Walaupun pembayar cukai sedar tanggungjawab mereka, namun masih ada yang culas untuk melaksanakannya. 

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut, wartawan Jurnal menemubual Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah bagi memperjelaskan mengenai tugas dan tanggungjawab agensi yang melaksanakan pungutan cukai di negara ini.  

Jurnal: Sudah lebih 30 tahun Datuk Seri bersama LHDN sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Disember 2016. Bagaimana Datuk Seri melihat tahap kesedaran rakyat di negara ini untuk membayar cukai dahulu dan sekarang?

SABIN: Secara umumnya kesedaran membayar cukai di negara ini semakin meningkat saban hari dan ia ditunjukkan melalui komen yang diperkatakan oleh rakyat mengenainya sejak kebelakangan ini. Tambahan pula publisiti yang digerakkan oleh agensi-agensi yang dilantik untuk pemungutan cukai seperti LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sangat meluas.

Bagaimanapun, fokus yang perlu diberikan oleh rakyat bukan sahaja mengetahui tentang kepentingan cukai sebaliknya mereka mesti patuh kepada undang-undang cukai dan membayar cukai dengan betul.

Justeru, bagi tujuan tersebut kami di LHDN sentiasa berusaha menambah baik pendekatan dalam berhubung dengan khalayak pembayar cukai serta menyediakan pelbagai kemudahan yang terkini seperti e-Filing, HASiL InfoQ dan QR Code agar pemahaman cukai terus meningkat dan urusan percukaian rakyat lebih lancar serta mudah.

Sejauh manakah keberkesanan sistem kutipan cukai pendapatan di Malaysia berbanding negara-negara lain dan berapa banyak pembayar cukai pendapatan individu dan perniagaan yang ada di Malaysia sekarang?

SABIN: Jika kita semak data-data yang ada, sesebuah negara yang ingin mencapai pertumbuhan pembangunan yang mampan dan menjadi negara maju, sumbangan cukai berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu berada dalam kadar melebihi 20 peratus. Maksudnya, jika saiz KDNK negara itu RM1 trilion, kutipan cukainya mesti sekurang-kurangnya RM200 bilion. 

Melihat kepada negara kita, sumbangan cukai (cukai langsung dengan cukai tidak langsung) berbanding KDNK masih pada tahap sederhana iaitu kurang 15 peratus. Keadaan ini bukan sahaja disebabkan oleh tahap pematuhan cukai masih sederhana tetapi ia juga disumbangkan oleh banyak faktor seperti keprihatinan kerajaan pada masa ini yang banyak memberikan pelepasan cukai untuk dinikmati oleh rakyat serta insentif-insentif cukai untuk dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan. 

Bayangkan, bagi pembayar cukai individu sahaja terdapat dalam 21 jenis pelepasan cukai termasuklah pelepasan gaya hidup, kos yuran anak di taska, insurans kesihatan, perbelanjaan rawatan perubatan dan saraan kepada ibu bapa. 

Malah, sebagai usaha berterusan meringankan bebanan cukai rakyat berpendapatan sederhana, kerajaan juga telah menurunkan kadar cukai individu sebanyak dua mata peratusan berkuatkuasa bagi pendapatan Tahun Taksiran 2017 sekaligus memberikan kelegaan kepada lebih 261,000 orang pembayar cukai kerana mereka tidak lagi berada dalam kelompok rakyat yang perlu membayar cukai pendapatan.

Justeru, saya berpandangan sistem percukaian di Malaysia adalah setanding dengan negara-negara lain, namun saya tidak menafikan bahawa mungkin terdapat ruang-ruang yang boleh ditambah baik dalam usaha memantapkan lagi sistem percukaian sedia ada. Oleh yang demikian, LHDN sentiasa mengemaskini strategi berasaskan keperluan semasa dan juga mempelajari amalan percukaian negara-negara lain yang boleh diaplikasikan dalam konteks Malaysia. 

Berdasarkan statistik sehingga tahun lalu, terdapat hampir 7 juta pembayar cukai individu dan hampir 781,000 pembayar cukai syarikat yang aktif di Malaysia. 

Ada doktor dikesan antara kalangan ahli profesional yang paling ramai tidak membayar cukai pendapatan, malah seorang jutawan kosmetik terpaksa diheret ke mahkamah bagi memaksanya melunaskan cukai berjumlah RM4.6 juta. Adakah gejala golongan profesional mengelak daripada membayar cukai ini serius?

SABIN: Sebenarnya tidak tepat menyatakan doktor adalah yang paling ramai tidak membayar cukai pendapatan kerana gejala mengelak cukai ini boleh berlaku kepada semua golongan sama ada bekerja makan gaji, berniaga atau syarikat-syarikat besar. 

Ia juga merupakan masalah global yang dialami oleh pentadbir cukai lain seantero dunia dan bukan sahaja di Malaysia. Bertindak atas senario ini, selain daripada menyediakan kemudahan dan pendidikan cukai kepada orang awam, LHDN juga telah menjalankan tindakan pematuhan dengan lebih berfokus dan berdasarkan tahap risiko pelarian cukai. 

Pada tahun ini dan seterusnya, LHDN akan terus mempertingkatkan tiga kaedah iaitu meningkatkan kemudahan kepada pembayar cukai untuk mereka menjalankan tanggungjawab percukaian, menggiatkan program pendidikan dan tindakan pematuhan yang lebih berfokus dan efektif. 

Kami yakin pendekatan ini akan membantu dalam meningkatkan tahap pematuhan sukarela dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.

Konsep lebih banyak kita memberi, lebih banyak rezeki yang akan diperoleh seolah-olah kurang dihayati. Apakah pesanan Datuk Seri kepada golongan kaya tetapi liat membayar cukai ini?

SABIN: Secara umumnya tiada seorang pun suka untuk membayar cukai dan sekiranya diberi pilihan, ramai yang tidak mahu membayar cukai kerana dianggap sebagai bebanan. 

Bagaimanapun, kita harus jelas bahawa cukai merupakan elemen terpenting sumber hasil kepada sesebuah negara. Melalui sistem pungutan cukai efisien dan teratur, sesebuah negara itu mampu menjana hasil yang tinggi dan stabil untuk kebaikan rakyat dan juga negara. 

Mungkin kita terlepas pandang bahawa sebahagian kejayaan yang kita kecapi pada hari ini sebenarnya disumbangkan oleh hasil cukai yang dibayar.

Mungkin kita terlupa bahawa kecemerlangan anak-anak kita dalam pendidikan juga dibantu oleh hasil cukai yang dibayar melalui subsidi yuran pengajian yang ditanggung kerajaan.