Tugas kolektif menteri-menteri sebagai anggota pentadbiran dalam portfolio spesifik yang diserahkan kepada mereka adalah untuk melaksanakan janji-janji yang dizahirkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang telah memberi gabungan empat parti politik yang mereka anggotai iaitu Pakatan Harapan kelebihan majoriti untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan, sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU yang berlangsung pada 9 Mei 2018.

Tentunya dalam menggubal dan melaksanakan dasar-dasar baharu yang berteraskan janji-janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan, Jemaah Menteri Pakatan Harapan, tidak akan terkontang-kanting tanpa bantuan. Dalam menterjemahkan segala program yang dirancang, baik sepanjang 100 hari pertama atau untuk mandat lima tahun lagi, mereka akan dibantu oleh satu pasukan pelaksana terdiri daripada 1.6 juta kakitangan perkhidmatan awam yang kini berada di bawah kawalan mereka.

Jentera tersebut adalah pasukan yang sama yang berkhidmat untuk kerajaan BN sebelum itu. Pada peringkat tertinggi, jentera perkhidmatan awam Persekutuan itu diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara manakala pada peringkat kementerian pula oleh para Ketua Setiausaha dan pada peringkat jabatan oleh Ketua Pengarah. Penghijrahan automatik kesetiaan daripada kerajaan lama kepada kerajaan baharu ini berupaya dilakukan kerana perkhidmatan awam Malaysia sama seperti acuan asalnya di United Kingdom, berkhidmat untuk government of the day yang telah mendapat legitimasi rakyat dalam pilihan raya.

Boleh dikatakan status unik perkhidmatan awam inilah menjadi salah satu faktor yang telah menjamin kelancaran peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Harapan tanpa sebarang gangguan. Malah telah berlaku peralihan yang teratur mungkin di luar dugaan sesetengah pihak. Amaran yang dibayangkan oleh para pemimpin kerajaan sebelum itu bahawa pertukaran kerajaan BN kepada Pakatan Harapan akan diikuti oleh ketidakstabilan politik dan berkemungkinan mengancam keselamatan negara, juga tidak menjadi kenyataan.

Peralihan kuasa

Kehidupan rakyat berjalan seperti biasa. Negara-negara luar turut memuji peralihan kuasa yang tidak berkesudahan dengan pertumpahan darah dan rampasan kuasa. Malaysia membuktikan bahawa demokrasi yang kita amalkan telah mencapai satu tahap kematangan yang membanggakan, membolehkan berlaku pertukaran tampuk pemerintahan tanpa diikuti oleh sebarang rusuhan dan tunjuk-tunjuk perasaan liar seperti di sebilangan negara luar.

Kerajaan baharu yang mengambil alih, baik di peringkat Persekutuan dan negeri, juga tidak mengambil sikap bermusuhan terhadap perkhidmatan awam negara. Mereka menerima kedudukan neutral penjawat awam dalam politik dan mereka hanya berkhidmat untuk para pemimpin yang diberi kuasa. Mereka tidak membuang kakitangan awam berkenaan kecuali pegawai-pegawai yang dilantik secara politik yang dianggarkan berjumlah 17,000 orang.

Namun, pemecatan lantikan-lantikan politik ini memang sudah dijangka kerana kerajaan baharu melihat penyandang politik pada kedudukan-kedudukan tertentu yang strategik dalam perkhidmatan awam lebih bertujuan bukan untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan tetapi untuk memberi habuan kepada para penyokong. Justeru, kehadiran penjawat awam lantikan politik dirasakan tidak lagi diperlukan.

Bagaimanapun, kedudukan penjawat awam yang ditakrifkan oleh Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan meliputi angkatan tentera, perkhidmatan kehakiman dan undang-undang, perkhidmatan awam Persekutuan, pasukan polis, perkhidmatan awam bersama Persekutuan dan negeri, perkhidmatan awam satu-satu negeri dan perkhidmatan pelajaran langsung tidak disentuh oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Dengan kata lain, Pakatan Harapan selaku tuan politik baharu Putrajaya menghormati doktrin pemisahan antara perkhidmatan awam dengan sfera politik kepartian. Mereka mengakui tidak seperti pemimpin politik dalam kerajaan yang datang dan pergi, kakitangan perkhidmatan awam pada pelbagai peringkat seperti pengurusan tertinggi, profesional dan sokongan, kekal dalam jawatan masing-masing, tidak kira parti politik mana yang memerintah Putrajaya. Sekiranya sebelum ini, mereka berkhidmat untuk kerajaan BN, selepas PRU ke-14, tuan politik mereka ialah Perdana Menteri dan para menteri Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Mahathir.

Bermula daripada pegawai awam tertinggi iaitu Ketua Setiausaha Negara membawa kepada Ketua Setiausaha pada peringkat kementerian dan Ketua Pengarah pada peringkat jabatan serta pegawai-pegawai lain di bawah mereka, kesetiaan perkhidmatan serta-merta beralih kepada tuan-tuan politik baharu yang dilantik untuk menerajui kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan lain.

Dalam kalangan penjawat awam tersebut akhirnya masing-masing akan membuat penyesuaian dan membiasakan diri dengan gaya dan budaya kerja tuan-tuan politik mereka. Kakitangan awam itu menerima hakikat bahawa sebagai jentera pelaksana, fungsi utama perkhidmatan awam adalah untuk menjayakan keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan baharu.

Tentulah dalam kalangan segelintir penjawat awam ada tidak dapat menerima perubahan politik yang berlaku selepas PRU-14. Bagi golongan serupa itu, mereka tiada pilihan kecuali untuk melepaskan kedudukan masing-masing secara sukarela. Jika layak, mereka boleh memilih untuk mengambil persaraan awal. Sekiranya berstatus pegawai kontrak, kemungkinan perkhidmatan mereka tidak akan disambung.

Perubahan

Tetapi percayalah, hampir seratus peratus penjawat awam yang digaji tetap oleh kerajaan sehingga mencapai usia persaraan pada usia 60 tahun itu tiada masalah untuk bekerja di bawah tuan-tuan politik baharu mereka. Hal ini berlaku kerana penjawat awam itu menganggap jawatan yang disandang adalah satu kerjaya profesional yang membolehkan mereka berkhidmat untuk siapa juga yang berkuasa.

Benar ada sebilangan agensi kerajaan yang dibubarkan berikutan pertukaran kuasa itu, tetapi pegawai-pegawai tetap agensi tersebut tidak kehilangan mata pencarian dan sumber rezeki mereka. Sebaliknya mereka diserap ke jabatan-jabatan lain seperti yang dialami oleh 800 kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang dipindahkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Nyata bahawa dalam konteks kedudukan perkhidmatan awam, pepatah sekali air bah, sekali pantai berubah, belum lagi terjadi secara besar-besaran selepas berlaku pertukaran kerajaan pada peringkat Persekutuan pasca PRU yang lalu. Tidak tahulah pula kalau di balik air yang tenang itu ada gelora besar yang akan melanda pada bila-bila masa.