Kejatuhan itu juga sekali gus menyaksikan berlakunya peralihan kuasa kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Wartawan Jurnal mendapatkan pandangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagi mengetahui mengenai hala tuju BN dan UMNO dalam arena politik tanah air selepas kekalahannya.

Jurnal: Sebelum ini Datuk ada mengatakan, pengundi muda mempengaruhi kekalahan BN kerana kebencian yang ditanamkan oleh PH untuk menjatuhkan BN berjaya mencorakkan pola pemikiran mereka. Boleh Datuk jelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut dan bagaimanakah BN mahu menawan kembali hati anak muda?

ASYRAF WAJDI: Sentimen yang dicorakkan daripada pelbagai medium termasuk media sosial cukup berkesan dalam menanam kebencian terhadap kepimpinan lama BN dan PH menjanjikan sesuatu yang dekat di hati rakyat serta amat menarik perasaan orang muda.

Sekiranya kita tidak memikirkan kesan jangka masa panjang, kita akan melihat janji-janji PH adalah menepati aspirasi rakyat, contohnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang selalu dimomokkan sebagai penyebab kepada peningkatan kos sara hidup.

Janji PH itu berjaya menangkap imaginasi rakyat kerana kita rasa terkesan dengan GST tanpa melihat secara holistik adakah sistem percukaian itu benar-benar menekan atau sebaliknya.

BN khususnya UMNO perlu melakukan muhasabah dalaman dan mahu atau tidak kita kena akui terdapat isu dari segi jati diri dan asas-asas perjuangan yang perlu kita kembalikan.

Tanggapan bahawa UMNO terlalu sombong dan angkuh dengan hanya memikirkan kepentingan diri untuk mencari kekayaan sudah terpahat dalam pemikiran generasi muda. Sedangkan parti ini sepatutnya menjadi wadah memperjuangkan Islam dan Melayu.

Bagaimanapun, harapan terhadap UMNO masih kuat kalau tidak, UMNO tidak akan memenangi 54 kerusi Parlimen berbanding Pas hanya 18 dan PKR dengan 49 kerusi.

Peranan UMNO masih lagi penting dan untuk tempoh lima tahun akan datang semuanya bergantung kepada bagaimana kita memainkan peranan bagi memastikan suara rakyat didengari dalam memastikan Islam itu sentiasa terpelihara selain menjadi check and balance kepada kerajaan sedia ada.

Pada pandangan Datuk, mampukah BN dan UMNO bangkit semula selepas tewas teruk dalam PRU-14?

ASYRAF WAJDI: Kekalahan itu bukan bermakna terhentinya perjuangan sebaliknya Allah memberikan ujian sebagai satu isyarat kepada UMNO untuk kembali bangkit.

Prasyarat untuk kembali bangkit adalah dengan melakukan reformasi dalaman dan berubah.

Lihat dalam diri sendiri dan tidak menuding jari mencari kesalahan orang lain kerana kita boleh mencari seribu satu alasan untuk menidakkan kelemahan kita tetapi hakikatnya adalah bermula daripada diri kita sendiri.

UMNO terleka selepas 61 tahun kita berkuasa dan 72 tahun ditubuhkan, namun kita tidak boleh menafikan peranan UMNO dalam menerajui negara.

Kerajaan hari ini mewarisi negara yang kuat bukannya negara bankrap kerana Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengakui bahawa ekonomi negara pada keadaan yang kukuh. Ia bukan datang seminggu selepas peralihan kuasa kerana sudah tentunya asas-asas ini sudah dibina oleh kerajaan lepas.

Selepas keputusan PRU-14 diumumkan terdapat sebilangan ahli BN yang dilihat lompat parti untuk bersama PH, apakah pandangan Datuk terhadap mereka?

ASYRAF WAJDI: Kita mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Itu adalah hak mereka, cuma jangan ingat mereka akan diberi permaidani merah oleh puak sebelah sana.

Sebenarnya tindakan mereka ini memberi kelebihan kepada parti. Ini kerana kita akan dapat melihat mereka yang berjiwa besar dan tiada kepentingan sahaja akan tinggal bersama UMNO.

Bagi UMNO, mungkin ini juga adalah sebahagian proses penyaringan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar ikhlas dan setia kepada idealisme perjuangan tanpa sebarang kepentingan pangkat mahupun kebendaan akan kekal dalam wadah ini.

Tampuk pimpinan kerajaan bertukar tangan, apakah harapan dan jangkaan Datuk terhadap kepimpinan baharu ini?

ASYRAF WAJDI: Saya harap era Mahathirism 2.0 ini dapat membawa perubahan yang lebih baik dan mengutamakan kepentingan negara.

Tunaikan segala janji dan harapan yang telah diberikan kepada rakyat.
Jangan habiskan masa dengan memberi fokus kepada politik dendam dengan mencari kesalahan orang lain kerana ia tidak memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak sebaliknya mencetuskan satu fenomena politik tiada berkesudahan.

Bagi memastikan proses peralihan kuasa ini berjalan dengan lancar, Kabinet perlu segera dibentuk agar pentadbiran kerajaan tidak terlihat tergantung dan teruskan usaha memajukan negara dengan segala asas yang sudah terbina kukuh.

Secara peribadi, apakah perancangan Datuk selepas ini, adakah akan meneruskan perjuangan bersama UMNO bagi memastikan UMNO bangkit kembali?

ASYRAF WAJDI: Sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya bertanggungjawab untuk membina semula UMNO dan ini adalah saat yang terbaik untuk kita kembalikan UMNO kepada asas perjuangan yang sejati. Islam dan orang Melayu yang menjadi asas kepada perjuangan parti perlu diperjuangkan kerana kita tidak boleh mengharapkan parti lain kerana itu bukan asas perjuangan mereka.

Kita masih ada peranan dan nawaitu kita kena jelas untuk menentukan hala tuju UMNO. Sekiranya nawaitu kita hanya mencari kebendaan, kebendaan sudah tiada.

Kalau kerana pangkat, pangkat sudah tiada. Ini adalah saat terbaik dan mereka yang ikhlas, sabar serta kuat keazamannya untuk mempertahankan Islam, bangsa serta memastikan kesejahteraan rakyat di negara ini akan kekal dalam wadah ini.