Keinginan kadang-kadang merupakan satu ketidakpastian. Dalam erti kata lain, seseorang itu tidak tahu untuk apa cita-cita mereka dan mempunyai sebuah harapan.

Setiap sistem sosial, sistem ekonomi dan sistem politik mempunyai harapan serta cita-cita tertentu. Ia boleh sahaja diintepretasi sebagai keinginan-keinginan individu, cita-cita kolektif kelompok atau matlamat sebuah negara bangsa.

Sejarah peradaban manusia bermula dengan harapan dan seterusnya cita-cita. Kemudian ia diwacanakan menjadi sebuah gagasan untuk kepentingan kolektif itu. Ini merupakan titik tolak kepada kewujudan kerajaan, empayar, imprealisme, fasisme dan pelbagai ideologi lain.

Peradaban itu mungkin bermula dengan keinginan menguasai tanah-tanah di muara sungai yang subur atau padang-padang ragut untuk penternakan. Seterusnya membina ciri-ciri kenegaraan serta kepimpinan yang asas hingga terbentuk empayar yang kuat.

Meletusnya konflik di dunia adalah kerana harapan dan cita-cita. Adolf Hitler sanggup mengorbankan ratusan ribu tentera Jerman untuk menguasai Eropah pada Perang Dunia Kedua semata-mata mahu memenuhi keinginan, harapan, cita-cita dan hegemoni bangsa Aryan.

Bangsa dan keunggulan ras Aryan hanya menjadi objek manakala ideologi Nazi adalah cita-cita sebenar walaupun ia tidak pernah difahami oleh sebahagian daripada rakyat negara itu. Mereka percaya, doktrin keunggulan ras yang dicanang oleh Hitler adalah sesuatu benar.

Begitu juga penglibatan Jepun di bawah Jeneral Hideki Tojo ke atas kuasa-kuasa kolonial di Asia Tenggara pada Perang Dunia Kedua. Semuanya atas nama harapan dan cita-cita. Ia dibungkus dengan propaganda yang luar biasa atas nama kesetiaan terhadap maharaja dan negara Matahari Terbit itu.

Sebenarnya, harapan dan cita-cita merupakan perilaku budaya yang boleh difahami secara positif atau negatif. Tindakan-tindakan Hitler, Tojo atau ideologi fasisme Benito Mossolini di Itali dapat ditakrifkan sebagai negatif kerana membawa kerugian kepada manusia dan peradaban mereka.

Tujuan-tujuan ekonomi, politik, status sosial dan kepentingan kelompok itu menyebabkan individu serta kelompok sosial membina harapan dan cita-cita mereka. Namun, sering ia dicapai dengan pendekatan yang negatif. Antaranya melalui penaklukan, peperangan, penipuan dan kronisme.

Secara umum, harapan dan cita-cita dapat dilihat dari dua kerangka pemikiran besar. Pertama ia harus dilandasi oleh pemahaman teori tentang manusia. Kedua, teori tentang kudrat. Daripada kedua-dua teori ini dapat difahami mengapa wujud keinginan individu atau kelompok untuk mencipta harapan.

Sebagaimana pandangan pemikir-pemikir klasik dan moden Barat seperti John Stuart Mill, Frederich Hegel, Thomas Hobbes, John Locke dan Jeremy Bentham, harapan serta cita-cita manusia berulang-ulang kerana mereka dididik oleh struktur budaya, kesepakatan sosial dan persekitaran masing-masing.

Era pascakolonial bagi negara-negara bekas jajahan merupakan titik kemuncak daripada harapan dan cita-cita. Sebahagian besar pemimpin negara-negara baharu itu menanam cita-cita sosial yang menggunung sebagai projek birokrasi.

Pandangan oleh Mill, Hegel, Hobbes atau Bentham atau Sahlins itu sebenarnya sangat menarik untuk dikaitkan dengan masyarakat kita dalam konteks harapan dan cita-cita mereka termasuk pimpinan institusi pengajian tinggi, ketua agensi, syarikat swasta hingga kepada sistem pendidikan di sekolah.

