Ia dikatakan sebagai hadiah terindah kepada mereka dan pasangan selepas mendirikan rumah tangga.

Apabila berbicara tentang kehamilan pula, pasti kesemua mereka menginginkan kelahiran bayi secara normal kerana kelahiran songsang akan menyebabkan wujudkan pelbagai risiko sama ada kepada si ibu, mahupun kepada bayi itu sendiri.

Namun, sejauhmanakah wanita yang bakal bergelar ibu atau mereka yang berpengalaman melahirkan anak tahu dan faham tentang kehamilan songsang?

Selain risiko yang perlu dihadapi semasa kelahiran songsang, adakah mereka faham mengenainya faktor-faktor yang boleh menyebabkan perkara tersebut berlaku?

Mengulas mengenai isu ini, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Fauziah Jummaat berkata, kelahiran normal adalah keadaan di mana kedudukan bayi dengan posisi kepalanya menghadap ke bawah rahim ibu, manakala kaki menghadap ke atas rahim ibu.

Namun katanya, sekiranya bayi berada pada kedudukan sebaliknya, ia dikenali sebagai kedudukan songsang dan ia biasanya berlaku dalam satu daripada 25 kelahiran.

Jelas beliau, bayi boleh berada pada kedudukan songsang atau tidak stabil sehinggalah minggu ke-37 kandungan dan apabila melepasi tempoh tersebut, kedudukan kepala bayi tidak akan berubah iaitu bayi akan berada pada kedudukan selesa dan bersedia menanti waktu kelahirannya.

Menurut Fauziah, terdapat tiga jenis kedudukan songsang bayi iaitu complete breech, frank breech dan incomplete breech.

“Posisi complete breech berlaku apabila bahagian punggung bayi menghadap ke bawah rahim ibu dengan kedua-dua kaki bayi melipat pada paras lutut dan kaki serta merapat pada punggungnya.

Frank breech pula merupakan keadaan di mana punggung bayi menghadap ke arah bawah rahim ibu dengan kedua-dua kaki dan lutut bayi berada dalam keadaan lurus ke atas.

“Kedudukan incomplete breech pula merujuk kepada keadaan di mana salah satu atau kedua-dua kaki bayi berada di kedudukan menghadap ke bawah rahim ibu,” katanya.

Faktor risiko

Kata beliau lagi, walaupun sukar untuk menentukan penyebab kepada berlakunya kedudukan bayi songsang ketika dalam proses kehamilan, namun terdapat beberapa faktor risiko yang menjurus kepada keadaan tersebut.

Antaranya ialah keabnormalan pembentukan rahim, kandungan bayi kembar, posisi uri yang berada pada kedudukan bawah rahim ibu, bayi tidak cukup bulan, saiz bayi yang terlalu besar dan kandungan air ketuban yang berlebihan.

Jelas Fauziah lagi, walaupun kedudukan bayi di dalam kandungan sukar untuk dikawal, namun ia boleh dikesan lebih awal menerusi pemeriksaan luaran oleh doktor menggunakan ultrasonografi.

“Apabila doktor mendapati bayi berada dalam kedudukan songsang semasa kandungan melebihi 37 minggu, penyebab kepada kedudukan ini akan dikenal pasti.

“Penerangan dan perbincangan akan dilakukan bersama ibu mengenai pilihan yang ada untuk proses kelahiran.

“Antara pilihan tersebut adalah dengan satu teknik yang dinamakan External Cephalic Version,” katanya.

Jelas beliau, teknik tersebut hanya boleh dilakukan oleh doktor yang bertauliah di mana bayi akan ditukarkan posisinya kepada kedudukan kepala di bahagian bawah rahim ibu.

Tegasnya, persiapan di dalam melakukan teknik tersebut haruslah lengkap dan rapi seperti persiapan ke dewan bedah kerana ia dilakukan bukannya tanpa risiko.

Ini kerana kata beliau, antara risiko yang berlaku adalah uri terlepas, pendarahan faraj dan bayi berisiko lemas.

Bagaimanapun katanya, doktor akan memastikan sama ada kandungan sesuai atau tidak untuk dilahirkan secara songsang terlebih dahulu sebelum seseorang ibu yang hamil boleh melakukan teknik tersebut.

“Faktor seperti saiz bayi, kedudukan tali pusat dan jenis songsang itu sendiri akan memainkan peranan.

“Ada sesetengah kes, bayi boleh lemas apabila bahagian kepala sukar dikeluarkan. Pembedahan menggunakan kaedah Caesarean merupakan cara bersalin yang sering menjadi pilihan ibu dan pasangannya,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, pada kebiasaannya, pembedahan Caesarean akan dilakukan semasa kandungan berusia 38 hingga 39 minggu ketika ibu belum mengalami sebarang kontraksi.