Dia juga seorang peramah apabila bercerita tentang betapa dia teruja untuk bekerja di Malaysia. Ditambah lagi dia mempunyai saudara di Kelantan dan kenalan di Kuala Lumpur. Masakannya juga sedap dan kena dengan tekak orang Melayu.

Pengalaman itu kemudian mengheret saya menghadam catatan lalu mengenai sejarah panjang Selatan Thai yang pernah disifatkan sebagai ‘wilayah Melayu yang hilang’. Pemisahan rantau Melayu dikatakan bermula pada tahun 1909 kesan daripada Perjanjian Bangkok 1909 yang ditandatangani antara British dan Thailand.

Kesannya, Negeri-Negeri Melayu Utara iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menjadi naungan British manakala Satun, Trang, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla kekal menjadi sebahagian daripada wilayah Siam meskipun majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama Islam.

Sejarah awal

Sebelum perjanjian yang hanya menguntungkan British dan Siam itu, banyak ketamadunan Melayu telah wujud. Negeri Kedah yang ada pada hari ini, misalnya, merupakan tinggalan wilayah Kerajaan Melayu yang terbentang luas bermula di kawasan Utara Semenanjung yang meliputi wilayah-wilayah Selatan Thai. Wilayah Satun dahulu pernah berada di bawah pengaruh Kedah sehingga tahun 1813.

Berdasarkan catatan sahih, Kerajaan Langkasuka adalah kerajaan Melayu terawal muncul (pada kurun ketiga) di Semenanjung Melayu. Kemudian, pada kurun ketujuh, Srivijaya dengan wilayahnya merangkumi Semenanjung Malaysia, Selatan Thai, Sumatera dan sebahagian pulau Borneo telah memperkukuhkan lagi kedudukan rantau Melayu.

Selepas berkuasa selama lima abad lamanya, kerajaan Majapahit yang dikatakan jauh lebih perkasa telah menguasai kawasan milik Srivijaya. Sayangnya, selepas berabad lamanya orang Melayu Nusantara menguasai rantau Kepulauan Melayu, akhirnya kekuasaan itu terhakis dengan kedatangan Barat.

Meskipun berlaku transisi yang tidak diingini, sejarah menunjukkan orang Melayu di Selatan Thai dan Malaysia telah membina peradaban yang tinggi dan semangat itu terus marak sehingga kini.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, penduduk Selatan Thai mempunyai hubungan yang lebih akrab dengan Malaysia berbanding dengan Bangkok. Lihat sahaja, betapa fasihnya penduduk di sana terutama di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani berbahasa Melayu.

Masyarakat Siam juga mudah ditemui di Kedah, Perlis dan Kelantan. Golongan ini dikatakan sudah ada di negeri-negeri tersebut sebelum tahun 1909 lagi. Jadi tidak hairanlah, di Kedah, wujud beberapa nama tempat menggunakan bahasa Siam seperti Kodiang, Changlun dan Jitra.

Beberapa buah perkampungan Siam juga telah lama dibangunkan di kawasan luar bandar di Kelantan sejak lebih 100 tahun lalu. Meskipun ada yang menganuti agama Buddha, budaya dan adat resam seperti perkahwinan, kesenian dan cara hidup seperti memakai kain sarung dan pelikat terus dipraktikkan.

Makanan ala Thai juga sangat sinonim dengan orang kita. Hidangan yang mempunyai rasa masam, masin dan pedas seperti tom yam, gulai ayam Siam dan ayam pandan sangat diminati. Tukang masak di negara ini juga rata-ratanya menggunakan khidmat orang Selatan Thai.

Selain itu, alatan muzik, nyanyian waima tarian banyak dipengaruhi budaya Siam. Sebagai contoh, pertunjukan wayang kulit, Tok Selampit dan Awang Belanga.

Berdasarkan jurnal tulisan Mohamed Yusoff Ismail yang bertajuk Pengaruh Siam dan Buddha Terhadap Kepercayaan Tradisional Orang Melayu Kelantan, pertembungan budaya yang berlaku turut mempengaruhi kelompok Melayu mendapatkan bantuan perubatan tradisional daripada sami Buddha terutama melibatkan hal berbentuk mistik.

Di sebalik keharmonian budaya, Selatan Thai sebenarnya masih berduka. Bayangkan dari tahun 1879 sehingga kini, Selatan Thai tidak pernah aman tenteram.

Ia bermula dengan kisah pemberontakan di Kampung Dusun Nyior yang terletak di Range, Narathiwat (April 1948); kejadian ulama Patani, Haji Sulong yang ditemui mati di pantai Songkhla (13 Ogos 1954); tragedi berdarah kematian guru-guru dan para pelajar pondok di Masjid Kerisek di Pattani (2004) hingga konflik di Tak Bai.

Mendominasi

Walaupun tampuk pemerintahan silih berganti, namun pertelingkahan antara Bangkok dengan puak pemisah yang cuba mendominasi kuasa autonomi daripada pihak kerajaan masih berterusan dan menjadi isu hangat di mata antarabangsa.

Dunia melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam termasuk ASEAN hadir untuk membantu. Daripada saluran berbentuk nasihat, bimbingan hinggalah dari aspek material, namun hasilnya kurang memberangsangkan.

Malaysia yang mempunyai reputasi sebuah model negara Islam dan negara jiran telah memainkan peranan penting dalam menyumbang usaha ke arah pendamaian. Pada 26 dan 27 Januari 2006, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadi orang tengah dalam Rundingan Damai Langkawi di Konsulat Diraja Thai Langkawi di Pusat Peranginan Tok Senik.

Rundingan itu berlangsung antara kerajaan Thailand yang diwakili oleh Pengarah Agensi Perisikan Thai dengan puak pemisah yang diwakili Bersatu (gabungan Barisan Revolusi Kebangsaan, Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu, Barisan Pembebasan Islam Patani dan Gerakan Mujahideen Islam Patani). Ia berlaku ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri Thai, Jeneral Surayud Chulanont.

Namun setelah berlakunya rampasan kuasa oleh Thaksin Shinawatra, Rundingan Damai Langkawi terjejas.

Kerjasama lain yang cuba dibuat adalah dengan inisiatif membentuk Task Force pada Januari 2007. Program itu bermatlamat memberi pendidikan kepada komuniti Melayu Islam di Selatan Thai supaya mencintai dan mengekalkan keamanan. Antara yang sempat dijalankan ialah Program Latihan Kemahiran Giat Mara.

Pada 31 Ogos 2008 pula, kerajaan Malaysia memperkenalkan Program Latihan Pembantu Jururawat di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak dengan melatih 40 belia di sana.

Bagi pelajar-pelajar miskin yang belajar di Malaysia, mereka telah dibantu melalui penubuhan Yayasan Sutera.

Sesungguhnya, untuk melihat wilayah sempadan kita yang dilanda kemusnahan bukan satu hal yang mudah. Keakraban Malaysia dan Selatan Thai ibarat isi dengan kuku terutama mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Sudah pasti, sukar untuk kita melihat saudara seagama kita ditindas dan ditembak dengan kejam.

Isu puak pemisah termasuk jenayah merentas sempadan seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan juga tidak boleh dibiarkan berterusan kerana boleh membawa malapetaka yang besar terhadap keselamatan negara kita.