Ia merupakan satu masalah sosioekonomi yang berlaku di seluruh dunia, termasuk di negara-negara maju.

Di bandar, boleh dikatakan segalanya memerlukan semangat ikhtiar hidup yang tinggi dalam mendepani kos hidup yang jauh lebih tinggi berbanding kehidupan di luar bandar. Boleh dikatakan hampir segalanya memerlukan wang.

Namun demikian, seiring dengan pengukuhan ekonomi negara yang mempertingkatkan pendapatan isi rumah dan menjadi pemacu utama dalam mengurangkan kemiskinan serta pelbagai inisiatif kerajaan, kadar kemiskinan di Malaysia mengalami penurunan ketara daripada 50 peratus pada tahun 1970 kepada 0.4 peratus pada 2016.

Kehidupan

Khazanah Research Institute menerusi Laporan Kemiskinan dan Pendapatan Isi Rumah yang diterbitkan pada tahun 2016 menyatakan hampir 12 peratus atau 767,000 isi rumah di Malaysia berpendapatan RM2,000 sebulan ke bawah dan 65 peratus (4.16 juta) berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.

Bayangkan bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai tanggungan yang ramai dan komitmen pembayaran setiap bulan.

Bak kata pepatah Melayu, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita biasa mendengar keluhan golongan dewasa, terutamanya penyara keluarga dan mereka yang menguruskan isi rumah tentang cabaran yang mereka hadapi.

Namun apakah impak keadaan ini terhadap kanak-kanak sebagai golongan yang paling mudah terkesan dengan kesukaran yang dialami?

Laporan Kanak-Kanak Pinggiran: Kaji Selidik Mengenai Kemiskinan dan Penafian Hak Kanak-Kanak Bandar Di Rumah Pangsa Di Kuala Lumpur yang dijalankan oleh Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan firma penyelidikan tempatan, DM Analytics, yang diterbitkan pada Februari lalu merungkai permasalahan yang dialami kanak-kanak bandar dalam kelompok ini.

Kajian antara 20 Ogos sehingga 30 September tahun lalu itu melibatkan 966 ketua keluarga dan 2,142 kanak-kanak di 17 lokasi di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Perunding untuk UNICEF merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi DM Analytics, Dr. Muhammed Abdul Khalid berkata, kajian yang dijalankan menilai penafian dalam empat dimensi iaitu pendapatan, pendidikan, kesihatan dan standard kehidupan.

“Kami dapati kira-kira 15 peratus kanak-kanak bawah umur 5 tahun mengalami pertumbuhan yang terbantut, 22 peratus mengalami kurang berat badan dan 23 peratus obes.

“Mereka tidak mempunyai ruang belajar yang kondusif, walau hampir semua kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun bersekolah.

“Selain itu, hanya seorang daripada dua orang kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun dihantar ke pusat didikan prasekolah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Analisis ke atas faktor yang menyumbang kepada kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun menekankan betapa pentingnya pemakanan dan pendidikan prasekolah.

“Akses terhadap makanan sihat agak sukar bagi golongan ini kerana harganya yang tinggi dan sukar diperoleh berbanding makanan tidak berkhasiat serta minuman bersoda yang mempunyai kandungan gula yang tinggi,” ujar Muhammed.

Sehubungan itu, isu-isu yang timbul perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera.

“Negara sedang menuju ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang merupakan satu inisiatif pembangunan negara tetapi kajian sebelum ini menunjukkan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2035.

“Ini bermakna terdapat lebih 15 peratus daripada populasi berusia 65 tahun ke atas pada waktu itu berbanding 8 peratus sekarang.

“Jika masalah pemakanan dan pertumbuhan yang terbantut dalam kalangan kanak-kanak ini tidak diberi perhatian, ia akan memberikan impak kepada pertumbuhan negara memandangkan generasi ini bakal menjadi pemimpin dan tenaga kerja masa depan,” katanya.

Sebagai contoh, jika seorang bayi dilahirkan pada tahun 2020, dia akan berusia 30 tahun menjelang 2050 dan menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang memainkan peranan besar dalam produktiviti negara.

“Oleh itu, adalah wajar untuk kita mengambil langkah pencegahan demi manfaat masa depan,” katanya.