Bukan sahaja Sulalatus Sulatin dan Hikayat Hang Tuah malah Ming Chronicle, Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires, The Book of Duarte Barbosa (1880) termasuk Eredia’s Description of Malacca catatan Manuel Godinho de Eredia merupakan dokumen historiografi signifikan bercerita tentang keunggulan Melaka.

Secara faktanya, kewujudan Kesultanan Melayu Melaka merupakan asas pembinaan negara dan bangsa kita. Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin berkata, Melaka digambarkan mempunyai masyarakat yang tersusun, berperaturan serta mempunyai sistem pentadbiran dan politik yang tersendiri.

Namun, sayangnya selepas penat lelah tujuh Sultan mempertahankan kegemilangan empayar, Sultan Mahmud Shah merosakkan segalanya.

Barangkali Sultan Mahmud Shah tidak pernah terdetik bahawa tindakannya yang menahan rombongan Lopez de Sequiera atas hasutan pedagang Arab dan India, membawa bencana kepada Melaka. Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque dengan kapal perangnya, Flor de La Mar telah menyerang bandar dan pelabuhan Melaka bagi membalas dendam.

Sebenarnya, banyak penulisan mengukuhkan tujuan Portugis menawan Melaka kerana membawa misi keagamaan iaitu meneruskan Perang Salib. Perlu diingat, pada ketika itu, peranan Melaka dalam kalangan dunia Islam sangat penting. Kekuatannya sebagai pelabuhan utama perdagangan rempah utama dan terkaya telah menjadi pengukuh kepada ekonomi kerajaan-kerajaan Islam. Faktor kepesatan itu sekali gus telah menjadikan Melaka sebagai pusat dakwah agama Islam utama.

Serangan Portugis

Albuquerque yang menerima pendidikan dalam bidang matematik dan pintar dalam berperang pernah berkata: “Kota ini adalah sumber paling besar bagi rempah, ubatan dan kekayaan dunia, dengan mengusir orang Islam keluar dari Melaka, api umat Islam akan dipadamkan dan jika kita mengambil Melaka, orang Islam tak akan mempunyai negara untuk menyara mereka.”

Portugis yakin dapat menawan Melaka kerana mereka dilengkapi senjata yang lebih moden seperti senapang dan meriam. Namun, terdapat percanggahan apabila ada berpendapat, kelengkapan alatan perang Melaka jauh lebih hebat. Mungkin fakta ini harus dikaji semula kerana mana mungkin Melaka yang pernah digelar Venice of East ditawan dengan mudah?

Dalam buku Seni Berperang karya Sun Tzu, ahli falsafah China itu ada menyebut bahawa ‘senjata’ paling ampuh dalam sebuah perang adalah strategi. Ternyata, percaturan Albuquerque yang menyerap prinsip Gosel, Glory, Gold dan kelicikannya yang menghantar Rui Aroujo dan mengupah ‘orang dalam’ seperti saudagar keturunan Jawa, Utimutiraja untuk mengintai kelemahan Melaka berhasil. Secara kebetulan, para pedagang bukan Islam dari India dan China sudah sekian lama tidak berpuas hati dengan kenaikan cukai telah membantu Portugis.

Sikap Sultan Mahmud yang zalim, berfoya-foya, mengamalkan rasuah serta mengabaikan agama telah menyebabkan Melaka mempunyai ramai musuh dalam selimut.

Baginda juga dikatakan gagal mengawal tindakan keterlaluan beberapa pembesar termasuk rakyat yang belot dan membocorkan rahsia kekuatan tanah air sendiri. Plot kucar-kacir Melaka mencapai kemuncak apabila Tun Mutahir dan keluarganya dibunuh oleh Sultan Mahmud gara-gara baginda termakan kata-kata fitnah Raja Mendeliar kononnya Bendahara Melaka ke-7 itu cuba merampas kuasa.

Bukan itu sahaja, Sultan Mahmud turut melucutkan jawatan Laksamana Khawaja Hassan. Ketiadaan Khawaja menyebabkan tiada angkatan laut yang dapat mempertahankan Melaka. Kelemahan kuasa tentera menjadi ketara selepas kehilangan Hang Tuah dan Hamzah Datuk Bongkok.

Sesetengah pedagang asing yang berdagang di Melaka diibaratkan duri dalam daging.

Khianat

Mereka bukan sahaja tidak mengenang jasa malah berpaling tadah apabila bekerjasama dengan Portugis di saat Melaka dihimpit kesusahan. Paling ketara, ribuan tentera Jawa yang dibayar gaji tiga bulan lebih awal untuk membantu Melaka tetap mengkhianati Melaka. Utimutiraja dikatakan telah menyeru kepada kaumnya dengan berkata: “Tidak perlu bersungguh menggadaikan nyawa untuk pertahankan harta orang lain.”

Sejarah merumuskan pemerintahan Sultan Mahmud yang lemah menjadi antara faktor utama Melaka jatuh di tangan Portugis. Baginda selalu memikirkan Melaka terlalu kebal hingga terlupa untuk memperkukuhkan pertahanan kotanya.

Albuquerque sendiri pernah berkata: “Melaka adalah sebuah kota yang besar, ia kelihatan sukar ditawan. Hal ini akan menjadi kenyataan jika Sultan memiliki sebuah kota lain yang dia boleh perkukuhkan. Namun, dia tidak memilikinya. Jika Sultan kehilangan Melaka, dia akan mengalami kehilangan mutlak.”

Memang benar, kelalaian itu telah meranapkan segalanya hingga Sultan Mahmud terpaksa meninggalkan sebuah empayar hebat yang dibina sejak 111 tahun lamanya.

Sebenarnya, banyak iktibar daripada kisah klasik yang pedih ini. Pemimpin tidak boleh dipilih dalam kalangan yang lemah. Terbukti, pemimpin seperti itu ditambah dengan sikap mementingkan diri sendiri, korupsi dan tidak amanah akan membawa kecelakaan kepada negara. Pemimpin yang mempunyai karakter sebegini harus disanggah agar peristiwa kejatuhan empayar Melaka tidak berulang.

Seperkara, jangan fikir kuasa politik yang dipegang tidak akan ditewaskan selamanya. Semakin gemilang sesebuah kerajaan, semakin ramai musuhnya.

Kita juga hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menjalinkan hubungan dengan kerajaan luar. Lihat, apa yang terjadi kepada Melaka, akibat khianat pedagang luar, Melaka dijajah dalam tempoh masa kurang dua minggu berperang. Jangan disebabkan fitnah, kita jatuh sekali lagi. Apabila kita tersungkur, ia akan mengambil masa yang panjang untuk bangkit semula.