Namun pendedahan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran kerajaan baharu pada Rabu lalu adalah sesuatu yang mengejutkan apabila ia menyatakan bahawa 1MDB sebenarnya dianggap muflis dan terdapat pelaburannya sebagai satu penipuan.

Syarikat itu juga sebenarnya tidak mampu lagi membayar hutangnya hingga kerajaan terpaksa melaksanakan obligasi membayar segala hutang firma pelaburan tersebut.

Unit pelaburan bernilai AS$940 juta (RM3.75 bilion) sebelum ini yang dipegang oleh BSI Bank di Singapura dan dana pelaburan luar negara bernilai AS$1.56 bilion (RM6.22 bilion) dimiliki oleh 1MDB Global Investments Ltd. dengan keseluruhannya bernilai RM9.8 bilion yang mana jika ditebus, ia lebih daripada mencukupi untuk melunaskan hutang 1MDB untuk tempoh beberapa tahun akan datang. Namun difahamkan dana tersebut tidak wujud.

Pinjaman

Orang ramai turut didedahkan sebenarnya Kementerian Kewangan telah menanggung pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM6.98 bilion sejak April 2017 termasuk pembayaran untuk perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berjumlah RM5.05 bilion.

Selain faedah pinjaman berjumlah RM143.75 juta yang perlu dijelaskan pada 30 Mei ini, 1MDB juga perlu menyelesaikan faedah pinjaman berjumlah RM810.21 juta bagi bulan antara September hingga November ini.

Sedangkan pada April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda memberitahu, pelan rasionalisasi syarikat itu sejak tahun 2016 berjaya dan telus sepenuhnya di bawah jagaan beliau. Beliau mendakwa syarikat itu mempunyai bon yang didagangkan secara umum berjumlah AS$7.75 bilion (RM30.8 bilion) di pasaran.

Arul menyatakan, 1MDB tidak mempunyai masalah kewangan dan memenuhi semua tanggungjawab hutangnya secara penuh dan tepat pada waktunya.

Beliau menegaskan, 1MDB mempunyai aset hampir AS$11 bilion (RM43.7 bilion) dan hutang sebanyak AS$7.75 bilion (RM30.8 bilion) sambil menambah aliran tunai daripada pelupusan dan pemindahan aset akan digunakan untuk melangsaikan hutangnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang terdiri daripada 14 orang ahli termasuk lima anggota pembangkang, telah mengemukakan laporannya pada April 2016, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

“Tiada dakwaan jenayah atau sivil dibuat. 1MDB menyatakan bahawa ia bukan pihak kepada sebarang siasatan undang-undang yang sedang dijalankan dan bukan subjek kepada sebarang siasatan,” katanya.

Namun, pada hakikatnya, Laporan Audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara yang telah disiarkan kepada umum pada 15 Mei lalu menyebut berdasarkan penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2014, kedudukan baki pinjaman dalam dan luar negara Kumpulan 1MDB tidak termasuk inherited loans adalah berjumlah RM33.71 bilion yang merangkumi lapan pembiayaan dalam negara dan tiga pembiayaan luar negara.

1MDB turut mengambil alih 11 inherited loans sedia ada berjumlah RM8.15 bilion yang perlu ditanggung daripada perolehan dua syarikat penjana bebas (IPP) pada tahun 2012 dan 2014 sekali gus menjadikan kedudukan baki pinjaman sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 adalah RM41.86 bilion.

Kata laporan audit berkenaan, sehingga 31 Oktober 2015, baki prinsipal pinjaman/pembiayaan Kumpulan 1MDB berjumlah RM55 bilion berbanding aset berjumlah RM58.60 bilion.

Sejumlah RM20.31 bilion daripada pinjaman dan pembiayaan tersebut mendapat jaminan dan bantuan Kerajaan Persekutuan.

Berasaskan andaian pelan rasionalisasi dilaksanakan dan tiada pinjaman baharu dibuat selepas bulan Oktober 2015, dianggarkan sejumlah RM42.26 bilion diperlukan bagi membayar kos prinsipal dan faedah pinjaman yang matang antara bulan November 2015 hingga bulan Mei 2039.

Kata laporan audit itu, 1MDB perlu menyediakan dana yang besar untuk melunaskan bayaran komitmennya yang tinggi pada tahun 2016 sejumlah RM4.88 bilion, pada tahun 2023 (RM14.74 bilion) dan pada tahun 2039 sejumlah RM5.14 bilion.

“1MDB juga memerlukan dana sekurang-kurangnya RM1.52 bilion setiap tahun dari bulan November 2015 hingga Mei 2024 untuk membayar balik pinjaman baki pinjaman,” kata laporan berkenaan.

Berdasarkan laporan audit tersebut, secara keseluruhannya, aspek berkaitan tadbir urus korporat dan kawalan dalaman Kumpulan 1MDB adalah kurang memuaskan.

Sebahagian tindakan pengurusan 1MDB dan keputusan Lembaga Pengarah 1MDB didapati dibuat secara tidak teratur.

Dalam pada itu, pada masa ini orang ramai menantikan penyiasatan menyeluruh dan proses audit dilakukan ke atas 1MDB secara bebas oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan baru-baru ini.

Tindakan

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diharap dapat mengambil tindakan sekira terdapat penyelewengan dana daripada 1MDB oleh pihak-pihak tertentu.

Rakyat Malaysia juga mahu memastikan saman yang difailkan Jabatan Peguam Negara (DOJ) Amerika Syarikat (AS) untuk menyita dan mendapatkan kembali hasil penyelewengan berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) dalam bentuk aset-aset yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada 1MDB yang menjangkau AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion) dapat diselesaikan.

Kerjasama rapat antara Malaysia dan AS dalam isu ini penting bagi memastikan nama negara dapat dibersihkan di peringkat antarabangsa daripada pembabitan dalam aktiviti pengubahan wang haram yang menjadi kesalahan di Amerika Syarikat serta di seluruh dunia.