Apabila Parlimen ke-15 memulakan persidangan penggal pertama minggu depan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan secara tergesa-gesa oleh kerajaan terdahulu, dan dianggap sebagai satu sekatan yang tidak diperlukan terhadap kebebasan kewartawanan akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat untuk dimansuhkan. 

Akta tersebut sebenarnya dibantah keras oleh pengamal media sebelum ia dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat, Dewan Negara dan diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, sebelum Parlimen ke-13 dibubarkan, tetapi bantahan-bantahan yang dizahirkan tidak dipedulikan.   Selain pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar, kerajaan Pakatan Harapan juga sudah mengumumkan untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digunakan untuk mengawal semua jenis penerbitan sama ada yang dicetak di dalam negeri atau diimport.

Beberapa kerangka undang-undang yang ada kaitan dengan profesion kewartawanan, juga dijangka disemak semula, kalaupun tidak dimansuhkan sama sekali. Ini termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1986, Akta Fitnah 1957, Akta Hak Cipta 1987 dan beberapa peruntukan jenayah Kanun Keseksaan yang menyentuh kebebasan bersuara dan boleh digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengganggu tugas kewartawanan.

Di samping memansuhkan undang-undang media yang dianggap lapuk dalam zaman internet sekarang, kerajaan juga merancang untuk menubuhkan sebuah majlis media yang memberi industri media dan kewartawanan kuasa mengawal selia kegiatannya secara kendiri. Gagasan untuk mewujudkan mekanisme kawal selia kendiri media di negara ini pertama kali dizahirkan pada 17 September 1974 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, tetapi gagal dilaksanakan kerajaan terdahulu. 


Prospek

Kali ini, prospek untuk majlis media menjadi kenyataan pasca PRU-14 adalah lebih cerah memandangkan penubuhannya merupakan janji yang dinyatakan dalam manifesto gabungan parti pembangkang semasa PRU-14 pada 9 Mei 2018 lalu.

Dan jika kerajaan PH serius untuk mewujudkan iklim media yang benar-benar bebas di bawah Malaysia Baharu yang sedang dalam pembikinan, ia wajar menimbang untuk memperkenalkan kerangka perundangan baharu yang tidak pernah ada di negara ini. Dalam konteks ini, sekurang-kurangnya ada dua undang-undang yang boleh segera diperkenalkan iaitu Freedom of Information Act (FoI) atau Akta Kebebasan Maklumat dan The Shield Act atau Akta Perlindungan Sumber Maklumat dan Berita. Kedua-dua undang-undang itu sudah lama diperkenalkan di negara-negara maju. 

Undang-undang FoI, misalnya, membolehkan orang awam, termasuk para wartawan mengakses dokumen rahsia kerajaan mengenai isu-isu kepentingan awam manakala Akta Perlindungan Sumber Maklumat dan Berita, yang terdapat di beberapa negeri di Amerika Syarikat  memberi perlindungan kepada wartawan untuk tidak mendedahkan sumber berita masing-masing. 

Tanpa adanya undang-undang perlindungan sumber maklumat itu, pihak mahkamah atau malah pihak polis, boleh mengarahkan wartawan mendedahkan sumber berita sewaktu dibicarakan atau ketika disoal siasat; kalau enggan, wartawan berkenaan boleh dituduh sebagai menghina mahkamah serta dikenakan hukuman denda atau penjara. Tidak ramai wartawan yang sanggup ke penjara hanya kerana ingin melindungi sumber maklumat dan beritanya.

Justeru, undang-undang perlindungan sumber berita akan memberi perisai tambahan yang boleh digunakan oleh para wartawan untuk mempertahankan kebebasan yang diberikan kepadanya.

Benar berdasarkan pengalaman di negara-negara yang sudah ada FoI di Barat bukan semua maklumat kerajaan berupaya diperoleh secara terbuka oleh golongan wartawan kerana di bawah undang-undang tersebut ada dokumen yang diberi status pengecualian mutlak yang tidak boleh diakses oleh sesiapa pun untuk tempoh tertentu. 

Dokumen yang lazimnya dalam kategori tersebut termasuklah bahan-bahan yang mengandungi maklumat mengenai keselamatan, rekod mahkamah dan dokumen tertentu Kabinet dan badan legislatif. Tetapi itu tidak pula menghalang wartawan di United Kingdom membongkar penyalahgunaan kuasa para ahli politik dan pegawai kerajaan. 

Malah dalam satu kes di negara tersebut, seorang menteri terpaksa meletakkan jawatan kerana menyalahgunakan kemudahan rasmi sebagai anggota Kabinet untuk faedah peribadi berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui undang-undang FoI oleh akhbar Scotland, Sunday Herald pada 2005.


Keselamatan

Tetapi Malaysia boleh melakukan sesuatu yang lebih baik andai hendak mewujudkan undang-undang FoI. Misalnya, kita boleh memilih untuk tidak mengkategorikan maklumat kerajaan dengan status pengecualian mutlak di bawah undang-undang FoI sekiranya kerangka undang-undang tersebut ingin diperkenalkan. Kita juga tidak perlu mengadakan peraturan yang ketat untuk mendapatkan maklumat di bawah kerangka perundangan FoI Malaysia. 

Dalam hubungan kebebasan media di negara ini, Enekmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 dan Enekmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011 bukanlah model yang elok untuk dicontohi kerana kedua-dua negeri mengenakan kawalan yang ketat untuk mendapatkan maklumat, di samping mengenakan denda tidak melebihi RM50,000 jika maklumat itu  digunakan bertentangan dengan niat yang dinyatakan sewaktu
maklumat dipinta. Dengan kata lain, sekiranya kerajaan PH ingin memperkenalkan undang-undang FoI, ia hendaklah merupakan kerangka perundangan yang boleh dijadikan sumber tambahan untuk wartawan mendapatkan maklumat.

Satu lagi legasi yang boleh ditinggalkan oleh kerajaan PH untuk mengukuhkan kebebasan media ini: Jika boleh jadikan kebebasan media sebagai sesuatu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, menyamai peruntukan First Amendment atau Pindaan Pertama yang termaktub dalam perlembagaan negara itu. Malaysia boleh menjadi negara kedua selepas Amerika Syarikat yang memberi jaminan perlembagaan terhadap kebebasan media itu!