Bagaimanapun, ramai tidak sedar bahawa kekejangan otot juga berlaku ketika sedang tidur.

Kekejangan otot sewaktu tidur dikatakan lebih perit berbanding sewaktu bersukan kerana ia berlaku ketika badan berada dalam keadaan tidak bersedia.

Kajian Pakar Keluarga Amerika Syarikat menunjukkan lebih 60 peratus orang dewasa pernah mengalami kekejangan otot ketika tidur.

Kekejangan otot tersebut biasanya menyerang betis dan telapak kaki serta ada ketikanya pada belakang paha.

Kebanyakan orang yang mengalami kekejangan otot ketika tidur terdiri daripada mereka berumur 50 tahun ke atas.

Pakar perubatan di Universiti Alberta, Dr. Scott Garrison berkata, ada banyak faktor gejala itu, namun tiada sebab yang jelas.

Beberapa penyelidik menyatakan gaya hidup moden menjadi penyebab utama kepada masalah kekejangan otot ketika tidur.

Hal ini kerana masyarakat kini dikatakan kurang melakukan pergerakan sebaliknya banyak menghabiskan masa menghadap telefon pintar dan komputer.

Faktor lain yang dikaitkan dengan masalah tersebut adalah tidur dalam posisi hujung kaki ke depan sekali gus memendekkan otot betis.

Apabila kaki berada dalam keadaan tersebut dalam tempoh panjang, sedikit sahaja pergerakan akan menyebabkan kekejangan otot.

Garrison turut melakukan kajian mengenai kekejangan otot ketika tidur, dia mendapati, masalah itu lebih kerap berlaku pada hari panas.

Ini kerana kekejangan otot berlaku disebabkan gangguan pada bahagian saraf dan bukannya otot.

“Pertumbuhan dan pembaikan saraf berlaku pada hari panas kerana badan menerima lebih banyak vitamin D. Ini meningkatkan risiko kekejangan otot,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Sukan Universiti Malaya, Dr. Rizal Mohd. Razman berpendapat, kekurangan kalium dan magnesium dalam badan merupakan salah satu penyebab kekejangan otot ketika tidur.

Jelasnya, individu yang mengeluarkan banyak peluh lebih cenderung mengalami kekurangan kalium dan magnesium dalam badan.

“Kedua-dua bahan kimia ini sangat penting kepada otot. Kekejangan otot berlaku apabila pesakit kurang minum air apabila berpeluh,” jelasnya.

Menurut Rizal kekejangan otot sewaktu tidur dikaitkan dengan tanda-tanda penyakit diabetes dan masalah buah pinggang.

Katanya, penghidap penyakit ini biasanya akan mengalami kekejangan otot lebih kerap berbanding faktor penyebab lain.

“Apabila berlaku kekejangan otot, pesakit perlu meminta bantuan secepat mungkin daripada orang sekeliling.

“Bantuan orang kedua diperlukan bagi membolehkan otot diregangkan semula seperti biasa,” katanya.

Para pesakit yang merujuk kepada pakar, mereka akan dirawat menggunakan pil quinine. Garisson berpendapat, pil berkenaan memberi manfaat yang sederhana.

Vitamin B

“Pil ini memberi kesan sampingan berbahaya seperti denyutan jantung tidak teratur dan mengurangkan jumlah platelet darah,” katanya.

Justeru beliau menyarankan pesakit kekejangan otot ketika tidur mengambil lebih banyak makanan mengandungi kalium dan magnesium.

“Kacang, bijirin dan sayuran berdaun hijau merupakan sumber makan terbaik untuk mendapatkan kalium dan magnesium.

“Pesakit juga digalakkan minum lebih banyak air ketika bersenam. Satu kajian mendapati, pengambilan vitamin B turut membantu mengurangkan kekejangan otot,” jelasnya.

Sementara itu, Rizal menasihatkan pesakit supaya melakukan regangan otot selama beberapa minit sebelum tidur.

Beliau memaklumkan, langkah itu bagi memastikan otot betis, kaki dan paha berada dalam keadaan stabil.

“Mereka tidak perlu melakukan regangan sehingga mengeluarkan peluh. Cukup hanya menggerakkan otot kaki, betis dan paha,” katanya.

Kekejangan otot ketika tidur bukanlah penyakit yang serius, jadi pesakit tidak perlu berasa bimbang.

Bagaimanapun, jika gejala itu berlaku hampir setiap hari, pesakit dinasihatkan berjumpa pakar.