Sebelum penjajahan British, negeri-negeri Melayu sudah memiliki sistem perundangan yang tersendiri berasaskan undang-undang adat dan Islam. Oleh yang demikian, sejarah perkembangan undang-undang tanah di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pemakaian undang-undang Islam dan adat dan fasa pemakaian undang-undang Inggeris.

Di Malaysia, setiap kaum mempunyai latar belakang kepercayaan dan kebudayaan yang berbeza, berkongsi mendiami sebuah negara dan menjadi rakyatnya. Kepelbagaian budaya dan agama masyarakat Malaysia telah menobatkan negara kita sebagai sebuah negara yang sangat unik. Dalam meraikan kepelbagaian tersebut, masyarakat Malaysia pada kebiasaannya menyambut baik perkongsian adat yang mereka percaya mampu memberikan faedah walaupun diadaptasi daripada adat dan agama kaum lain.

Dalam usaha mengatur kehidupan sosial, ekonomi dan politik yang lebih mantap, toleransi adat antara kaum yang ditunjukkan adalah sangat membanggakan. Salah satu adat Melayu yang diamalkan sejak sekian lama dan bersumberkan agama Islam bagi tujuan pengurusan harta yang telah diterima semua masyarakat Malaysia iaitu gift inter vivos. Ia merupakan cara pengurusan harta di Malaysia yang diamalkan oleh semua kaum walaupun berlainan agama.

Setiap warganegara Malaysia tidak kira penganut agama dan adat apa sekalipun sewajarnya menjadikan agama dan adat masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakannya sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan.

Ini adalah sejajar dengan lima objektif Rukun Negara iaitu untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.

Prinsip kesederhanaan

Global Movements of Moderates Foundation (GMMF) telah berpeluang menjadikan prinsip kesederhanaan diadaptasi di peringkat global apabila Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu telah menerima pendekatan kesederhanaan baru baru ini. GMMF juga telah memperkenalkan tujuh inisiatif terhadap pendekatan kesederhanaan yang secara holistiknya adalah satu usaha inovatif yang berpotensi sebagai kayu ukur kepada nilai sejagat. Inisiatif tersebut adalah Rule of law and governance, peaceful coexistence, education, sustainable development, conflict resolution, preventing and countering violent extremism dan Islamophobia.

Surah al-Baqarah, ayat: 143 yang bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus). Kami jadikan kamu (Wahai Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil.” Untuk memudahkan pemahaman tafsir Pimpinan al-Rahman menghuraikan maksud “Ummatan Wasata” memberi erti umat yang pertengahan iaitu pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaannya iaitu segala-galanya berkeadaan di tengah-tengah sama-sama dipandang, dipelajari dan diusahakan meliputi soal-soal dunia dan akhirat.

Tafsir al-Manar merujuk kesederhanaan iaitu keadilan dan pilihan, iaitu pertengahan di antara dua keadaan dengan melihat kepada dua pihak (tiada diskriminasi), bukan daripada golongan ekstrem dalam agama. Pandangan ulama, Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir telah menghuraikan maksud wasata iaitu adil dan berada di tengah-tengah dalam semua perkara dan tidak keterlaluan dalam perkara keduniaan dan akhirat, tidak pula melampau dalam urusan agama, tidak juga lalai dalam melaksanakan kewajipan, tidak terlalu kebendaan, dan terlalu memberatkan kerohanian; bahkan menghimpunkan kedua-dua urusan tersebut; ada hak bagi jasad dan hak bagi kerohanian dan tidak mengabaikan mana satu di antaranya iaitu berjalan selari dengan fitrah manusia iaitu roh dan jasad.

Jika dirujuk kepada al-Quran, jelas menuntut manusia sentiasa ia mematuhi prinsip keadilan dalam semua perkara dan tidak terhad hanya kepada sesama manusia malah terhadap musuh. Maka, apabila proses ijtihad itu dilakukan dalam mengeluarkan sesuatu hukum, pendekatan kesederhanaan amat wajar dalam bidang siasah, hukum dan pentadbiran.

Metodologi Imam Shafie

Imam Shafie juga memperlihatkan metodologi beliau apabila berijtihad.Beliau menyatakan: “Pendapat aku betul dan boleh jadi juga salah. Dan pendapat orang lain salah dan boleh jadi juga betul.” Menurutnya, orang yang berilmu tidak taasub dengan pendapatnya dan tidak pula jumud terhadap pendapat orang lain. Ini kerana taasub dan jumud itu hanya berlaku pada orang yang jahil, cuai atau pelupa dan cetek ilmunya.

Formula permuafakatan dalam membentuk kesepaduan sosial yang telah dipakai dan diserap masuk melalui undang-undang telah berjaya menyatupadukan semua kaum di Malaysia. Undang-undang itu seterusnya ternyata berjaya membawa semua kaum di Malaysia supaya menghormati setiap hak yang telah ditetapkan. Sesungguhnya elemen-elemen kesepaduan sosial yang terdapat dalam perundangan di Malaysia tanpa syak lagi adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran negara dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan hak keistimewaan yang telah diberikan kepada kaum yang lain.

Kedudukan istimewa Islam dalam negara ini juga dizahirkan dengan adanya peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan Persekutuan.

Fakta yang tidak dapat disangkal adalah dasar dan undang-undang mengenai hal ehwal Islam khususnya perkara-perkara dalam Butiran 1 dan lain-lain perkara bersangkutan dengan agama Islam adalah kuasa prerogatif Sultan/Raja/Yang 
di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama menurut Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga dengan Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) Negeri yang menetapkan Majlis Agama Islam Negeri sebagai pihak berkuasa agama yang utama selepas Sultan/Raja/Yang di-Pertuan Agong. Maka Kerajaan Negeri perlu merundingi institusi-institusi Agama di Negeri sebelum mengemukakan sebarang dasar atau rang undang-undang berkaitan perkara-perkara dalam butiran 1 atau yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Martabat Islam telah didaulatkan sebagai agama negara bukan idea omongan malah hasil daripada fakta sejarah bahawa Islam telah pun menjadi undang-undang Tanah Melayu sebelum kemerdekaan sejak 1,000 tahun yang lalu dan tasamuh – tolak ansur para Sultan dan Raja Melayu serta kepimpinan perdana menteri pada ketika 1957 untuk membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan harmoni.