Operasi fun fair pernah melalui zaman gemilang sekitar tahun 1980-an termasuk menjadi platform kumpulan rock tanah air mencipta nama di persada seni. Persembahan mereka di pentas fun fair menjadi daya tarikan anak-anak muda.

Selepas tiga dekad, fun fair ternyata belum menemui zaman malapnya apabila ia kekal menjadi sumber hiburan masyarakat yang tidak mahu mengeluar kos yang tinggi bagi menikmati ‘keriangan’ terutamanya bagi golongan remaja dan kanak-kanak.

Fun fair masih mengekalkan signatur sebagai taman tema mini dengan kemasukan pengunjung menggunakan token yang ditukar dengan wang tunai. Lokasinya boleh berubah-ubah dari satu tempat ke tempat lain tidak seperti taman tema ternama.

Pelbagai jenis tarikan permainan seperti kapal gergasi dan roda Ferris disediakan. Pengunjung juga boleh bersantai bersama keluarga di tapak pesta itu terutamanya pada malam hujung minggu.