katanya, pesakit buah pinggang kronik memerlukan rawatan yang holistik melibatkan pelbagai aspek perawatan yang spesifik untuk individu yang berbeza.

Pesakit yang menjalani rawatan dialisis mampu berfungsi seperti individu biasa lain selain berkemampuan mengembalikan fungsi fizikal tubuh badan pesakit.

Motivasi diri dan sokongan ahli keluarga terdekat serta masyarakat sekeliling juga sangat penting bagi membolehkan pesakit meneruskan kehidupan yang berkualiti.