Dalam tempoh yang tinggal ini, sebahagian besar daripada kira-kira 14.9 juta pengundi telah pun membuat pendirian dan mencapai kesimpulan parti dan calon mana yang akan mereka sokong dalam pilihan raya tersebut.

Kalau ada pun yang masih belum membuat keputusan, mereka adalah golongan pengundi atas pagar atau pengundi-pengundi luar yang tidak dapat ditemui calon-calon yang berkempen.

Jumlah mereka, walaupun kecil, begitu mustahak dalam persaingan pilihan raya yang sengit.

Pada PRU-13 lima tahun lalu, ada calon menjadi wakil rakyat hanya selepas menang dengan kelebihan majoriti 85 undi.

Ertinya, dalam berkempen, satu undi yang diterima oleh seseorang calon atau parti, adalah suatu perbezaan besar yang membezakan antara orang yang menang dengan orang yang kalah.

Pada malam Rabu depan, apabila keputusan pilihan raya diumumkan, akan ada calon-calon yang menang, dan akan ada ramai  calon-calon yang bakal menangis dan kecewa kerana mengalami kekalahan.

Terdapat sejumlah 727 kerusi terkumpul Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan (222 kerusi Parlimen, 505 kerusi DUN), dan jika ditolak beberapa orang calon yang bertanding serentak di kerusi Parlimen dan DUN, jumlah terkumpul ahli politik parti dan calon bebas yang akan dikecewakan nanti adalah sekitar dua pertiga daripada 2,333 calon yang mengambil bahagian dalam pilihan raya Rabu depan.
                      
Akan terdapat lebih 1,606 calon yang akan dikecewakan dalam PRU-14.

Parti-parti politik pasti akan membuat post-mortem masing-masing nanti tentang faktor-faktor yang menyebabkan kemenangan dan kekalahan masing-masing.

Adakah kerana faktor latar belakang calon, masalah peribadi dan personaliti, dan isu-isu politik peringkat tempatan, atau adakah para pengundi di sesebuah kawasan memilih calon berdasarkan isu-isu politik peringkat nasional?

Di sesetengah kawasan, calon-calon parti memerintah yang menjadi penyandang wakil rakyat kawasan itu kebanyakannya merasakan mereka telah berkhidmat sehabis baik di kawasan yang diwakili.

Ada yang merasakan jika mereka kalah nanti atau menang dengan majoriti kecil, mereka tewas atau hampir kecundang kerana isu-isu nasional.

Ada pula calon yang telah disokong oleh dasar-dasar kerajaan dan manifesto parti yang mantap, tetapi mereka bakal kalah dalam pertarungan kerana persengketaan dalaman parti antara para penyokong.

Ada penyokong yang mengundi dengan bayangan kemelut pemilihan parti pada masa depan iaitu selepas PRU-14 berakhir.

Ada calon yang kalah kerana kesilapan strategi politik parti yang mereka wakili di peringkat nasional yang terpedaya dan terpesona dengan ramalan kejayaan rancangan politik yang parti gunakan dalam PRU-14.

Mereka tidak memahami dinamik politik, dan asas-asas sokongan rakyat Malaysia kepada sesebuah parti politik. Kumpulan-kumpulan pengundi mempunyai keprihatinan unik masing-masing, dan ada parti yang tersilap membuat percaturan tentang keprihatinan ini.
Ada juga calon-calon parti yang bakal kalah kerana mereka terlalu percaya kepada jumlah kehadiran begitu ramai penonton dalam rapat-rapat umum tetapi kehadiran tersebut tidak diterjemahkan kepada undi dalam pilihan raya.

Ada yang yang nampaknya akan ketinggalan bas ke Parlimen dan DUN kerana tidak hidup dengan zaman komunikasi politik yang telah berubah apabila telefon pintar berada pada tangan sebahagian besar pengundi.
Akhirnya, semua yang kita perkatakan akan menjurus kepada takdir dan tragedi politik.

Ada orang telah ditakdirkan untuk terus berkuasa bagi melaksanakan dasar-dasar yang difikirkan bermanfaat untuk rakyat, ada calon yang bagaimana popular sekalipun akan ditemukan dengan takdir bahawa usaha dan komplot untuk merebut kuasa masih belum diperkenankan oleh pengundi.

Pemimpin dan parti yang bakal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri nanti akan bergembira bersama tanggungjawab yang amat berat perlu dipikulnya dalam masyarakat yang terpecah dua.
Kepada yang tewas, mereka perlu menerima hakikat bahawa itulah tragedi politik yang akan disaksikan pada 9 Mei 2018.