Namun, pernahkah kita berfikir untuk mengambil kesempatan daripada ‘budaya’ menanam harapan dan cita-cita itu untuk mewujudkan kepentingan kolektif dalam erti kata pengukuhan institusi pendidikan, kebudayaan majmuk, malah pelbagai aspek kenegaraan.

Acuan

Agak menyedihkan apabila sebahagian masyarakat kita meletakkan harapan dan cita-cita dalam konteks kepentingan individu atau sistem kekerabatan semata-mata. Sedangkan masih ada sesuatu yang lebih penting iaitu kemajuan agensi, institusi, organisasi, integrasi dan kesatuan kaum.

Ahli antropologi, Brian Fay dalam Contemporary Philosophy of Social Science: A Multicultural Approach (1996) mengutarakan, kepelbagaian budaya sebagai struktur bangunan konsep-konsep untuk dijadikan acuan bagi memahami dan mengembangluaskan integrasi dalam kehidupan masyarakat.

Begitu juga menurut ahli falsafah Perancis, Henri-Louis Bergson (1859-1941), harapan dan cita-cita sempit untuk kepentingan peribadi hanyalah sebuah keinginan dan ketidakpastian yang didorong oleh kebodohan serta kecelaruan semata-mata. Ini kerana kita menjadi makhluk budaya yang dibentuk oleh pemahaman warisan yang sempit.

Jika meminjam pandangan ahli antropologi, Melville J. Herskovits dan Bronislaw Malinowski, kita adalah sebahagian daripada cultural-determinism iaitu sesuatu yang bersifat turun-temurun dari satu generasi ke generasi yang lain yang juga disebut sebagai superorganik.

Akhirnya, seperti yang disimpulkan oleh Fay, Bergson mahupun Herskovits dan Malinowski, jika harapan dan cita-cita yang terbentuk hanya kerana harapan serta cita-cita peribadi yang didorong oleh kebodohan dan kecelaruan (meminjam pandangan Bergson), ia hanya memenuhi sebuah kesombongan diri.

Ahli sosiologi Perancis, Emile Durkheim dalam The Rules of Sociology Methods (1938) berkata, dalam masyarakat moden, orang paling tersinggung dari aspek moral apabila ada individu atau kelompok lain yang menyedarkan mereka mengenai apa itu moral serta nilai.

“Antara ciri-ciri manusia moden ialah keinginan dan cita-cita mereka tidak boleh ditegur walaupun ia menyalahi nilai serta moral.

Ada gejala dalam masyarakat industri, individu cenderung memisahkan diri daripada kelompok dan membina kekuatan secara bersendirian,” tulis Durkheim.

Penyair dan penulis Perancis, Jean Cocteau ketika mentafsirkan kembali dongeng Oedipus itu dalam La Machine Infernal (1934) menganggap, tragedi kepada putera raja tersebut disebabkan oleh ‘dewa-dewa kejam’ yang mempunyai cita-cita untuk mewujudkan takdir sekehendak hati mereka.

Persoalan yang sama diakui oleh ahli falsafah Jerman, Karl R. Popper dalam The Open Society and Its Enemy (1945) yang mengingatkan kita bahawa ‘berakhirnya dewa-dewa’ akan membolehkan manusia membina teori konspirasi, membina harapan dan cita-cita sempit untuk kepentingan peribadi.

Hakikatnya, seperti yang diketengahkan oleh Cocteau dan Popper, era dewa-dewa telah berakhir. Namun, tidak bermakna manusia bebas membina teori konspirasi dan mencetuskan harapan serta cita-cita sempit mereka yang boleh merugikan organisasi, institusi dan mungkin sahaja negara.

Sejarah peradaban manusia bermula dengan harapan dan cita-cita. Kemudian ia diwacanakan menjadi sebuah gagasan untuk kepentingan kolektif tersebut

Dr. Azman Ismail ialah Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).