Kerap kali media arus perdana sebelum ini memainkan sentimen dengan menyebut bahawa PH adalah gabungan rapuh yang dimonopoli ikon DAP, Lim Kit Siang didakwa bakal mengurangkan syiar Islam sekiranya mereka memerintah negara.

Malah, kedudukan istimewa agama Islam didakwa tidak disenangi oleh PH dan rakan-rakan mereka. Bersandarkan fahaman pluralisme agama, mereka dikatakan mahu menyamaratakan semua agama dan tidak meletakkan Islam sebagai agama negara.

Di Selangor, PH telah menunjukkan sikap mereka terhadap kedudukan agama Islam apabila mempertikaikan kepentingan umat Islam dan secara terbuka mempamerkan aksi mereka dalam pesta arak untuk mengejek orang Islam yang menentang acara itu.

Perjanjian

Tuduhan dan permainan perang psikologi terus dimainkan sehingga dibawa bukan hanya oleh media tertentu malah menjadi dialog yang berulang-ulang dalam ucapan pemimpin tertentu demi menanam rasa takut, benci dan marah pengundi Melayu.

Memang tidak dinafikan sekiranya kita melihat balik berdasarkan keputusan PRU baru-baru ini di peringkat parlimen, nisbah jumlah anggota Dewan Rakyat yang Melayu/Islam dengan bukan Melayu/Islam ialah 58:66. Secara kasar perbezaan sebanyak 12 kerusi dilihat seolah-olah angka yang sangat kritikal dan menakutkan.

Jika difikirkan secara matematik semata-mata, angka itu boleh ditafsirkan bermacam-macam. Ahli parlimen berbangsa Melayu/Islam kini dilihat ramai berada dalam kotak pembangkang.

Difahamkan, PH yang dianggotai oleh empat parti besar dalam negara terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP telah pun menandatangani satu dokumen perjanjian PH yang meletakkan syarat-syarat penting yang menjamin kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pada akhir tahun 2016.

Perjanjian atau dokumen bertulis itu telah menyatakan dengan jelas iaitu memelihara dan mempertahankan kedudukan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu, memelihara bahasa Melayu serta menjamin hak keistimewaan bumiputera seperti termaktub di dalam perlembagaan negara.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, apa yang penting ketika ini adalah jangan memperbesar dan menyebarkan segala spekulasi buruk kerana kerajaan Persekutuan baru sahaja diumum dan dibentuk.

Jelasnya, paling penting adalah isu mengenai perpecahan ummah yang berlaku sebelum ini perlu diperbetul dan diselesaikan terlebih dahulu dan perkara ini perlu dijadikan sebagai agenda utama kerajaan persekutuan.

“Dalam keadaan kita sibuk dalam politik pembangunan dan sebagainya, soal pembangunan ummah ini jangan diabai, saya berharap dan minta agar Tun Mahathir serta pemimpin baharu melihat perkara ini.

“Di pihak MDN sendiri kami juga berhasrat untuk membantu kerajaan bagi menangani dan selesaikan masalah ummah sama ada dalam bidang akidah dan keagaaman mahupun politik. Namun dari segi dari segi politik mungkin orang politik lebih faham,” jelasnya ketika dihubungi Jurnal.

Tambah Mahmood Zuhdi, ketika ini sokongan pemerintah amat diperlukan bagi menangani masalah-masalah agama yang sedang berlaku sehingga menimbulkan perpecahan ummah sehingga merugikan negara sendiri.