Keadaan ini boleh menjadi petanda atau amaran awal berkaitan penyakit jantung.

ED berlaku akibat peningkatan usia dan lazimnya dialami mereka yang sudah berusia.

Menurut Pakar Urologi Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Profesor Madya Dr. Ong Teng Aik, jika seseorang lelaki itu mengalami ED, dia tidak boleh mengabaikan tentangnya.

Ini kerana ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius yang bukan sahaja melibatkan zakar tetapi jantung atau otak.

“ED menyukarkan pengaliran darah ke zakar. Untuk membolehkan lelaki mengalami ketegangan ereksi secukupnya, darah yang mencukupi perlulah disalurkan ke zakar,” katanya.

Sekiranya darah kurang disalurkan ke organ tertentu, maka organ berkenaan akan menghadapi masalah.

“Jika darah kurang disalurkan ke zakar, seseorang lelaki itu akan mengalami ED dan jika darah kurang disalurkan ke jantung, dia mungkin mengalami serangan jantung.

“Sekiranya kurang bekalan darah ke otak, dia boleh diserang angin ahmar,” jelasnya.

Memetik kajian saintifik bandar dan luar bandar yang dilakukan bersama pasukannya di Malaysia pada tahun 2008 dengan melibatkan 350 orang dewasa, beliau berkata, 70 peratus daripada responden yang berumur antara 50 hingga 60 tahun mengalami ED.

Daripada responden yang mengalami ED itu, sebanyak 30 peratus diklasifikasikan sebagai ringan, 20 peratus sederhana dan 15 hingga 20 peratus dalam kategori teruk.

“Ramai pesakit yang menderita bertahun-tahun lamanya. Mereka mula mengalami ED sebelum mengetahui yang mereka juga menghidapi penyakit jantung.

“Jadi, jika kita dapat mengenal pasti pesakit-pesakit ini, kita dapat membantu mereka lebih awal. Inilah mesej utama kami,” katanya.

Golongan muda

Ditanya sama ada ED memberi kesan kepada golongan muda, beliau memberitahu, insiden itu rendah kerana mereka tidak mengalami manifestasi penyakit saluran darah pada usia muda seperti aterosklerosis.

Aterosklerosis adalah gangguan umum yang menjejaskan arteri organ-organ pada kadar yang sama.

“Hakikatnya, mereka masih muda. Penyakit ini mengambil masa untuk berlaku tetapi mereka boleh mengalami ED untuk sebab lain seperti tekanan psikologi, kemurungan dan masalah hubungan dengan pasangan.

“Apabila semakin berusia, mereka akan menghadapi masalah dengan saluran darah, menghidapi diabetes, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi,” kata Teng Aik

Sementara itu, Pakar Kardiologi Intervensi UMSC, Dr. Ramesh Singh Veriah pula berkata, ED menjadi semakin teruk ekoran peningkatan usia selain ia berkait rapat dengan penyakit jantung.

Beliau berkata, kebanyakan pesakitnya yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung pasti bertanya tentang apa yang akan berlaku kepada gaya hidup mereka nanti, hubungan dengan pasangan atau sama ada mereka boleh bersukan.

Ini mendorong Ramesh dan pasukannya untuk melakukan kajian pada tahun 2005 di pusat itu yang kemudiannya dibentangkan di Washington, Amerika Syarikat pada tahun 2008.

Daripada kajian terhadap 510 pesakit lelaki berisiko tinggi yang berumur antara 36 hingga 92 tahun dan mempunyai penyakit jantung, sebanyak 90 peratus didapati mengalami ED.

“Dua pertiga daripada mereka sebenarnya menyatakan bahawa ED penting untuk menjalani kehidupan (seksual) yang memuaskan.

“Berdasarkan sejarah kesihatan mereka, masalah ED bermula sebelum mereka menghidapi penyakit jantung,” kata Ramesh.

Tambahnya, serangan jantung mempunyai kaitan dengan saluran darah ke jantung manakala serangan angin ahmar pula berkaitan dengan saluran darah ke otak. Semua saluran darah bersaiz kecil.

“Faktor risiko seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kadar kolesterol tinggi, merokok dan obesiti menyumbang kepada pembentukan lemak atau plak di dalam saluran darah,” kata Ramesh.

Simptom

Terangnya, jika lemak mula terbentuk di dalam saluran darah atau apa yang disebut sebagai aterosklerosis, perfusi aliran darah ke organ seperti zakar akan berkurangan dan pesakit boleh mengalami disfungsi erektil.

“Kadangkala anda mungkin tidak tahu yang ia mula terbentuk secara perlahan-lahan di dalam jantung. Apa sebenarnya yang berlaku adalah pesakit-pesakit ini akhirnya menunjukkan beberapa simptom selepas bertahun-tahun mengalami ED,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila jantung tersumbat kira-kira 70 peratus atau lebih, pesakit mula berasa sesak nafas atau mengalami sakit dada.

“Secara puratanya, ED mendahului penyakit jantung dalam masa kira-kira tiga tahun. Ramai pesakit yang jantungnya tersumbat sering mengalami serangan jantung secara tiba-tiba dan ini dapat dicegah jika kita mampu menyaring mereka yang mengalami pra-ED. Walaupun ED tidak membunuh, penyakit jantung boleh menyebabkan kematian,” tegasnya. – Bernama