Massa ialah sebuah majalah berita nasional terbitan Kumpulan Utusan yang dilancarkan pada 16 September 1995. Pada tahun 2004 majalah berita itu telah pun berusia sembilan tahun. 

Sepanjang usianya yang tidak panjang, Massa dikenali sebagai sebuah penerbitan yang berkualiti dan memaparkan jurnalisme peringkat tinggi. Ia membicarakan isu-isu semasa dalam dan luar negara serta menyiarkan laporan-laporan khas dan rencana penyiasatan. 

Dalam kalangan pelajar dan pensyarah universiti, Massa menjadi majalah bacaan popular di Malaysia, Para penulis undangannya ketika itu merupakan kolumnis tersohor dan ada beberapa penulis muda yang menyumbang artikel tulisan mereka dalam Massa suatu ketika dulu hari ini telah menjadi profesor terkenal.

Ia dimulakan pada zaman Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan dipimpin oleh Tan Sri Johan Jaaffar, seorang penulis, wartawan dan tokoh media yang dilantik memimpin Utusan ketika beliau berusia 38 tahun. 

Penerbitan Massa mendapat restu istimewa Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan ketika itu, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin.

Pengarang Massa yang pertama ialah Datuk Dr. Chamil Wariya, seorang penulis prolifik yang mula bekerja dengan akhbar Utusan Malaysia pada zaman mudanya dan pernah berkhidmat dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC) di London, United Kingdom.
Antara tahun 1995 hingga 2004, wartawan Massa menerima banyak anugerah kewartawanan termasuk tiga kali memenangi Hadiah Kajai.

Selama hayatnya, Massa terperangkap dengan kemelut bisnes media iaitu kekurangan sokongan pengiklanan, prejudis budaya dan bahasa, kelemahan sistem pemasaran, dan pendapatan jualan yang rendah ekoran tempahan cetak (print order) yang kecil. Situasinya umpama menjala ikan, mana mungkin seorang nelayan kecil dapat ikan yang banyak kalau tidak diguna pukat yang besar.

Inilah yang terjadi kepada majalah Massa. Ia mengalami kerugian saban tahun. Putaran ganas ini tidak begitu difahami oleh pihak-pihak yang mementingkan untung rugi dan risiko bisnes sebagai kayu ukur kejayaan.

Editorial

Ketika saya bertemu Khalid pada bulan Mei kira-kira 14 tahun lalu, Khalid memberitahu saya mengenai keputusan syarikat untuk menutup majalah Massa atas faktor kekangan komersial yang disebutkan tadi dan memaklumkan pasukan editorial Massa akan dipindahkan ke sebuah akhbar baharu Kosmo! yang bakal diterbitkan Kumpulan Utusan.

Khalid telah bertindak menutup majalah Massa selepas diterbitkan selama 448 minggu tetapi pada zamannya juga beliau merintis jalan kepada kelahiran Kosmo! yang kemudian berkembang menjadi akhbar yang dihormati dan popular di Malaysia.

Beliau meminta saya mengumumkan penutupan majalah Massa kepada staf editorial dan pembaca. Nasihatnya ialah saya kena realistik. 

Saya dengan berat hati terpaksa melakukan apa yang diminta oleh Khalid.

Kumpulan pembaca yang membeli majalah Massa saban minggu kehilangan bahan bacaan mereka. Golongan cendekiawan, sasterawan, ahli akademik dan ahli politik merasakan Kumpulan Utusan tidak sepatutnya berbuat demikian iaitu membunuh sebuah penerbitan serius berbahasa Melayu yang serius.

Kosmo!, akhbar harian Melayu nombor satu di Malaysia sekarang, lahir sebahagiannya daripada sumbangan kumpulan bekas wartawan Massa, yang membina akhbar Kosmo! dengan konsep majalah dalam akhbar harian. Konsep majalah itu diterapkan dalam seksyen Kosmo2 sejak hari pertama Kosmo! diterbitkan pada 31 Ogos 2004.

Pengarang pertama Kosmo!, Hamzah Sidek bersetuju memperuntukkan separuh daripada halaman Kosmo! iaitu sebanyak 32 muka surat, untuk rencana-rencana human interest, isu semasa dalam negeri dan luar negara, kartun, gaya hidup dan hiburan.
Apa yang dihidangkan oleh Kosmo! melalui seksyen Kosmo2 diinspirasikan daripada majalah Massa yang berkubur.

Setelah kehilangan majalah Massa sejak 14 tahun lalu, di tanah air kita belum muncul sebuah majalah mingguan berbahasa Melayu yang dapat mengambil peranan Massa. 

Setelah berfikir semasak-masaknya dan sesudah berbincang dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Kosmo! mengambil keputusan seminggu lalu untuk memulakan sebuah penerbitan majalah berita dalam akhbar yang dinamakan Jurnal. 

Jurnal pada asalnya sebuah sisipan akhbar hari minggu Kosmo! Ahad yang kini akan dijenamakan semula untuk menemui pembaca dengan pendekatan majalah mingguan berita pada setiap hari Sabtu dalam Kosmo!. 

Pasukan yang terlibat dalam Jurnal ditunjangi oleh para pengarang dan wartawan berpengalaman. Jurnal juga menjemput beberapa kolumnis menyumbangkan karya mereka, termasuk Pengarang Massa yang pertama, Dr. Chamil Wariya yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia.

Dari segi reka bentuknya, Pengarah Kreatif Kumpulan Utusan, Azha Abu Bakar yang satu ketika dulu merupakan visualizer di majalah Massa turut membantu para petugas grafik di Jurnal memberikan sentuhan reka bentuk berasaskan sebuah majalah.

Buat permulaan Jurnal akan menemui pembaca Kosmo! dengan menawarkan 24 halaman meliputi ruangan-ruangan laporan khas, analisis berita, rencana politik dan isu-isu semasa tanah air, luar negara, foto esei, agama, kesihatan, ekonomi, teknologi, dunia intelektual, sejarah, budaya, hiburan dan wawancara.

Muka depan Jurnal yang pertama ialah laporan khas mengenai Mat Kelubi, seorang pejuang yang menentang penjajahan Inggeris di Pahang. 

Mat Kelubi terbunuh pada tahun 1894 di Jerantut, Pahang dalam pertempuran yang menyaksikan seorang pegawai Inggeris, E. A. Wise juga terkorban. Dalam pertempuran, kepala Mat Kelubi dipancung oleh askar upahan Inggeris dan badannya dibuang ke dalam Sungai Tembeling. 

Mat Kelubi dikuburkan tanpa kepala. Gambar pusaranya yang misteri di Jerantut dipaparkan di muka depan Jurnal minggu ini.

Pasukan editorial Kosmo! berharap dengan menampilkan Jurnal pada hari Sabtu setiap minggu, Kosmo! dapat mengisi vakum dalam dunia penerbitan yang mendambakan sebuah penerbitan majalah mingguan yang serius, segar, mendalam dan penuh idea.

Kosmo! mengimpikan Jurnal nanti dapat mencapai hasrat tagline penerbitan ini iaitu Mengangkat Minda, Membina Perspektif.

Jurnal disokong oleh kumpulan pengarang, wartawan dan petugas grafik akhbar Kosmo! seramai 180 orang.

Kami amat mengharapkan sokongan dan mengalu-alukan komen pembaca. Sila kirim pandangan anda ke e-mel [email protected] Penambahbaikan sentiasa menjadi fokus Kosmo! dan kami berjanji akan melaksanakannya dari minggu ke minggu selama hayat Jurnal. 

Selamat membaca kepada semua. Terima kasih.