Dalam perhimpunan itu Najib memalu gendang perang menyiapkan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang disifatkannya sebagai ‘Bapa Segala Pilihan Raya’.

Sejak lima bulan lalu, beliau percaya UMNO dan BN tidak mungkin dikalahkan.

Bagaimanapun, keputusan PRU-14 pada 9 Mei 2018 menunjukkan bahawa harapan Najib itu hanya tinggal angan-angan.

Tsunami rakyat melanda Malaysia dalam PRU-14. Tokoh-tokoh politik UMNO jatuh satu-persatu di seluruh negara dalam pertembungan tiga penjuru dengan pakatan pembangkang yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Pukulan teruk
BN kehilangan Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Sabah selain menerima pukulan teruk di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

BN tidak dapat mendirikan kerajaan negeri di Perak dan Sabah atas kekuatan sendiri, sebaliknya bergantung kepada sokongan kecil lain untuk mewujudkan kerajaan campuran dengan majoriti mudah.

Dua negeri yang dikuasai oleh UMNO di Semenanjung cuma Pahang dan Perlis.

Apakah yang terjadi dalam kempen-kempen PRU-14 sehingga merencatkan visi berkuasa selama 1,000 tahun yang dilafazkan Najib pada Perhimpunan Agung UMNO 2017?

Sepanjang lima tahun lepas, setelah menang dengan hanya 133 kerusi pada PRU-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013, UMNO dan BN dipenuhi dengan sindrom penafian.

Selepas PRU-13 berakhir, di sebalik tanda-tanda gelombang tsunami lebih besar mungkin berlaku, politik diuruskan seperti biasa oleh UMNO dan BN.

Terdapat banyak masalah dalam parti itu, antaranya ada yang melibatkan dakwaan terhadap diri Najib sendiri berhubung isu 1MDB, tetapi parti yang dikawal oleh hulubalang-hulubalang politik di bahagian-bahagian dan Majlis Tertinggi UMNO menempelak tuduhan-tuduhan tersebut.

Ketika banyak rakyat menjerit kerana kos sara hidup meningkat, “harga barang naik sejak dari zaman nabi lagi”, kata seorang menteri dalam kabinet Najib. Malah berita-berita mengenai kenaikan harga barang “disembunyikan di bawah hamparan permaidani”.

Cukai GST enam peratus ke atas barang dan perkhidmatan yang dilaksanakan sejak 2014 ternyata menjadi minyak petrol yang dicurahkan dalam api kemarahan rakyat, tetapi kerajaan tetap mengharapkan rakyat memahaminya.

Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan Najib menggunakan saluran dalaman UMNO, beliau bersama Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir dinafikan hak mereka untuk mengkritik. Mahathir keluar UMNO pada tahun 2016 manakala Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz dipecat.

Apabila mereka membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bergabung dengan parti-parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP untuk “menjatuhkan Najib”, usaha itu disukarkan dengan halangan-halangan pentadbiran melalui Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Laluan yang dirintis oleh Mahathir yang berjaya menyatukan pakatan pembangkang untuk menghadapi BN yang disokong oleh jentera kerajaan adalah perjuangan politik yang mencipta sejarah.

Analisis terhadap keputusan PRU-14 boleh ditulis berbuku-buku, tetapi Tun Mahathir adalah orang yang patut diberi kredit sebagai tokoh yang bertanggungjawab menenggelamkan BN dalam tsunami rakyat pada 9 Mei 2018.

Beliau dipercayai oleh sebahagian besar daripada 14.9 juta pengundi, terutama golongan muda dan pengundi Melayu di luar bandar. Dengan pengalamannya mentadbir Malaysia selama 22 tahun, Mahathir dilihat sebagai tokoh yang boleh menyelamatkan Malaysia.

Mahathir tidak mempunyai akses kepada liputan media yang adil tetapi beliau adalah simbol keyakinan pembangkang melalui perang siber dalam Facebook dan YouTube.

Sewaktu Muhyiddin turun berkempen di sesebuah tempat, kadangkala ada 300 orang menunggunya, namun kehadiran Mahathir berjaya menarik sehingga 10,000 orang datang mendengar ucapan-ucapan para pemimpin Pakatan Harapan.

Ucapan
Malah pada malam menjelang hari pengundian, Mahathir dan Najib mengadakan ucapan secara langsung serentak dalam Facebook. Ucapan Najib dari Pekan, Pahang hanya dapat menarik 1.1 juta tontonan keseluruhan, sedangkan ucapan Mahathir menarik 3.1 juta tontonan dalam Facebook.

Mahathir cuma bercakap menaikkan semangat penyokongnya, manakala Najib menjanjikan cuti dua hari pada 14 dan 15 April, pengecualian cukai pendapatan bagi anak muda bawah usia 26 tahun dan pengecualian bayaran tol di lebuh raya bertol selama lima hari semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Banyak pihak merasakan transactional politics yang ditawarkan oleh Najib pada malam itu menjadi antara punca kekalahan BN pada keesokan harinya, 9 Mei 2018 selain fakta bahawa banyak pengundi Cina berasa ragu-ragu dan terancam dengan usaha UMNO untuk terus berkuasa menggunakan strategi Pas sebagai kingmaker.

Janji untuk mengecualikan anak-anak muda di bawah usia 26 tahun daripada membayar cukai pendapatan dianggap satu cadangan yang paling tidak masuk akal daripada Najib dan BN. Di Malaysia, orang yang bergaji di bawah RM3,100 tidak perlu membayar cukai.

Impak cadangan Najib itu menusuk ke minda banyak pengundi yang berasa marah dengan dengan umpan transactional politics. Para pengundi mempersoalkan berapa ramai anak muda berusia 26 tahun menikmati gaji RM3,100 sebulan, dan oleh kerana ia diungkapkan hanya beberapa jam sebelum orang mengundi, kesilapan tersebut tidak dapat lagi dibaiki.

Ia diburukkan dengan kempen menjatuhkan Najib daripada tokoh veteran UMNO seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim, tiga orang bekas menteri Kabinet yang dihormati. Kempen mereka memberi justifikasi kepada usaha Mahathir.

Dari Perlis ke Johor, hingga ke Kelantan dan sampai ke Sabah dan Sarawak, sebahagian besar 14.9 juta rakyat mengundi dengan kemarahan dan dengan pendirian ‘Asalkan Bukan BN’. Lalu keputusannya menjadi seperti pada 9 Mei 2018 – hari apabila idea kononnya UMNO dan BN dapat bertahan selama 1,000 tahun tersungkur di kaki Tun Mahathir yang kini dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Rakyat Malaysia memberi kepercayaan kepada Mahathir kerana mereka meyakini kepimpinan beliau walaupun beliau telah berusia 92 tahun.

Masa akan menentukan adakah UMNO dan BN dapat bangkit semula sebagai sebuah gerakan politik yang dapat dipercayai rakyat.

Membina semula keyakinan menjadi cabaran terbesar UMNO dan BN yang tewas. Najib tidak lagi dapat menyelamatkan UMNO. Impiannya untuk melihat UMNO kekal berkuasa 1,000 tahun kini menjadi ungkapan yang akan hanya diingati dalam buku sejarah politik. Malaysia.