Atau bayangkan pelbagai cerita makyung seperti Raja Tangkai Hati, Dewa Indra-Indra Dewa, Ending Tejeli, Dewa Muda dan lain-lain difilemkan sehingga mampu menjana pendapatan lumayan setara dengan cerita rakyat Barat yang telah difilemkan seperti Cinderella, Snow White dan Beauty and the Beast.

“Ekonomi hari ini bergerak dari era informasi ke era konseptual iaitu keadaan ekonomi yang mengalami kelebihan penawaran berbanding permintaan.

“Oleh itu, kekuatan inovasi dan kreativiti sangat penting untuk menjadi nilai tambah bagi mengatasi daya saing produk-produk lain.

“Industri tidak lagi bersaing dalam pasaran global semata-mata berdasarkan harga atau mutu produk yang ditawarkan tetapi juga mesti bersaing berdasarkan inovasi, kreativiti, dan imaginasi,” kata penganalisis ekonomi Amerika Syarikat (AS), Daniel H. Pink dalam bukunya, A Whole New Mind (2005).

Pendapat Pink tersebut sejajar dengan perkembangan ekonomi global yang merupakan peralihan daripada ekonomi pertanian dan ekonomi industri kepada ekonomi informasi berteraskan kreativiti, produk-produk budaya dan pengetahuan manusia sebagai faktor pengeluaran utamanya menjelang abad ke-21.

Ia bermaksud ekonomi dunia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor industri atau pembuatan berasaskan teknologi semata-mata, tetapi turut berkembang berasaskan sumber-sumber baharu yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian, kreativiti serta idea-idea manusia.

Ahli sejarah seni tampak, H.W Jason dalam bukunya History of Art (1991) pula telah memberikan istilah tentang konsumerisme iaitu pembelian karya-karya seni kini merupakan sebahagian daripada pelaburan para kapitalisme, bukan semata-mata kerana mengagumi estetika karya-karya tersebut.

Justeru, karya seni kini menjadi sebahagian daripada perniagaan yang sangat menguntungkan.

Sehubungan dengan perkembangan tersebut, produk-produk budaya telah menjadi komoditi yang mempunyai nilai dari segi ekonomi.

Analogi yang paling mudah ialah secawan kopi berjenama Starbuck mempunyai harga yang jauh lebih tinggi berbanding segelas kopi di warung-warung di pinggir jalan kerana ia telah diberi sentuhan seni, kreativiti dan inovasi.

Inovatif

Selain itu, jenama tersebut dipasarkan melalui strategi promosi yang efektif.

Begitu juga seorang penyanyi yang hanya membuat persembahan pada majlis perkahwinan tidak mungkin menerima bayaran seperti mereka yang menyanyi di hotel mewah.

Ia bermakna ekonomi kreatif memerlukan kita tidak sekadar penyanyi tetapi penulis lirik, penerbit album dan menguasai strategi pemasaran hiburan.

Ekonomi kreatif mula menjadi istilah global sejak munculnya buku The Creative Economy: How People Make Money from Ideas (2013) oleh John Howkins.

Antara lain, beliau membahaskan tentang munculnya gelombang ekonomi baharu berasaskan kreativiti terutamanya menjelang tahun 2000, ekoran kepesatan perkembangan teknologi maklumat.

Howkins mendefinisikan ekonomi kreatif sebagai ekonomi yang menjadikan penciptaan kreatif seperti lagu, reka bentuk dan seni bina, kraf tangan, warisan budaya, dan kesenian tradisional sesebuah masyarakat sebagai sumber baharu yang diinovasikan ke dalam bentuk-bentuk yang bersifat global.

Bentuk-bentuk global pada pandangan Howkins merujuk kepada proses inovasi untuk membolehkan sesebuah kesenian dapat diterima oleh masyarakat lain dan akhirnya berkembang sebagai satu komoditi ekonomi kreatif dunia.

