Bagi yang berpeluang ke Mekah, ia satu perjalanan suci menyahut seruan Ilahi yang tiada tolok bandingnya.

Tempat yang menghimpunkan kira-kira tiga juta umat Islam menyaksikan himpunan terbesar umat Islam dan terbesar daripada mana-mana agama. Manusia dari seluruh pelosok dunia berhimpun demi menghambakan diri menyahut seruan ibadah yang telah diseru sejak zaman Nabi Ibrahim AS lagi.

Ia memerlukan banyak pengorbanan daripada setiap individu dari segi harta, wang ringgit dan masa. Lokasi Mekah yang terletak di kawasan gurun memberi banyak cabaran pada setiap umat Islam yang datang dari pelosok dunia. Namun, segala permasalahan termasuk faktor cuaca dapat diatasi kerana ia adalah ujian dan dugaan bagi memperoleh rahmat Yang Maha Esa.

Lautan manusia ketika berhimpun di Arafah, suasana melontar tiga jamrah, tawaf serta saie antara cabaran utama yang perlu dihadapi setiap bakal haji. Kosmo! menampilkan kompilasi foto ibadah haji terdahulu yang berpeluang dirakamkan untuk tatapan pembaca.

Beruntung jemaah yang benar-benar menghayati erti sebenar ibadah haji kerana ganjaran mendapatkan haji mabrur sama seperti bayi yang baru dilahirkan.