Meskipun tarikh sebenar PRU-14 masih menjadi tanda tanya namun berdasarkan ‘cakap-cakap politik’ kemungkinan besar ia berlangsung dalam tempoh terdekat.

Tidak hairanlah ketika ini kebanyakan parti politik giat melakukan persiapan bagi memastikan kelancaran jentera masing-masing.

Di sesetengah kawasan misalnya, bendera rasmi parti-parti yang bertanding sudah lama berkibaran sebagai salah satu strategi kempen.

Malah, kalangan ahli politik dan wakil rakyat juga kerap turun padang sejak akhir-akhir ini bagi mendekati rakyat menerusi pelbagai program yang diadakan.

Tumpuan parti-parti ini pastinya terarah kepada lebih 14 juta pengundi berdaftar yang mengundi pada pilihan raya tersebut dan menjadi penentu kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Selain pengundi muda yang mengundi buat kali pertama pada PRU-14 serta pengundi atas pagar, satu lagi kelompok pengundi yang mengundang kerisauan kalangan parti yang bertanding ialah pengundi luar.

Biarpun jumlahnya agak kecil iaitu sekitar 10 hingga 20 peratus, namun pengundi luar yang terdiri daripada golongan perantau yang berhijrah ke luar negara atau negeri-negeri lain di Malaysia dilihat sebagai kritikal dalam menentukan kemenangan sesebuah parti.

Perkara itu turut diakui Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir yang menyifatkan pengundi luar memainkan peranan penting dalam meningkatkan jumlah peratusan pengundi di sesebuah kawasan.

Disebabkan itu, tidak hairanlah kebanyakan parti politik berusaha keras untuk memujuk golongan terbabit pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi.

Paling ketara ialah di negeri-negeri di Pantai Timur terutama di Kelantan yang mempunyai peratusan pengundi luar hampir 40 peratus.

“Impak pengundi luar sangat besar dalam menentukan keputusan pilihan raya dan tidak hairanlah ada parti yang sanggup mengeluarkan kos bagi duit minyak atau pengangkutan percuma agar mereka mengundi di kampung halaman masing-masing.

“Sebagai contoh, kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di Kelantan pada PRU-13 turut berkait rapat dengan sokongan pengundi luar ke atas pakatan berkenaan biarpun pengundi setempat lebih memihak Barisan Nasional (BN).

“Malah, kalangan pemimpin BN di sana turut mengakui perkara tersebut berikutan sebahagian besar pengundi luar lebih berpihak kepada PR ketika itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Jeniri, momentum tersebut tidak sekadar membabitkan pengundi luar di dalam negara malah turut melibatkan mereka yang menetap di luar negara.

“Trend berkenaan sudah bermula sejak PRU-12 dan semakin ketara pada PRU-13 yang menyaksikan tsunami politik dalam kalangan pengundi Cina untuk menukar kerajaan.

“Menerusi kempen dan propaganda yang dimainkan secara berterusan di media-media sosial ternyata ia berjaya mempengaruhi sebahagian besar pengundi luar yang dilihat cenderung menyokong kempen tersebut.

“Tidak hairanlah, jumlah peratusan undi turut meningkat sehingga 84 peratus pada PRU-13. Namun, BN bernasib kerana menang dengan majoriti mudah biarpun menerima tentangan sengit,” ujarnya.

Justeru, katanya, apa yang berlaku sebelum ini wajar menjadi pengajaran kepada BN termasuk merangka strategi baharu bagi menawan hati pengundi luar.

Salah satu strategi, jelasnya, ialah menerusi perjumpaan secara kerap dengan golongan berkenaan seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Sarawak setiap tahun menerusi program Lan Berambeh.

“Menerusi program itu, rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan para pemimpin mereka.

“Secara tidak langsung mereka berpeluang menyuarakan isu atau pandangan dan di samping memahami dasar-dasar yang dilaksanakan tanpa syak dan wasangka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, pengundi luar yang menetap di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur, Johor atau Pulau Pinang lebih terdedah kepada capaian maklumat yang lebih luas.

Pemikiran mereka, katanya, sudah terdedah kepada alam bandar yang tidak memerlukan pembelaan, dalam segi kemudahan asas, sumber pendapatan atau ekonomi kerana semuanya telah tersedia di depan mata.

“Lazimnya, mereka lebih terdedah kepada propaganda yang dimainkan pembangkang kerana ia lebih berpengaruh dan dominan di kawasan bandar.

“Di samping itu, kemampuan mengakses pelbagai maklumat menerusi media sosial membolehkan mereka mendapat maklumat daripada pelbagai sumber,” katanya.

Beliau berkata, memburukkan keadaan sekiranya kalangan pengundi luar ini turut mempengaruhi keluarga terdekat, jiran tetangga atau rakan-rakan sekampung.

“Lazimnya, golongan ini merupakan anak-anak yang bekerja di bandar, berjawatan dan berpendidikan tinggi serta sering membantu menampung ekonomi keluarga.

“Perkara ini yang perlu diberi perhatian oleh parti-parti politik khususnya BN sekiranya mahu memastikan ia kekal relevan dalam kalangan pengundi,” ujarnya.

Hakikatnya, kata Sivamurugan, adalah sukar untuk mendapatkan bacaan yang tepat mengenai bagaimana undi pengundi luar akan berlaku kerana mereka terdapat di seluruh negara.

“Justeru, bagi mengimbangi situasi tersebut maka strategi-strategi seperti memindahkan pengundi ke lokasi lain dilihat sebagai antara penyelesaian terbaik.

“Ini secara tidak langsung dapat memberi keseimbangan kepada nilai-nilai luar dugaan seperti pengundi luar kerana wujud faktor penarikan dan penolakan,” katanya.

Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Raffi pula berpendapat, isu pengundi luar timbul berikutan tsunami politik yang berlaku sejak PRU-12.

Katanya, sebelum pilihan raya tersebut, majoriti pengundi memberi sokongan kepada BN kecuali di Kelantan yang merupakan kubu kuat Pas.

“Ia lebih bersifat trend semata-mata namun situasi ketika itu mereka terbawa-bawa dengan propaganda pembangkang untuk menukar kerajaan.

“Akibatnya, BN tewas di beberapa negeri biarpun masih berjaya membentuk kerajaan namun sokongan pengundi luar dilihat semakin merosot,” katanya.