Mereka yang malu dengan kekalahan akan terus dilemahkan, dan mungkin bersara daripada pertempuran, mengangkat bendera putih, mati dalam diam-diam dan menerima hakikat untuk dihukum ekoran kekalahan tersebut.

Bagaimanapun, bagi sesetengah tentera dan ahli politik yang tidak hilang semangat, sesudah beberapa ketika memikirkan tentang kekalahan, mereka akan berkumpul semula (regroup), mencari rakan-rakan yang masih tinggal, mengatur langkah, mewujudkan ketumbukan baharu, bergerak dengan disiplin, memikirkan taktik-taktik yang akan diambil, sebelum bangkit meneruskan perjuangan.

Apabila parti Konservatif kalah teruk kepada Buruh dalam pilihan raya umum United Kingdom pada tahun 1997 ekoran populariti Tony Blair dan kerana rakyat British telah penat dengan kerajaan Konservatif yang memerintah sejak tahun 1979, iaitu selama 18 tahun, episod yang sama berlaku ke atas parti itu.

Ahli-ahli politiknya lari berteraburan, salah-menyalah atas punca kekalahan, kutuk-mengutuk sesama sendiri, malu, dan setelah beberapa ketika mereka mula regroup dan mengatur kembali strategi dalam perjuangan untuk mengambil alih kerajaan.

Antara pemimpin dalam parti Konservatif selepas ia tewas pada tahun 1997 ialah seorang ahli politik muda yang baru berusia 30 tahun bernama David Cameron yang kalah  di kerusi Parlimen kawasan Stafford dalam pilihan raya umum tahun tersebut.

Tiada siapa menyangka 13 tahun kemudian Cameron, ketika berumur 43 tahun, selepas beberapa kali Konservatif berganti pemimpin ketika parti itu menjadi pembangkang, berjaya mengembalikan Konservatif ke puncak kuasa pada pilihan raya 11 Mei 2010.

Pengalaman sejarah politik di United Kingdom menunjukkan proses untuk berkumpul semula dalam sebuah parti kerajaan yang kalah dalam pilihan raya akan mengambil masa, dan kadangkala siapa pemimpin yang bakal mengembalikan parti yang tewas itu untuk berkuasa adalah nama-nama yang tidak terduga pada peringkat awal kekalahan.

Ketika Blair menang besar dalam pilihan raya 1997, Buruh menguasai 419 kerusi Parlimen, memberikan parti itu majoriti 179 kerusi ke atas Konservatif dalam Parlimen yang mempunyai 659 kerusi. Parti Konservatif hanya mendapat 165 kerusi pada tahun itu dengan undi popular sebanyak 30.7 peratus. Parti-parti lain memperoleh kerusi selebihnya.

Stamina

Jika anda membandingkan pengalaman parti Konservatif menerima kekalahan teruk tahun 1997 dengan apa yang berlaku kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di negara pada 9 Mei 2018, kekalahan UMNO dan BN sebenarnya tidaklah terlalu jauh seperti jurang besar yang berlaku dalam kes parti Konservatif United Kingdom yang diranapkan pada tahun 1997.

Di sebalik peristiwa politik tersebut, 13 tahun kemudian parti Buruh, yang menang besar pada tahun 1997, tidak semena-mena hilang kepercayaan rakyat dan dapat dijatuhkan oleh Konservatif.

Episod-episod sejarah politik di banyak negara memperlihatkan bahawa perjuangan politik menuntut kesabaran. Ia memerlukan masa, keberanian, stamina dan ketajaman minda pemimpin-pemimpin politik.

Di Malaysia, anggapan bahawa kehidupan dan karier politik hanya selamat kalau berada dalam UMNO dan BN tidak lagi sesuatu yang boleh dipercayai. Mitosnya telah dipecahkan pada 9 Mei lalu.

Pemimpin seperti Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperlihatkan usia 92 tahun bukan halangan untuk berjaya. Beliau sekarang berada di puncak kuasa, selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018, kerana keyakinan para penyokong dan pengundi terhadapnya.

Beliau memimpin gerakan menyatukan parti-parti pembangkang dengan jayanya selepas skandal 1MDB terbongkar dan berlaku perbalahan dalam UMNO pada tahun 2015 yang mencetuskan kehampaan banyak ahli parti itu terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada April 1994, 24 tahun lalu, Najib, yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan Malaysia, yang partinya kalah dalam PRU-14 baru-baru ini, telah mengunjungi kota cantik Cape Town di Afrika Selatan sempena sambutan ulang tahun kelahiran seorang ulama dari Makasar, Sulawesi yang dibuang negeri ke Cape Town kira-kira 300 tahun sebelum itu.

Ketika terlibat dalam satu rapat umum di sebuah lokasi di pinggir kota Cape Town, Najib berkongsi pentas ucapan politik dengan mendiang Nelson Mandela, ikon politik Afrika Selatan, yang dipenjara selama 27 tahun dan baru dibebaskan pada tahun 1990.

Waktu Najib bertemu Mandela yang ketika itu telahpun berusia 76 tahun, kempen pilihan raya umum Afrika Selatan sedang rancak berjalan. Pada 29 April tahun itu, parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) memenangi pilihan raya umum Afrika Selatan dan Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama negara tersebut, mengubat kekecewaan selama 27 tahun.

Najib sewajarnya merenung kembali pengalamannya bertemu dan mengenali dua tokoh politik yang berupaya kembali ke puncak kuasa ketika usia emas mereka, iaitu Mandela dan Mahathir. Beliau perlu bermuhasabah tentang kesilapan yang telah dilakukannya.

Tokoh-tokoh muda dalam UMNO dan BN yang ditinggalkan Najib harus belajar bagaimana sesetengah parti besar dunia berupaya memenangi semula hati rakyat sebagaimana parti Konservatif di United Kingdom.

Pada masa yang sama, mereka juga perlu menerima hakikat bahawa ada banyak parti politik besar lain di banyak negara terus melarat dan akhirnya berkubur selepas kalah dan dimalukan akibat tidak mengatur strategi, respons dan rancangan komprehensif yang boleh mengembalikan mereka kepada kuasa.

Sememangnya karier politik penuh dengan kekaburan dan melankolik apabila terjadi kekalahan. Akan wujud withdrawal syndrome dan ketidakgembiraan yang panjang. Parti yang ingin kembali diyakini dan teguh, termasuk UMNO dan BN, para pemimpinnya tidak boleh bermurung terlalu lama.