Rachel Foulkes-Davies, 43, digigit kutu tersebut pada lehernya, namun dia pada mulanya menyangka gigitan itu tidak mendatangkan sebarang bahaya sebelum bibirnya menjadi kebas dan sebelah wajahnya senget beberapa hari kemudian.

Doktor mulanya beranggapan dia menghidap Bell’s Palsy iaitu penyakit kelumpuhan muka dan merawatnya dengan prednisolone iaitu sejenis ubat steroid.

Bagaimanapun, keadaan ibu kepada tiga anak dari Denbighshire, Wales itu tetap tidak pulih.

Foulkes-Davies kemudiannya perlahan-lahan hilang upaya untuk bercakap selama lebih dari tujuh bulan dan terpaksa memakai penutup mata selama setengah tahun bagi membantu penglihatannya yang mula kabur .

Dia kemudiannya didiagnosis menderita penyakit Lyme selepas menjalani ujian persendirian ekoran doktor di hospital kerajaan berulang kali menolak faktor jangkitan bakteria kera­na ia dikatakan tidak wujud di Wales.

Wanita itu ­yang kini telah boleh bercakap semula dapat mengecam doktor di hospital kerajaan yang enggan melakukan ujian penyakit Lyme terhadapnya.

Walaupun telah boleh bercakap semula, wanita itu masih mengalami sakit kepala berterusan selain terpaksa memakai cermin mata hitam ketika menonton televisyen ke­rana kecerahan membuatkan penglihatannya menjadi kabur.

Digigit

Foulkes-Davies digigit kutu itu ketika sedang duduk di kawasan taman di rumah­nya pada Jun 2015 sebelum menyedari terdapat kesan merah di lehernya sebelum tanda merah itu membengkak dan bertukar menjadi putih.

Tiga hari selepas itu, bibirnya menjadi kebas dan pada hari keempat, dia mula kehilangan pergerakan pada bahagian kiri mukanya.

Dia kemudian pergi ke sebuah hospital kerajaan di Deeside apabila dia tidak dapat menutup matanya dengan betul.

Di sana, doktor hanya memasang penutup mata sebelum menyuruhnya pulang dalam tempoh hanya beberapa jam.

Keupayaan untuk bercakap Foulkes-Davies menjadi semakin buruk dalam tempoh tujuh bulan sehingga dia tidak dapat bercakap kerana tidak mengangkat bahagian sebelah kiri bibirnya.

Dia juga terpaksa menghancurkan makanan sebelum memakannya menggunakan penyedut minuman kerana ketika mengunyah, dia akan menggigit bibirnya tanpa sengaja menyebabkan ia berdarah.

Selama hampir tiga tahun, Foulkes-Davies mengalami keletihan dan kemurungan yang kronik ketika berjuang untuk menjaga anak-anaknya Jessica, 19; Callum, 12, dan Cieran, lapan bulan.

Dia akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada Disember 2017.

Walaupun keadaannya semakin teruk dari hari ke hari, hospital kerajaan itu tetap enggan membuat ujian penyakit Lyme terhadap wanita berkenaan.

Dia hanya diberi ubat antibiotik oleh doktor pada bulan Februari lalu untuk mengurangkan gejala-gejalanya.

Tidak mampu

Kecewa dengan diagnosis Bell’s palsy, Foulkes-Davies mengeluarkan wang sendiri berjumlah £89 (RM471) untuk melakukan ujian bioenergetik persendirian pada bulan Mei lalu dan dia didiagnosis menghidap penyakit Lyme.

“Sebelah muka saya masih senget sekiranya letih dan mata saya juga akan menggerenyet serta tertutup sendiri semasa makan.

“Saya juga mengalami masalah penglihatan kabur, menjadi pelupa dan mengalami sakit kepala yang berterusan,” katanya

Tambahnya, jika dia didiagnosis dengan penyakit itu lebih awal, dia boleh dirawat dengan rawatan doxycycline dan tidak perlu melalui penderitaan yang dialaminya kini.

“Doxycycline tidak lagi berkesan sekarang kerana keadaan saya telah terlalu teruk,” katanya.