Dalam pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia yang akan berlangsung minggu depan, yang menyaksikan 32 buah pasukan bersaing, antara negara yang paling hebat merasakan kemegahan dapat terlibat dalam Piala Dunia ialah Iceland.

Iceland merupakan sebuah negara pulau di Lautan Atlantik Utara di barat Eropah yang hanya mempunyai penduduk seramai 350,000 orang.

Apabila Iceland layak buat pertama kali ke pusingan akhir Piala Dunia di Rusia yang akan bermula pada 14 Jun 2018, rakyat negara itu berasa sungguh bangga dengan pencapaian mereka.

Jumlah penduduk Iceland yang kecil itu adalah bersamaan dengan bilangan penduduk bandar Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu di Malaysia.

Bayangkan bandar Kuala Terengganu yang mempunyai penduduk 350,000 orang dapat melahirkan sebuah pasukan bola sepak yang bertanding dalam pusingan akhir Piala Dunia di Rusia.

Sebuah lagi negara yang mencapai kehebatan yang sama dengan Iceland ialah Panama, sebuah republik di Amerika Tengah yang bersempadan dengan Costa Rica dan Colombia.

Tahun 2018 adalah kali pertama Panama bertanding dalam pusingan akhir Piala Dunia.

Bagaimana pula dengan Malaysia yang rakyatnya setiap empat tahun sekali hanya sekadar menjadi penonton kepada perlawanan-perlawanan Piala Dunia.

Beberapa tahun lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika masih lagi menjadi menteri yang menjaga hal ehwal sukan meramalkan Malaysia hanya akan dapat bermain dalam Piala Dunia pada tahun 2050, iaitu 32 tahun dari sekarang.

Ertinya dalam pemikiran Khairy, para pemain yang boleh membawa Malaysia ke Piala Dunia adalah insan-insan yang belum lagi dilahirkan ke dunia.

Malah beliau dilaporkan berkata, Malaysia sepatutnya membida menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun 2034.

Sesudah kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tidak tahu apakah nasib idea Khairy itu.

Memandangkan sukan bola sepak dimainkan oleh 240 juta manusia di seluruh dunia dan menjadi perlawanan sukan yang ditunggu-tunggu oleh berbilion manusia, adalah penting pihak kerajaan Pakatan Harapan yang baru memerintah Malaysia melakukan sesuatu untuk membuahkan hasil yang lebih awal daripada ramalan Khairy.

Semangat baharu
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, telah menyuntik semangat baharu dengan berusaha membawa perlawanan-perlawanan Piala Dunia 2018 di Rusia ke kaca televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara percuma mulai 14 Jun ini.

Yang menariknya, kos sebanyak RM30 juta untuk membawa hak siaran itu ke RTM bagi disaksikan secara percuma oleh rakyat Malaysia kini dilaporkan dapat ditampung melalui iklan-iklan penaja yang akan disiarkan oleh RTM sepanjang Piala Dunia.

Sebahagian besar rakyat Malaysia kini akan dapat bersama dengan kira-kira 3.2 bilion manusia yang diramalkan bakal menonton perlawanan akhir Piala Dunia pada 17 Julai 2018 dari Moscow, Rusia.

Selama ini mereka hanya berpeluang menonton Piala Dunia  melalui televisyen berbayar Astro dan internet.

Piala Dunia telah menjadi simbol penyatuan dan nasionalisme bagi banyak negara.

Adakah kerajaan Pakatan Harapan juga kelak akan melihat kemegahan yang dikaitkan dengan negara-negara yang dapat bermain dalam Piala Dunia dalam konteks masa depan pasukan bola sepak Malaysia?

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad belum menamakan siapa Menteri Belia dan Sukan kerajaan Pakatan Harapan.

Adalah penting kepada menteri baharu nanti untuk bekerjasama rapat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyediakan barisan pemain yang betul-betul memberi persaingan kepada cabaran Malaysia untuk bertanding di peringkat pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar, yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun 2020.

Adakah tempoh empat tahun dari sekarang, antara 2018 hingga 2022, adalah terlalu awal untuk kita melihat dan merancang supaya pasukan Harimau Malaya dapat beraksi dalam Piala Dunia?

Adakah gaji pemain bola sepak di Malaysia sekarang sebanyak RM100,000 sebulan tidak menjadikan mereka bersemangat untuk ke Piala Dunia bagi bersaing dengan pemain antarabangsa seperti Christiano Ronaldo dari Portugal yang memperoleh gaji RM2 juta sebulan?  

Malaysia memerlukan seorang menteri sukan yang boleh mencetuskan motivasi dan lonjakan bagi merealisasikan impian itu.

Akhirnya kita akan bertanya, adakah kejayaan dalam bidang sukan mesti dirintis atau hanya akan berjaya jika mendapat perancangan strategik kerajaan?

Untuk berjaya mara ke Piala Dunia ia memerlukan sesuatu yang benar-benar unik iaitu suatu bentuk magik yang melampaui komitmen ahli-ahli politik.

Ada banyak orang percaya kejayaan bermain bola sepak di peringkat tertinggi itu berkait rapat dengan nasib, disiplin, kesungguhan, konsistensi, budaya dan tradisi untuk sentiasa menang dalam perjuangan.  

Inilah mentaliti para pemain hebat dari negara-negara besar sukan bola sepak dunia yang mungkin tidak ada pada bintang-bintang bola sepak Malaysia.