Amat sukar dipercayai perkara sedemikian boleh berlaku di sebuah negara yang cukup dikenali selama ini dengan amalan muhibah antara warganya.

Masyarakat berbilang kaum di negara ini seharusnya tahu perkara asas sebegitu. Keharmonian yang terjalin sejak berdekad-dekad lampau atas dasar memahami sensitiviti agama dan kepercayaan masing-masing bukan suatu yang perlu diajar pada masa ini.

Lebih mengecewakan, majlis yang dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dan ahli-ahli dewan undangan negeri itu tidak menyediakan meja khas untuk makanan halal kepada wartawan beragama Islam.

Adalah tidak patut untuk menghidangkan sajian haram di sisi Islam dalam majlis yang turut disertai orang Islam sementelahan difahamkan terdapat pemenang anugerah yang beragama Islam.

Bukan sahaja wartawan Islam, bahkan seorang wartawan beragama Hindu juga menyuarakan: “Walaupun bukan beragama Islam, agama Hindu juga tidak membenarkan penganutnya makan babi. Saya kecewa kerana mereka langsung tidak sensitif mengenai perkara ini,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah akhbar.

Semua sedia maklum, babi atau khinzir adalah haiwan yang diharamkan keseluruhannya dalam Islam. Di sisi jumhur ulama, tidak kira dagingnya, tulangnya, bulunya atau apa jua adalah haram melainkan ketika darurat.

Babi dikategorikan sebagai najis mughallazah (najis berat) di dalam Islam. Untuk menyucikannya perlu menggunakan tujuh kali cucian dengan salah satunya air bercampur tanah.

Pengharaman

Pengharaman daging babi disebutkan dengan begitu jelas di dalam al-Quran. Bukan hanya satu ayat tetapi Allah berfirman mengenainya pada empat ayat di dalam al-Quran iaitu ayat 173 surah al-Baqarah, ayat 3 surah al-Maidah, ayat 145 surah al-An’am dan ayat 116 surah an-Nahl.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang disembelih disebut nama selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa memakannya sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampau, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (al-Baqarah ayat 173).

Hakikatnya, bukan agama Islam sahaja yang mengharamkannya. Ulama tersohor, Dr. Zakir Naik dalam satu sesi ceramahnya menegaskan pengharaman babi turut terdapat dalam agama Kristian, Yahudi dan Hindu menerusi kitab-kitab suci masing-masing.

“Babi ialah haiwan yang apabila membuang najis, akan memakan najisnya kembali. Ia antara haiwan yang paling kotor di muka bumi,” katanya.

Sains juga bagai memberikan justifikasi pengharamannya. Pakar kesihatan terkenal Amerika Syarikat, Dr. Joseph Mercola menerusi laman kesihatannya, Mercola ada menulis entri ‘Mengapa saya tidak menyarankan makan babi’.

“Kajian mendapati daging babi boleh memberikan bahaya kepada kesihatan dalam pelbagai peringkat.

“Menurut kajian mengejutkan oleh Consumer Reports, 69 peratus daripada sampel-sampel daging babi yang diuji mengandungi bakteria berbahaya Yersinia enterocolitica yang boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan,” katanya.

Portal Healthline pula menyatakan daging babi berbahaya kerana membawa risiko Hepatitis E, multiple sclerosis (MS) dan kanser hati.

Pendakwah, Ustaz Muhammad Luqman Makhtar berkata, memakan daging babi secara sengaja adalah dosa yang besar dalam Islam, pengharamannya jelas di dalam al-Quran.

“Bagaimanapun sekiranya termakan, bersihkan sahaja hingga tidak ada rasa atau kesannya dengan berkumur-kumur menggunakan air yang banyak atau bersama pembersih mulut yang biasa.

“Tidaklah sampai perlu disamak dengan berkumur-kumur air tanah. Melainkan jika diyakini daging babi itu telah terkena pada bahagian tubuh badan yang lain seperti tangan, maka bahagian tubuh itu yang disamak bagi menghilangkan kegusaran.

“Samak dilakukan jika di luar badan, kalau sudah masuk ke dalam badan, tidak perlu. Tidak ada dalil untuk samak mulut. Islam itu indah dan bukan memayahkan,” katanya.