Kata kumpulan itu, rakyat sudah memilih mereka sebagai wakil sah melalui Pilihan Raya Umum pertama (PRU-1) pada 9 Ogos 1959. Seharusnya mereka ada hak untuk duduk bersidang dan membahaskan isu bersama Yang Berhormat yang lain. Jadi mengapa mereka dihalang? Jawapannya adalah mereka pada hemat polis mengenakan pakaian yang kurang sesuai untuk memasuki Parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang negara.

Setelah menukar pakaian kepada sut lengkap bertali leher, barulah mereka dibenarkan masuk. Ironinya, pada hari Parlimen pertama kali bersidang selepas merdeka itu, tiada peraturan pemakaian ditulis secara rasmi sebagai panduan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat.

Lantaran itu, sebaik sahaja Tan Sri Mohamed Noah Omar rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada hari tersebut, beliau segera menetapkan peraturan agar ahli dewan memakai baju kebangsaan atau sut lengkap jika bermesyuarat di Parlimen seperti yang masih berkuat kuasa sehingga kini. Itulah antara insiden menarik yang digambarkan oleh Mohamed Noah dalam bukunya bertajuk Tuan Speaker, Tuan mengenai suasana pada pagi Persidangan Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu.

Ketika sidang Parlimen ke-14 negara bakal berlangsung Isnin ini dengan tampuk pemerintahan baharu, begitulah imbasan keadaan yang berlaku pada sidang Parlimen pertama negara ketika kerajaan baru sahaja terbentuk.

Bagaikan lumrah bagi suatu perkara baharu, kekecohan bahkan berlaku ketika bangunan Parlimen belum pun wujud. Lebih daripada sekadar isu pakaian, sidang pertama Parlimen itu juga telah mencipta landskap baharu dalam sistem legislatif negara. Hari Jumaat tepat pukul 10 pagi itu, buat pertama kalinya, struktur Parlimen dengan tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat dipraktikkan di Tanah Melayu.

Diinspirasikan daripada Parlimen Westminster, konsep baharu itu dipersetujui diamalkan di Tanah Melayu bermula 31 Ogos 1957 bagi menggantikan Dewan Perundangan Persekutuan yang wujud sejak Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pada 1 Februari 1948.

Kejayaan

Lebih bermakna, sidang Parlimen pertama itu juga bukti kejayaan perjuangan rakyat dan pemerintah dalam merealisasikan sebuah kerajaan demokrasi berparlimen yang sebenar.

Terdahulu, rakyat yang pertama kali merasa nikmat demokrasi pada tahun 1955 melalui Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan masih lagi berada di bawah pentadbiran British.

Sehingga PRU-1 berlangsung kira-kira dua tahun selepas kemerdekaan negara, barulah kuasa mutlak rakyat dalam memilih kerajaan atau lebih tepat Dewan Rakyat berjaya direalisasikan.

Parti Perikatan diberi mandat sebagai kerajaan setelah memenangi 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan pada PRU-1. Berikutan kemenangan besar tersebut, Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala ketua pembangkang ialah Datuk Onn Jaafar daripada Parti Negara.

Menyorot catatan dalam Laporan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 1959, persidangan Dewan Rakyat kali pertama berjalan serentak dengan Dewan Negara. Ia dimulakan dengan pelantikan Yang Dipertua bagi kedua-dua dewan tersebut.

Ia kemudian diikuti majlis angkat sumpah oleh 38 ahli Dewan Negara dan 104 ahli Dewan Rakyat. Persidangan Parlimen tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Mohamed.

Seperti yang diceritakan Mohamed Noah, sepanjang perbahasan telah berlaku banyak perbalahan antara kerajaan dan pembangkang dengan masing-masing gemar meninggikan suara dalam mempertahankan hujah.

Menurutnya, ahli Parlimen pada waktu itu mungkin tidak terbiasa dengan peraturan tertentu dalam berucap. Namun, perkara itu dapat diatasi dengan masing-masing semakin memahami Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari seterusnya.

Antara usul yang menarik perhatian termasuklah cadangan Tunku Abdul Rahman untuk diwujudkan sebuah institusi khas bagi menjalankan peranan Parlimen. Lantaran itu, hari ini, berdiri bangunan Parlimen setinggi 17 tingkat berdekatan Taman Botani Perdana (dahulu dikenali Taman Tasik Perdana), Kuala Lumpur. Majlis pecah tanah pembinaan bangunan itu berlaku pada Disember 1959 iaitu tiga bulan selepas sidang Parlimen pertama tersebut.

Hakikatnya semenjak kemerdekaan negara, rakyat Malaysia telah memilih sebanyak 14 kali ahli Dewan Rakyat. Sepanjang proses itu, berlaku pelbagai perubahan termasuk penambahan bilangan ahli Dewan Negara daripada 38 kepada 70 orang, dan ahli Dewan Rakyat daripada 104 kepada 222 orang sekarang.

Begitupun, harus diingat bahawa kekuatan dewan perundangan tidak terletak pada bilangan ahli, struktur bangunan mahupun dekorasi. Sebaliknya, kualiti perbahasan, kematangan dan sikap profesional adalah faktor yang akan menentukan tahap penghormatan terhadap Parlimen.

Jika Parlimen yang bersidang buat kali pertama mampu membuat garisan dari segi etika, merangka undang-undang besar dan membuat keputusan terbaik pada 59 tahun yang lalu, diharap kalangan ahli Dewan kali ini yang pastinya mempunyai taraf literasi yang lebih tinggi dan kelengkapan yang kondusif mampu menjaga kredibiliti dewan ketika bersidang.