“Setiap negara, wilayah, atau daerah mampu menciptakan produk-produk baharu yang inovatif dan memasarkan kebudayaan masing-masing sebagai sumber ekonomi kreatif,” kata seorang lagi ahli ekonomi AS, Richard Florida dalam bukunya, The Rise of Cities and Creative Class (2001).

Pendapat oleh Howkins dan Florida tersebut adalah berdasarkan keupayaan AS pada 1997 menjana pendapatan melebihi AS$414 bilion (RM1.7 trilion) melalui ekonomi kreatif terutama sektor animasi dan perfileman, penerbitan, rekabentuk grafik, seni visual, koleksi muzium dan produk-produk fotografi.

Mengapa perhatian terhadap ekonomi kreatif semakin tinggi?

Alasan pertama ialah nilai dan pertumbuhannya yang begitu pesat. Dianggarkan nilai sektor tersebut di seluruh dunia akan meningkat kepada RM20.75 trilion setahun menjelang 2020 dan dianggarkan mengalami peningkatan lebih 30 peratus menjelang 2025.

Pada tahun lalu, ekonomi kreatif telah menyumbang AS$2 trilion (RM8 trilion) kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) AS dengan melibatkan 3.48 juta pekerja, selain melahirkan 673,656 ahli perniagaan dalam semua sektor kreatif seperti pembikinan filem, perisian komputer dan seni visual.

Malaysia sendiri mengunjurkan sektor animasi dan kesan visual yang akan menyumbangkan RM3.04 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar serta menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Namun, jumlah itu masih jauh ketinggalan berbanding apa yang dicapai oleh AS dan negara-negara maju lain.

Kita tidak akan setanding dalam perolehan pendapatan melalui ekonomi kreatif AS, Jepun, China dan beberapa negara Barat, tetapi dengan kekayaan kesenian dan kebudayaan tradisional serta kepelbagaian budaya dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan perolehan dalam ekonomi kreatif negara

Eksploitasi

Eksploitasi dan eksplorasi terhadap kesenian-kesenian tradisional negara menjadi sangat penting dalam isu ini bagi meningkatkan jumlah perolehan dalam sektor ekonomi kreatif.

Pelbagai pihak perlu melihat potensi-potensi yang berasaskan cendekiawan tempatan dalam budaya setiap kaum di Malaysia untuk diangkat dan direalisasikan ke dalam program ekonomi kreatif negara.

Ia bermakna kesenian-kesenian tradisional tersebut melalui proses nilai tambah dan inovasi tertentu untuk disesuaikan dengan pasaran global.

Nilai tambah dan inovasi akan meletakkan makyung, wayang kulit atau semua kesenian tradisional milik pelbagai kaum tersebut dalam skop ekonomi dan kebolehpasaran, selain menonjolkan kesenian-kesenian ini sebagai produk pelancongan budaya.

Bagaimanapun, sentuhan inovasi, kreativiti dan pemasaran menjadi elemen yang sangat penting.

Ahli antropologi, Brian Fay dalam bukunya, Contemporary Philosophy of Social Science: A Multicultural Approach (1996) mengutarakan pandangan yang sangat bernas dalam konteks ini.

Fay meletakkan kepelbagaian budaya sebagai struktur untuk dijadikan acuan bagi memahami dan menyebarluaskan integrasi dalam kehidupan masyarakat.

Jika negara jiran, Indonesia mampu menjana ekonomi kreatifnya berasaskan kesenian dan pelancongan budaya lebih 250 suku kaum yang mendiami sekitar 17,500 pulaunya, Malaysia juga mampu melakukannya melalui keunikan budaya pelbagai kaum yang ada termasuk etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

Nilai tambah dan inovasi akan meletakkan makyung, wayang kulit atau semua kesenian tradisional milik pelbagai kaum tersebut dalam skop ekonomi dan kebolehpasaran

Dr. Azman Ismail ialah Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).