TUN MAHATHIR memperkenalkan sistem perakam waktu pada September
TUN MAHATHIR memperkenalkan sistem perakam waktu pada September 1981.

Meskipun Mahathir pada tahun 1981 menganggap dirinya sudah ‘terlalu tua’, hakikatnya, beliau kemudian menerajui negara selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat. Dalam tempoh yang sangat panjang itu, beliau telah melaksanakan terlalu banyak inisiatif yang ‘luar biasa’ hingga nama Malaysia terkenal di seluruh pelosok dunia. 

FEER turut menulis kata-kata emas  Mahathir yang berbunyi: “Saya rasa, saya tidak mempunyai cukup masa.”

Ungkapannya itu penuh makna. Ia boleh dilihat kepada beberapa tindakan drastik beliau sebaik sah menduduki kerusi tertinggi negara pada 16 Julai 1981. Beliau telah membebaskan bekas Setiausaha Politiknya, Siddiq Ghouse bersama 20 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Siddiq telah dituduh oleh kerajaan sebelumnya menjadi ejen Soviet Union.

Individu-individu lain yang dibebaskan ialah ‘tiga Abdul’  yang merujuk kepada Abdullah Majid, Abdullah Ahmad dan Abdul Samad Ismail. Selain itu ialah Kassim Ahmad dan Syed Husin Ali.
Abdullah meringkuk di penjara dari Julai 1976 hingga 22 Julai 1981 hanya kerana dipercayai terbabit dalam anasir subversif komunis. Begitu juga dengan Kassim, Syed Hussin dan Abdul Samad.

Ubah waktu
Sehari selepas pembebasan nama-nama besar daripada tahanan ISA, negarawan terbilang itu melaksanakan beberapa perubahan yang drastik dan menongkah arus.

Pada 31 Disember 1981, pada pukul 12 tengah malam, jutaan rakyat Malaysia menyaksikan jam di menara Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur dipercepatkan 30 minit menjadi pukul 12 tengah malam. Semua jam di Semenanjung Malaysia juga diarah berbuat demikian.

Mengapa Tun Mahathir berbuat begitu? Ia bukan dilakukan semberono sebaliknya beliau mengambil kira pengaruh ekonomi yang lebih meluas. Kuasa ekonomi besar di rantau ASEAN seperti Hong Kong, China dan
Taiwan menggunakan zon masa GMT +8, jadi berada pada zon masa yang sama dengan kuasa-kuasa ini dikira akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

Bapa Pemodenan Malaysia itu kemudian memperkenalkan budaya menghargai masa melalui penggunaan punch card atau perakam waktu bagi kakitangan kerajaan pada September 1981, satu amalan yang berterusan hingga sekarang. 

Beliau yang terkenal sebagai seorang yang menepati masa mahu sistem yang diinspirasikan daripada budaya bekerja masyarakat Jepun itu diserap dalam jati diri rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Mahathir atau nama panggilan keluarganya Che Det turut memperkenalkan penggunaan tag nama. Objektifnya mudah. Ia menyenangkan orang luar mengenali siapa kita. 

Latar belakang Mahathir sebagai pejuang kemerdekaan dan memiliki sentimen antikolonialisme yang tinggi menyebabkan figura yang sentiasa tenang berdepan dengan krisis itu berjaya membuatkan dunia gentar terhadapnya.

Serangan subuh merupakan salah satu peristiwa yang membuatkan Britain terpukul. Mahathir menggemparkan negara itu apabila Malaysia mengambil alih Guthrie Corporation di London Stock Exchange (LSE) melalui
Perbadanan Nasional Berhad. Guthrie ialah syarikat besar dikuasai kepentingan British yang memiliki ladang getah, koko dan kelapa sawit di Malaysia

Serangan tersebut telah mengembalikan kuasa milik ladang itu kepada rakyat Malaysia sekali gus menyelamatkan ratusan juta ringgit wang Malaysia daripada terus mengalir ke tangan para pemegang saham luar.
Serentak dengan itu, kerajaan British bertindak serta-merta menukar peraturan mengambil alih syarikat di LSE. Kejayaan Mahathir ‘memalukan’ Britain menjadi bualan dunia. 

Kebangkitan

Pada 9 Mei 2018, bagaikan satu mimpi, negara dikejutkan dengan pengakhiran tampuk pemerintahan oleh Barisan Nasional yang telah pun mentadbir Malaysia sejak merdeka lagi. Hal ini bertitik tolak daripada kebangkitan Mahathir yang membuat kemunculan semula dalam arena politik tanah air. 

Ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada pukul 9.30 malam, 10 Mei lalu, beliau berusia 92 tahun. Bagai mengimbau semula tulisan yang tercatat dalam FEER, Mahathir sekali lagi merasakan tidak cukup masa untuk melakukan apa sepatutnya untuk negara walaupun sudah dua dekad dirinya memerintah sebelum ini.

Barangkali, doa pemimpin tertua di dunia seperti yang direkodkan dalam Guinness World Records untuk melunaskan saki baki pemikiran pragmatiknya kini bermula. Jika pada usia 56 hingga 78 tahun, Mahathir berupaya menyuntik idea di luar kotak pemikiran, tidak mustahil pada usia emas ini, pandangannya lebih jauh ke hadapan.

Sesungguhnya, usia bukanlah mengenai angka, usia adalah perjalanan. Dengan segala pengalaman dan harapan untuk Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sedang memikul satu tanggungjawab berat untuk membina Malaysia baharu.