Al-Quran bukan sahaja terbukti tidak mempunyai kecacatan bahkan penuh dengan pelbagai keajaiban yang melangkaui pemikiran logik manusia. Menurut Miller, sesetengah ayat dalam kitab suci itu dapat dibuktikan kebenarannya secara saintifik.

Misalnya kata beliau, ayat 30 surah al-Anbiya yang bermaksud: “Dan apakah orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi dahulu bercantum, kemudian kami pisahkan antara kedua-duanya. Dan kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air, maka mengapa mereka tidak beriman?”

Kata Miller: “Apabila saya membaca surah al-Anbiya ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik pada awal tahun 1970-an mengenai teori Letupan Besar. Ia menjelaskan bahawa alam semesta terbentuk hasil daripada satu letupan besar yang membawa kepada kewujudan langit dan planet.”

Miller memeluk Islam pada tahun 1978 dan menggunakan nama Abdul Ahad Omar.

Ahli tafsir seperti Ibnu Katsir dan Imam Suyuti sependapat mengatakan bahawa langit dan bumi pada asalnya merupakan lapisan-lapisan yang menumpuk sebelum dipisahkan. Ini diikuti turunnya hujan yang menyuburkan bumi dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau.

Namun, sejak pertengahan abad ke-20, ramai ulama dan ilmuwan Islam meyakini ayat tersebut merujuk kepada peristiwa Letupan Besar yang berlaku lebih 13 bilion tahun lalu yang dikenali sebagai Big Bang. Letupan itu terus berkembang dan perlahan-lahan bertukar menjadi galaksi-galaksi, bintang-bintang serta planet-planet.

Ironinya, orang yang mencetuskan teori Big Bang tersebut, iaitu ahli fizik terkemuka Stephen Hawking yang meninggal dunia pada usia 75 tahun minggu lalu tidak percaya wujudnya Tuhan. Hawking bersama Sir Roger Penrose berjaya menghasilkan bukti matematik yang menyokong teori Big Bang pada tahun 1971.

Beliau menjadi profesor matematik di Universiti Cambridge, Britain selama 30 tahun hingga bersara pada tahun 2009. Di sebalik kisah Gary Miller yang memeluk Islam, antaranya disebabkan teori Big Bang Hawking, Hawking sebaliknya berpendapat Tuhan tidak wujud sama sekali.

Sejak tahun 2014, tokoh yang menderita penyakit saraf selama lebih lima dekad itu mengaku beliau seorang ateis. Menurut Hawking, sains menawarkan penjelasan yang lebih masuk akal tentang asal usul alam semesta berbanding agama. Menurut Hawking, alam semesta bukan dicipta oleh Tuhan. “Alam memiliki aturan sendiri. Salah satunya ialah graviti. Dengan itu, alam semesta mampu terbentuk dengan sendiri daripada tiada kepada ada. Tidak perlu meminta Tuhan mencipta dan mengaturnya,” kata Hawking dalam wawancara dengan akhbar The Times.

“Saya mengibaratkan otak sebagai sebuah komputer yang akan berhenti apabila komponennya rosak. Tidak ada syurga atau kehidupan setelah mati bagi komputer-komputer yang rosak. Itu hanya cerita bohong bagi orang yang takutkan kegelapan,” ujar Hawking sewaktu ditemu bual akhbar The Guardian.

Hawking membandingkan otak manusia dengan komputer, suatu ciptaan paling pintar oleh manusia. Namun beliau lupa, komputer masih rendah kualitinya berbanding otak kurniaan Tuhan. Tiada manusia yang boleh mencipta kepintaran otak.

Fenomena manusia berfahaman ateis iaitu menolak kewujudan Tuhan semakin berkembang mutakhir ini. Secara teori, semakin berkembang ilmu pengetahuan dan teknologi semakin bertambah bilangan pengikut ateis. Mereka bukan sahaja tidak mempercayai Tuhan malah mempengaruhi orang lain untuk tidak percaya kepada Tuhan menggunakan logik sains.

Malaysia juga terkena tempias golongan ini. Tahun lalu, negara ini digemparkan dengan perhimpunan pengikut ateis di ibu negara menerusi Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur. Menurut tokoh ulama dari Amerika Syarikat, Shaykh Muhammad Yahya al-Husayni an-Ninowy, ateisme dan keganasan merupakan cabaran umat Islam sejak 20 tahun lalu.

Kata beliau, keganasan turut menjadi faktor pemurtadan umat Islam kepada ateisme secara beramai-ramai. Kehidupan Hawking adalah kisah pencarian asal usul alam semesta yang tidak berpenghujung. Satu-satunya kelemahan Hawking ialah beliau tidak mengenali Tuhan yang mencipta alam semesta. Padahal alam semesta yang penuh misteri hakikatnya merupakan tanda-tanda keagungan dan kekuasaan pencipta langit dan bumi.